www.solhisharif.com

Redha-Mu Kemuncak Impianku…

Archive for the ‘SANTAI’ Category

ERTI IJTIHAD PADA BRAINSTORMING

Posted by solhisharif on 13 February 2010

13/02/2010 – Pantai Balok, Pahang

BRAINSTORMING (13/02/10)

Sama ada sedar atau tidak, apabila kita melakukan brainstorming, Islam telah lebih lama memperkenalkan konsep ini iaitu ‘Ijtihad’. Ijtihad bermakna put all of our effort on our mind progressingBrainstormer atau Mujtahid itu boleh juga  dianggap sebagai kumpulan pemikir atau think tank kepada sesuatu perancangan. Dari aspek psikologi, brainstorming adalah suatu proses manusia memanfaatkan akal yang telah dikurniakan oleh Tuhan (generate our mind) dalam merangka sesuatu perancangan yang bukan sahaja kreatif tetapi juga inovatif. Semakin kuat seorang brainstormer membuahkan idea dengan baik, semakin kuat juga suatu keputusan yang kritikal dan baru dapat dicapai, tanpa menjadi pak turut kepada idea-idea yang lampau.

Berdasarkan pengalaman saya, sesi brainstorming yang baik ialah dengan tidak membezakan jawatan atau entiti kumpulan yang diwakili. Ertinya, jangan ada sebarang pandangan yang dikeluarkan atas sentimen kepentingan jawatan, menafikan kerja yang sepatutnya dilakukan atau menghentam kerja-kerja yang tilah tersilap dilakukan. Khususnya menyerang peribadi pekerja bukan kerja pekerja. Maklumat dan pandangan perlulah dilihat sebagai suatu yang objektif, ikhlas, genuine, tidak bias, dan terjamin keasliannya.

Sesungguhnya, dalam sesi brainstorming, semua cadangan adalah mungkin dan berpotensi. Brainstormer akan memaksa akalnya untuk mengeluarkan idea-idea yang mencapah bahkan idea yang di luar kotak adalah sangat digalakkan. Jangan ‘sekat’ idea-idea yang cuba dikeluarkan walaupun idea yang diberikan kelihatan tidak logik atau tidak sesuai. Ini akan merencatkan potensi yang ada pada brainstormer. Kadangkala, sampai kepada suatu tahap di mana idea yang dikeluarkan oleh brainstormer seolah-olah idea yang dangkal, bodoh, tidak logik dan gila! Tidak mengapa selagi ia masih lagi dalam kerangka proses percambahan idea kerana kadangkala pandangan sebegini berkemungkinan menjadi idea yang paling realistik dan tajam yang mungkin tidak pernah kita fikirkan.

Seelok-eloknya, sesi brainstorming dihadiri oleh orang lama atau mereka yang ahli dan berpengalaman yang mampu memberikan maklumat, data dan tasawur terhadap subjek yang ingin dibincangkan. Dengan mengambil kira ia sebagai suatu maklumat, brainstormer akan mencari suatu jalan dan keputusan yang paling ideal untuk masa kini. Elakkan daripada bertaklid membuta tuli kerana ia akan melahirkan brainstormer yang malas dan mematikan potensi akal untuk berfikir sesuatu yang baru. Apabila malas berfikir, kita akan jadi malas berijtihad. Apabila malas berijtihad, kita tidak akan mampu menemui strategi baru dan tidak dapat membuat sebarang perubahan kearah yang lebih baik . Sebab itu kita lihat strategi dan aksi-aksi yang dibuat oleh gerakan mahasiswa seringkali menjadi langkah ikutan parti-parti politik nasional.

Kaedah brainstorming yang baik ialah dengan cara setiap brainstormer memakai kasut yang pelbagai agar pandangan dan cadangan yang diberikan lebih tepat dan mencakupi kepelbagaian kelompok yang terlibat. Dalam membincangkan sesuatu subjek kemungkinan keputusan yang terhasil akan berhadapan dengan beberapa kelompok.

Namun, apa yang sering mencacatkan sesi brainstorming ialah sifat ‘ego’ dalam mempertahankan pandangan yang mewakili statusnya. Apatah lagi kalau pandangan itu datang dari mulut yang berjawatan tinggi dan diberi komen oleh orang yang lebih bawah jawatannya… Maka bermulalah pandangan yang dipengaruhi emosi sehingga meninggalkan rasional. Walaupun idea itu biasa-biasa sahaja. Mungkin pekerja yang jawatannya lebih rendah mampu memberi idea yang lebih bernas. Namun, kerana hierarchy system yang menyatakan orang bawah dilihat ‘bodoh’ orang atas dilihat ‘pandai’, maka impaknya, keputusan tidak masak kerana tiada ketelusan dan keaslian semasa memberi pandangan.

Justeru, seorang brainstormer yang baik ialah mereka yang mampu memberikan pandangan daripada pelbagai sudut kelompok yang bakal didepaninya atas keputusan yang akan dibuat. Brainstormer yang baik adalah yang tidak terperangkap dalam kelompok perbincangan sebaliknya melihat skop perbincangan dari luar dan keseluruhan. Kelak keputusan yang akan dibuat bukanlah sekadar “ikut sedap hati” sahaja. (syok sendiri).

Advertisements

Posted in SANTAI | 4 Comments »

KEMELUT PENGERUSI LEMBAGA PENGARAH PUZ MAINPP 2010

Posted by solhisharif on 21 January 2010

21 Januari 2010 / Alamanda Putrajaya

Y.Bhg. Tuan Haji Ustaz Ellias Zakaria

Saat ini, di Bilik Mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), sedang berlangsung mesyuarat MAINPP buat kali pertama sejak pelantikan ahli majlis barunya. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Yang DiPertua MAINPP yang baru – Y.Bhg. Tuan Haji Ustaz Ellias bin Zakaria. Sudah pastilah antara keputusan yang dinanti-nantikan ialah siapakah yang akan menerajui Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat Urus Zakat Negeri Pulau Pinang (PUZ) atau lebih tepatnya As-Sahabah Urus Zakat Sdn. Bhd. (ASUZ)?

Mengimbau tarikh 30/12/09, telah berlangsung mesyuarat Lembaga Pengarah PUZ yang terakhir bersama Y.B. Tuan Haji Shabudin bin Yahaya di Hotel Summit, Bukit Mertajam. Pulau Pinang. Antara keputusan yang dibuat, Y.Bhg. Tuan Haji Ustaz Ellias bin Zakaria telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah PUZ berkuatkuasa tarikh itu sehinggalah hari ini.

Namun, beberapa hari yang lepas, ura-ura mengatakan (termasuk di dalam Malaysiakini bertarikh 20 Januari 2010) bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang telah menyenarai pendek dua nama iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti – Y.B. Mansor bin Othman dan Y.B. Tuan Haji Abdul Malik bin Kassim – Exco Agama Pulau Pinang untuk dilantik semula sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah ASUZ menggantikan Tuan Haji Ustaz Ellias Zakaria.

Namun, jika dibaca dari sudut perundangan, perlantikan Tuan Haji Ustaz Ellias Zakaria selaku YDP MAINPP adalah selaras dengan peraturan dan undang-undang syarikat mengikut Akta Syarikat 1965. Keputusan MAINPP yang lepas telah menjelaskan bahawa hanya YDP MAINPP mewakili MAINPP sendiri dan YDP MAINPP adalah pemegang saham 100% dalam syarikat As-Shahabah Urus Zakat Sdn. Bhd. (ASUZ) ini. ASUZ adalah anak syarikat milik penuh MAINPP. Oleh yang demikian, selayaknya Pengerusi Lembaga Pengarah PUZ diterajui oleh YDP MAINPP. Bahkan memang sudah menjadi tradisi turun-temurun sebelum ini, siapa yang menyandang jawatan YDP MAINPP secara praktikalnya dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah ASUZ.

Y.B. Mansor Othman

Walaupun perlantikan dari pihak lain bukanlah suatu kesalahan, namun timbul juga beberapa persoalan MASYARAKAT yang menuntun kepada justifikasinya. Saya telah membaca beberapa blog orang awam, mendengar pendapat dari masyarakat dan inilah hasil dapatan saya.

Rata-rata masyarakat menyoal (bukan suara saya) diantaranya, kenapa perlu ‘dicari’ pengerusi dari luar MAINPP? Y.B. Mansor adalah Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang. Tidak memegang portfolio agama. Apatah lagi sebagai Ahli Majlis MAINPP. Lainlah rentaknya kalau beliau menyandang jawatan YDP MAINPP… atau YDP MAINPP yang ada sekarang ini tiada kelayakan atau pengalaman.. wajar juga bunyinya dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah ASUZ.

Mereka juga berpendapat YDP MAINPP sekarang ini adalah orang yang terlebih layak untuk menjadi Pengerusi  Lembaga Pengarah ASUZ. Tidak layakkah Tuan Haji Ustaz Ellias Zakaria? Beliau seorang pensyarah berpengalaman lebih 15 tahun di USM. Ahli akademik profesional yang amat arif selok-belok tentang ASUZ. Kerana sewaktu di bawah pemerintahan Dato’ Seri Haji Hilmi Yahaya dan Y.B. Haji Shabudin Yahaya sebagai YDP MAINPP, beliau pernah menjadi ahli Lembaga Pengarah ASUZ dalam tempoh yang begitu lama. Banyak idea-idea yang bernas diutarakannya sehingga tercapai dan terlaksana. ‘Seniority‘ di ASUZ untuknya tidak dapat disangkal lagi..

Di atas sebab itulah, masyarakat tertanya-tanya kenapa dengan ‘tiba-tiba’ perlu mencarikkan adat yang telah terbiasa dilakukan sejak ASUZ ditubuhkan pada tahun 1994. Iaitu siapa yang menjadi YDP MAINPP pasti merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah PUZ. Sungguh, perlantikan ini tidak melanggar mana-mana undang-undang di peringkat negeri atau syarikat. Biarpun tidak salah, tetapi ganjilnya tetap ada… Anehnya tetap kelihatan… Peliknya tetap terpalit…

Masyarakat cukup sedar bahawa ASUZ pada tahun 2009 telah berjaya mengutip wang zakat di negeri Pulau Pinang sejumlah RM44 juta. Dengan kenaikan kutipan zakat antara 15%-20% setiap tahun, seolah-olah pada ASUZ ada ‘gula’ yang mesti dihurung!! apatah lagi dalam suasana ekonomi yang tidak stabil sekarang ini…

Saya hanya menulis di atas apa yang saya baca, lihat dan dengar di sekeliling masyarakat dan tidak lebih daripada itu. pada saya, siapa yang memegang jawatan itu tidaklah begitu penting, yang lebih penting ialah lakukanlah dengan penuh amanah, dilakukan dengan tersusun, penuh dedikasi, menghormati dan dihormati. Semoga tiadalah unsur-unsur permainan yang halus tanpa telus untuk episod ini.. Semoga keikhlasan dan hati yang tulus murni ada dalam diri pemimpin-pemimpin pilihan rakyat ini… Hiduplah dalam wilayah ukhuwah yang saling sayang-menyayangi… Salam Perdamaian 🙂

Posted in SANTAI | 6 Comments »

NANGGROE ACEH DARUSSALAM: 6 TAHUN SELEPAS TSUNAMI

Posted by solhisharif on 17 January 2010

14-16 Januari 2010

BERSYUKUR kepada Allah SWT, yang telah menetapkan tanggal 14 Januari 2010 saya dapat menjejakkan kaki ke bumi Aceh, Indonesia. Pada tahun 2004, bumi ini pernah dipilih oleh Allah untuk ditunjukkan kekuatan dan kebesaran-Nya. Sesungguhnya, hubungan antara Pulau Pinang dan Aceh telah terjalin buat sekian lamanya dari dahulu lagi. Hubungan itu terus terjalin sehinggalah sekarang terutamanya dari bidang perdagangan (perniagaan) dan perubatan. Ramai orang-orang Aceh datang ke Malaysia khususnya Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital pakar kerana kosnya lebih murah berbanding di Aceh!!

14 Januari 2010 (Khamis)

13.10 ptg (waktu Malaysia) – Pesawat bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang ke Naggroe Aceh, Indonesia bersama lima orang yang lain. Tuan Haji Ustaz Ellias bin Zakaria – YDP MAINPP, Ustazah Rokiah – Isteri YDP MAINPP, Tuan Haji Abdul Waheed – Saudagar Emas, Dato’ Yusof Latiff – Pengerusi Anak Yatim Pulau Pinang dan sahabat saya saudara Ruslan Harun – Pegawai PUZ. Misi kami ke sana ialah untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dengan Pentadbiran Agama Islam di Aceh. Kira cam kunjungan diplomatik gak aa.. hehe

13.50 ptg (waktu Indonesia) – Tiba di Bandara SIM, Banda Aceh, Indonesia (Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda). Perjalanan mengambil masa sekitar 1 jam 45 minit. Sebelum pesawat mendarat, dari atas saya sempat melihat daerah pinggir pantai yang dibadai tsunami pada tahun 2004. Beberapa hari sebelum ke sini, saya sempat membuat simple study tentang Aceh ini. Dikatakan sebelum peristiwa tsunami, bangunan di pinggir pantai Banda Aceh lebih padat berbanding dengan apa yang saya lihat sekarang…. Di bandara agak panas juga suhunya berbanding Malaysia. Kami dijemput oleh beberapa jawatankuasa dari Dewan Kemakmuran Masjid Aceh (DKMA) dan Baitul Mal Aceh. Kami di bawa untuk makan tengahari di Rumah Makan Cut Dek (restoran) di Banda Aceh sebelum di bawa ke hotel untuk mempersiapkan diri.

16.30 ptg (waktu Indonesia) – Selepas check-in di Hotel Kuala Radja, Jalan Tengku Daud Beureueh, Lampriet, Banda Aceh, kami di bawa menunaikan Solat Jama’ Ta’akhir Asar-Zohor di Masjid Al-Waqib. Masjid ini terletak di Deyah Raya, Syiah Kuala, Kota Banda Aceh berdekatan dengan Universitas Syiah Kuala (UNSYIAH), Banda Aceh. Selesai solat, satu Majelis Silaturrahmi (majlis suaikenal) dilakukan antara rombongan delegasi Pulau Pinang dengan Pimpinan Pusat Dewan Kemakmuran Masjid Aceh (PP DKMA) yang diketuai oleh Pak M. Hasan Basry selaku Ketua Umum PP DKMA. Beliau menyampaikan tiga (3) hasrat dari phak DKMA untuk dipertimbangkan oleh pihak kami. Pertama; memohon bantuan berbentuk kewangan selama setahun disalurkan kepada 20 orang anak-anak yatim Aceh yang berpotensi dan berprestasi dari semua aspek terutamanya akademik. Kedua; memohon bantuan berbentuk teknik dan kewangan untuk meningkatkan kualiti pengajian ilmu kepada muslimat  di masjid-masjid sekitar Banda Aceh. Dan ketiga; memohon bantuan berbentuk fizikal iaitu Gerobok Pisang (kereta tolak untuk menjual pisang goreng) kepada 20 orang Ummul Yatama (ibu-ibu tunggal yang kehilangan sumber pendapatan akibat bencana tsunami). Perbincangan berjalan dengan lancar sekali dan keputusan dibuat dengan penuh berhikmah.

19.00 mlm (waktu Indonesia) – Kami menunaikan Solat Maghrib dan Isya’ di Masjid Agung Al-Makmur, Lampriet, Kota Banda Aceh yang terletak 300 meter dari hotel tempat kami menginap. Tuan Haji Ustaz Ellias bin Zakaria – YDP MAINPP dijadualkan untuk memberi Taushiyah Maghrib (tazkirah) kepada para jemaah yang datang menunaikan solat di masjid tersebut.

Masjid ini mendapat peruntukan penuh daripada Kesultanan Oman untuk pembinaannya selepas bencana Tsunami 2004. Pembinaannya melibatkan dana Kesultanan Oman sejumlah 1.3 juta Dolar AS atau sekitar Rp17 miliar. Oman merupakan negara Islam di Timur Tengah yang pertama datang membantu Aceh setelah sebahagian besar wilayah pesisiran pantainya hancur dilanda tsunami. “Simpati, Mentari dan XL lumayan lah”. Atas nasihat Pak Adnan, saya beli simcard Simpati..

15 Januari 2010 (Jumaat)

08.00 pg (waktu Indonesia) – Setelah selesai bersarapan pagi di hotel, aktiviti kami seterusnya ialah ‘Talk Show – Dialog Interaktif’ bersama penduduk Aceh. Kami di jemput oleh Pak Drs. M. Kasim Hamid untuk di bawa bersiaran secara langsung (on-air) di Radio Baiturrahman.

Walaupun kontinya tidaklah secanggih di Malaysia, namun frekuensinya boleh mencapai sehingga 90 kilometer jauhnya. Berbangga juga saya kerana biarpun Aceh sedang dalam proses membangun, namun mereka mampu memanfaatkan teknologi ini dengan sebaik mungkin untuk menyampaikan risalah Islam. Di sana, saya berkenalan pula dengan DJ Radio Baiturrahman iaitu Pak Sayed Muhammad Husen.

09.30 pg (waktu Indonesia) – Kami bergerak pula ke Kantor Baitul Mal Aceh. Di sana seramai 10 orang karyawan (pekerja) sedang menantikan kehadiran kami.

Perbincangan kami di sana lebih tertumpu kepada pengalaman negeri Pulau Pinang menguruskan dana zakat dan projek-projek agihan zakat yang dilakukan oleh negeri Pulau Pinang. Hasil perbentangan, Baitul Mal Aceh, bersetuju dalam masa yang terdekat ini untuk menghantar beberapa orang Ummul Yatama ke Pulau Pinang untuk mempelajari bagaimana untuk membangunkan ekonomi keluarga.

Mereka dilihat cukup komited untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengursan dana zakat di Malaysia khususnya di Pulau Pinang. Saya yakin mereka mampu melakukan sesuatu yang hebat menggunakan wang zakat di Aceh. Ini kerana berdasarkan penglihatan saya, mereka mempunyai semangat kerjasama yang begitu tinggi di samping usaha ingin belajar sesuatu yang baru membuak-buak dalam diri mereka. Itulah kekuatan mereka…

Saya berkenalan dengan Pak Ir. Basri A. Bakar yang juga karyawan di sana. Pak Basri sempat menyampaikan kepada saya ‘Buletin Baiturrahman’ keluaran terbaru minggu tersebut yang akan diedarkan ke seluruh masjid di Aceh menjelang tengahari nanti. Buletin ini diedarkan setiap minggu pada hari Jumaat.

11.00 pg (waktu Indonesia) – Memandangkan masih awal lagi untuk ke masjid menunaikan Solat Jumaat, kami sempat singgah sekejap di sebuah kedai untuk menempah plaq nama untuk di bawa sebagai cenderahati sewaktu bertemu dengan Wakil Gubenur (WAGUB) Aceh petang nanti. Kedai ini bernama Kreasi Jamboo Kayee terletak berhadapan Masjid Jami’ Lueng Bata, Banda Aceh milik Pak Mukhtaruddin.

Ada sesuatu yang menarik di sini. Ketika saya bergambar kenangan dengan Pak Mukhtaruddin di dalam kedainya, saya terpandang di belakangnya terdapat papan putih tertulis angka-angka matematik moden. Saya meringankan mulut bertanya untuk apa? Adakah perlu sehingga mengira menggunakan aplikasi matematik moden hanya untuk membuat cenderahati..!!? Pak Mukhtaruddin terus menjawab dengan muka tersenyum, “waktu sore dan libur begini saya di kedai membuat souvenir.. namun waktu pagi saya di sekolah mengajar Add Math!!.. saya guru mas..” SubhanalLah.. itulah yang terdetik dalam hati saya.

12.00 tgh (waktu Indonesia) – Kami tiba di perkarangan Masjid Baitur Rahman untuk menunaikan Solat Jumaat. Masjid ini terletak di tengah-tengah bandar, Banda Aceh bersebelahan pasar (pusat membeli belah) utama Banda Aceh.

Masjid ini cukup masyhur. Inilah di antara masjid yang tidak ‘terkesan’ dengan pukulan ombak tsunami dulu. Saya diceritakan oleh penduduk di sana, gelombang tsunami setinggi pokok kelapa itu, bila sampai di masjid ini, gelombangnya menjadi tenang… Sebaik keluar sahaja dari perkarangan masjid, gelombang itu menjadi liar kembali… SubhanalLah..!!

Saya diceritakan juga, sewaktu tsunami berlaku, semua orang bertempiaran lari menyelamatkan diri. Termasuklah ada yang naik ke atas bumbung masjid di sekitar kubahnya. Saya sempat meneliti struktur masjid ini. Tiada tangga untuk naik ke atas bumbung masjid. Ertinya, mereka panjat ke atas bumbung masjid melalui dinding!! Maka sebab itulah setelah badai tsunami kembali reda, penduduk yang berada di atas bumbung masjid tidak dapat turun ke bawah. Terpaksa tunggu bantuan orang ramai. Itulah tindakan reflek yang  berlaku. Ketakutan mengatasi segala-galanya. Melihat air datang menggunung tinggi, apa sahaja akan dilakukan untuk menyelamatkan diri. Bagaimanalah nanti bila Kiamat berlaku..? tentu lebih dahsyatkan.. Masya-Allah…!!

02.00 ptg (waktu Indonesia) – Selesai menunaikan Solat Jumaat dengan khutbah yang sungguh mantap, kami bergerak ke Kantor Gabenor Aceh. Kami bertemu dengan Wakil Gubenur (WAGUB) – Tuan Muhamad Nizar. Kalau di Malaysia, Wagub seerti dengan Menteri Besar.

Menariknya, Gabenor di Aceh perlu melalui proses pilihanraya. Rakyat yang melantiknya.. berbeza sekali situasinya di Malaysia. Saya melihat, Wagub Aceh ini hebat sekali orangnya. Masih muda namun mempunyai misi dan visi yang jelas. Beliau tahu ke mana halatuju rakyat Aceh yang perlu di bawa..

Antara perkara yang dibincangkan ialah berkaitan dengan Pengurusan Masjid dan Pengurusan Baitulmal di Aceh dan Pulau Pinang. Banyak idea-idea yang diuatarakan oleh Wagub untuk membina kembali hubungan yang terjalin antara Aceh dan Pulau Pinang.

16 Januari 2010 (Sabtu)

08.00 pg (waktu Indonesia) – Pak Hilmy sedang menunggu kami di lobby hotel. Memandangkan hari ini adalah hari yang terakhir, maka saya berniat untuk melihat lagi kesan-kesan tsunami yang ada di sekitar Banda Aceh ini.

Sepanjang perjalanan, kelihatan mobil (kereta) yang ada di jalanraya kebanyakannya jenis 4wd. Paling banyak dari jenis Kijang Innova. Hampir semua platnya berawalan BL.

Pak Hilmy membawa kami melihat Kapal Apung. Sebuah kapal besar tersadai di tengah-tengah kampung. Kapal ini dibawa ombak sejauh 5 kilometer dari pantai sebelum menghempap 2 buah rumah penduduk di kampung tersebut.

Kemudian, kami bergerak pula ke kawasan Tanah Perkuburan mangsa tsunami. Saya difahamkan terdapat dua tempat tanah perkuburan yang besar. Pertama; berdekatan dengan Bandara SIM. Kedua; tempat yang saya ziarah ini.

Tanah perkuburannya cukup ringkas. Tiada batu nisan menghiasinya. Namun, di dalamnya terdapat ribuan manusia yang ‘tewas’ sewaktu tsunami. Hanya tanah lapang yang dibahagikan mengikut ‘Kawasan Kanak-Kanak’ dan ‘Kawasan Dewasa’…

Setelah itu, Pak Hilmy membawa kami melihat satu lagi tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Kami di bawa ke Masjid Baiturrahim, Uleelhee, Banda Aceh. Masjid ini terletak 500 – 800 meter dari pantai namun tidak terkesan langsung dengan tsunami. Masjid ini tidak runtuh walaupun seluruh perkampungan di sini musnah. Sempat kami menunaikan solat sunat Tahiyyatul Masjid di situ. AlhamdulilLah..!! Namun, niat saya tidak kesampaian untuk pergi ke kawasan Lampu-uk kerana masa yang tidak mengizinkan. Berdasarkan bacaan saya, Lampu-uk adalah sebuah perkampungan berhampiran dengan pantai yang juga dilanda tsunami. Penduduknya sebelum tsunami seramai 7,000 orang. Tetapi selepas tsunami yang tinggal hanya 700 orang.

11.00 pg (waktu Indonesia) – Selesai melihat tanda Kebesaran Allah itu, saya mohon jasa baik Pak Hilmy untuk membawa kami ke pasar Banda Aceh. Sepanjang perjalanan ke sana, Pak Hilmy menceritakan pengalamannya sewaktu peristiwa sedih itu. Menceritakan bagaimana suasana mayat bergelimpangan di atas jalan yang saya lewati itu. Tak dapat nak saya bayangkan…

Di sekitar Banda Aceh, melihatkan makanan, pakaian, barangan dan pelbagi jenis tudung dijual. Pesat juga pembangunan ekonomi di Aceh ini. Hampir 90% semuanya milik orang Islam..

12.30 tgh (waktu Indonesia) – Kami sampai di Bandara SIM. Bandara SIM tidak sebesar dan seramai KLIA. Di KLIA masih ada kedai Polo Shirt, Dunkin Donuts, dan kedai-kedai bebas cukai. Namun di sini, tidak banyak kerusi untuk duduk, terminal ketibaannya gelap, banyak supir teksi yang menunggu penumpang sambil merokok, ada kakek yang penjual mangga dan pisang sambil berkeliling mendatangi orang-orang yang duduk menunggu jemputan… termasuk saya.

Mata saya terpandang perkataan ‘Awak Awai’. Awak Awai dalam bahasa Aceh ertinya orang lama…mungkin banyak maksudnya itu…

Posted in SANTAI | Leave a Comment »

TERENGGANU LABUR RM5 JUTA LAKSANA PROGRAM ‘REMPIT SIFAR’ & ‘JINAK REMPIT’

Posted by solhisharif on 24 December 2009

23 Disember 2009

Terengganu laksana Program ‘Rempit Sifar’ & ‘Jinak Rempit’ !!

Ada sesuatu yang ingin dikongsikan bersama tentang tajuk berita hari ini..

Terdiam sekejap saya membaca tajuk berita ini dalam Malaysiakini. Apa kena dengan tajuknyer..? Tajuknyer x ada cacat celanya kan… segala-galanya nampak menarik jer… Ditambah pula apabila isi berita ini memaklumkan sebanyak RM5 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri Terengganu untuk melaksanakan program ‘rempit sifar’ dan program ‘jinak rempit’ yang akan berkuatkuasa tahun depan (2010). Tujuannya, untuk memastikan gejala sosial yang semakin membarah di kalangan remaja di negeri itu dibendung. Peruntukan yang besar itu menggambarkan langkah proaktif kerajaan negeri dalam memastikan golongan belia di negeri itu tidak berterusan terlibat dengan kegiatan yang tidak berfaedah.

Selepas membaca isinya dengan penuh teliti, mulalah kepala saya ni diterjah dengan soalan-soalan yang memerlukan jawapan.. silalah kalau ada yang mampu memberi jawapannya.. hehehe… Read the rest of this entry »

Posted in SANTAI | Leave a Comment »

MUSUH ISLAM SEDANG ATUR STRATEGI BARU

Posted by solhisharif on 6 October 2008

Oleh : Mohamad Solhi bin Haji Mohd Sharif

Presiden US - BushPenduduk dunia menjadi panik apabila presiden Amerika, George W Bush membuat pengumuman di televisyen dengan menakut-nakutkan orang ramai kononnya negara akan melalui satu lagi kegawatan yang hebat. Untuk kali pertama dalam sejarah Amerika Syarikat, bantuan presiden terpaksa diperoleh untuk menghadapi kepanikan kewangan yang boleh menggugat ekonomi dunia. Perkara ini hanya boleh diselesaikan jika cadangan mendapatkan sokongan kongres diluluskan bagi menyalurkan sejumlah peruntukan bagi menyelamatkan sektor kewangan negara itu daripada merudum. Ironinya, ketika Amerika mengalami kegawatan paling hebat pada era pemerintahan Franklin Roosevelt, presiden itu meyakinkan rakyat negara itu supaya tidak terlalu panik. Ini amat berbeza dengan Bush…

Impaknya, jutaan rakyat bertindak luar biasa akibat ketakutan itu. Mereka mula mengeluarkan wang dari bank dan pasaran saham. Bush menggunakan hujah kejatuhan pasaran saham lima hari kemudian (akibat dari penduduk mengeluarkan wang) untuk memaksa ahli kongres secara ‘lembut’ untuk meluluskan bantuan kewangan itu. Bush menambah lagi tekanan dengan memperkenalkan peraturan baru di Wall Street kononnya menstabilkan aliran ekonomi. Tetapi hakikat sebenarnya menambahkan lagi kekalutan krisis kewangan yang berlaku. Tindakan itu menyebabkan institusi kewangan bertindak keterlaluan dan menyulitkan lagi dasar ekonomi Amerika. Akhirnya, ahli kongres terpaksa meluluskan cadangan tersebut akibat desakan rakyat yang percaya akan hujah Bush.

Pengerusi Rizab Persekutuan - Ben Bernanke

Sebenarnya, hujah Bush yang mengatakan pasaran saham jatuh merudum itu membolehkan bantuan kewangan diberikan adalah tidak kuat sama sekali. Umum mengetahui pergerakan pasaran saham didorong oleh persepsi massa terhadap perkembangan semasa. Ia tidak ada kena mengena dengan fundamental sebenar ekonomi.

Penggunaan taktik menakut-nakutkan orang ramai itu turut dikongsi pegawai Bush, termasuk Setiausaha Perbendaharaan, Henry Paulson dan Pengerusi Rizab Persekutuan, Ben Bernanke. Gabungan strategi mereka bertiga berjaya mencipta suasana ‘panik’ dalam pasaran dan cukup untuk menggerunkan orang ramai.

Tidak ada sesiapapun melihat punca sebenar ekonomi dunia merudum adalah disebabkan oleh kegagalan dasar ekonomi Bush selama ini. Ditambah pula dengan sikap cuai Paulson dan Bernanke terhadap ‘gelembung industri perumahan’ Amerika yang mencecah sehingga AS$8 trilion. Kini, ketika gelembung industri itu mula runtuh satu persatu, ekonomi mengalami kerugian sehingga AS$4 trilion dan baki AS$4 trilion lagi akan ghaib pada tahun depan.

Pada masa sama, Paulson dilihat mendapat manfaat daripada polisi baru yang diperkenalkan kerajaan US. Dia memperoleh berjuta-juta dolar daripada firma pelaburan Goldman Sachs dalam bentuk pampasan ketika menduduki kerusi ketua eksekutifnya sebelum ini.

Setiausaha Perbendaharaan - Henry Paulson

Maka, secara politiknya terbukti langkah Bush itu berkesan. Namun, di pihak lain, kejayaan Bush itu membayangkan betapa Amerika yang dikatakan sebuah negara  paling berkuasa di dunia, sedang menghadapi satu masalah yang amat besar. Sebuah negara yang maju dan sedang mula menuju kepada kehancuran. Inilah janji Allah SWT.

Perlu kita renungkan bersama, untuk apa Bush lakukan semua ini? Beberapa tahun yang lepas, wang rakyat US telah dihabiskan untuk membunuh umat Islam (kononnya memerangi pengganas), kini mendapat pula bantuan kewangan baru yang diluluskan ahli kongres secara ‘paksa-rela’. Bukankah Bush sedang menyusun strategi baru? Kali ini siapakah pula yang menjadi mangsanya? Tentunya umat Islam.. namun, sebanyak manakah persiapan kita? sudahkah kita bersedia?

Posted in SANTAI | 5 Comments »

POLIS MALAYSIA ADA MASALAH PSIKIATRI

Posted by solhisharif on 6 October 2008

Kesyahduan gema takbir raya di Kampung Selendang, Padang Tengku Kuala Lipis pada jam 6.30 pagi terganggu apabila seorang anggota polis yang beasal dari Kelantan melepaskan 58 das tembakan ke udara berhampiran satu tanah perkuburan Islam, kemudian ke arah dua buah kereta orang awam yang kosong, dan  ke arah keretanya sendiri. Tembakan tersebut dipercayai rambang dan tiada nyawa yang terkorban berlaku.

revolver

revolver

Di satu pihak, ramai yang menarik nafas lega kerana tiada kemalangan jiwa berlaku. Ada juga yang mengatakan mungkin untuk melepaskan tension! Namun, pada pandangan saya pula di sebalik kejadian tersebut pasti tersembunyi kisah-kisah lain yang menjadi sebab-musabab kenapa ini berlaku. Kisah ini meninggalkan pelbagai polemik kepada masyarakat yang kini disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan di kawasan yang tidak sah. Segala persoalan masih bermain di fikiran.

Antara persoalan- persoalan hasil perbualan saya dengan orang ramai ialah:-

1) Usia 22 tahun, berstatus bujang, dan baru berkhidmat tiga (3) tahun dilihat tidaklah sepatutnya mengalami tekanan perasaan yang keterlaluan. Beliau masih muda, belum berkahwin, dan baru bekerja. Namun kenapa beliau boleh mengambil tindakan sampai ke tahap itu?

2) Bukankah sewaktu temuduga rekrut menjadi anggota polis, semua tahap diuji termasuk ujian psikologi. Sepatutnya dapat dikesan lebih awal lagi tahap kewarasannya?

3) Beliau bertugas di Bahagian Am, Balai Polis Simpang Durian, Jelebu Negeri Sembilan dan telah mengambil cuti selama dua hari sebelum hari raya. Namun bagaimana dia boleh sampai ke Kuala Lipis pada hari kejadian dan memiliki senjata jenis revolver, HK MP5, dan peluruh lebih 58 butir pada hari dia tidak bertugas? Kebiasaannya seorang anggota polis yang bertugas hanya dibekalkan sepucuk pistol revolver dan 30 butir peluru dan mesti menyerahkan kembali setelah habis tugas.

HK MP5

4) Beliau berkata anggota polis itu membawa pulang pistol yang sepatutnya ditinggalkan di tempatnya bertugas di Balai Polis Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan. Bagaimana boleh dibenarkan harta benda polis di bawa pulang ke rumah?

Sama-samalah kita nantikan keputusan yang dibuat oleh pakar-pakar psikiatri. Saya tidak sabar untuk mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku..

 

Posted in SANTAI | Leave a Comment »