www.solhisharif.com

Redha-Mu Kemuncak Impianku…

Archive for the ‘BAITI’ Category

AL-FATIHAH BUAT ADIK SAYA: SYAFIQ SHARIF

Posted by solhisharif on 27 July 2009

syafiq corporate

Syafiq Dalam Kenangan

BismilLahir Rahmanir Rahim..

Tanggal 24 Julai 2009 bersamaan 02 Sya’aban 1430H setelah solat Jumaat, saya telah kehilangan seorang adik yang dikasihi mengadap Tuhan yang Maha Esa..

27 Jun 2009 – Sebulan sebelum Syafiq meninggalkan kami; Jam 10.00 mlm – Saya balik ke kampung untuk ziarah mak abah. Kebetulan Syafiq bercuti dan ada di kampung juga. Saya ambil masa ini untuk bertanya tentang pelajaran dan aktivitinya. Syafiq maklum kepada saya apabila buka semester baru nanti perlu sewa rumah di luar. Dan perlu motosikal untuk ulang-alik ke kelas. Syafiq dah survey harga motor di beberapa kedai. Saya tahu Syafiq amat memerlukan motor untuk kemudahannya belajar, tapi entah tidak tahu kenapa hati saya amat berat sekali untuk mengiyakan kehendaknya kali ini. Jadi saya bagi cadangan kepada Syafiq, “buat masa ni tumpang dulu motor kawan sementara abg uda nak bincang dengan abg ngah kalau-kalau dia boleh bg pinjam motor dia.. Tak payah beli lain lah..” Syafiq setuju.. dan saya sempat bagi kata-kata semangat untuk Syafiq. Antaranya saya mengatakan kepada Syafiq, “…buatlah sesuatu yang boleh banggakan keluarga.. Abg uda nak tengok lepas ni..” Syafiq hanya membisu…

04 Julai 2009 – 3 minggu sebelum Syafiq meninggalkan kami; Jam 9.00 pg – Saya bertolak ke rumah sewa Syafiq di Changkat Sodang bersama mak abah untuk menghantar barang-barangnya. Syafiq balik awal lagi ke rumah sewanya dengan bas. Selalunya, tugas menghantar dan mengambil Syafiq ini dilakukan oleh abang saya yang ke-2 dan ke-3 (Abg Ngah & Abg Cik). Saya tak pernah berkesempatan untuk berbuat demikian kerana sibuk menguruskan tanggungjawab yang lain. Entah kenapa hari itu, saya sendiri yang beriya-iya ingin menghantarnya. Saya sempat melihat rumahnya, berkenalan dengan kawan-kawan serumahnya, keluar ke bandar membeli barang-barang keperluan Syafiq dan sempat masuk ke dalam kampus UiTM Seri Iskandar melihat tempat belajarnya. Itulah kali terakhir saya bersama-sama dengan Syafiq. Dan itulah kali terkahir saya dapat menghantar Syafiq ke kampusnya…

07 Julai 2009 – Syafiq telefon saya maklumkan dia dah tak perlu motor lagi. Sebab ada kawan yang boleh tumpangkan dia. Terasa amat bersyukur sekali apabila Syafiq cakap macam itu.

18 Julai 2009 – Seminggu sebelum Syafiq meninggalkan kami. Ibu saya telefon dari kampung maklumkan Abg Ngah setuju untuk berikan motornya kepada Syafiq. Dan mohon pendapat saya. Sekali lagi, hati saya amat berat untuk mengatakan boleh. Tapi saya tidak ada sebarang alasan untuk menyokongnya. Waktu itu, saya ada program training di Genting Highland bersama Pegawai Kementerian Luar Negeri Malaysia. Habis slot saya berkaitan dengan kematian, setelah audien keluar dari dewan, kepala saya terasa amat sakit sekali. Kesakitan itu terasa betul-betul di tengah ubun-ubun saya dan tak pernah rasa sebegini sepanjang saya membawa slot ini. Mungkin inilah petanda dari Allah yang bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang, WalLahu A’lam.

22 Julai 2009 – Abg Ngah menguruskan motor untuk diposkan kepada Syafiq di Seri Iskandar. Walaupun berat, namun saya tetap membenarkan juga demi kemudahan Syafiq.

syafiq & mak

Syafiq & Bonda sewaktu hari raya 2008.. Siapa pun tidak menyangka Syafiq dah x dapat beraya bersama-sama tahun ini..

24 Julai 2009 / 02 Sya’aban 1430H (Jumaat) – Bermula sebuah tragedi

Jam 2.00 ptg – Selesai solat jumaat, saya bergerak pulang ke pejabat di Bandar Perda, Bukit Mertajam. Sampai di pejabat, saya terima panggilan daripada kawan Syafiq (kalau tak salah saya namanya Ady) memaklumkan Syafiq terlibat dengan kemalangan. Saya bertanya kepada Ady, “teruk tak?” Ady menjawab, “Buat masa ni tak boleh nak cakap apa-apa lagi bang..” Saya tanya Ady lagi, “Syafiq eksiden dengan apa..?” Ady jawab, “Dengan motor Syafiq yang baru sampai kelmarin dari Penang..” Saya bertanya lagi, “macamana boleh jadi ni?” Ady pun menceritakan yang Syafiq baru keluar dari masjid berdepan dengan kampus UiTM Seri Iskandar baru selesai menunaikan solat Jumaat. Syafiq dalam perjalanan balik ke rumah sewanya di Changkat Sodang. Sampai di satu simpang, tiba-tiba ada sebuah kereta melanggarnya. Mendengar cerita itu, saya terus meminta Ady berikan telefon bimbitnya itu kepada adik saya. Saya nak bercakap sendiri dengannya. “Bagi handset tu kat Syafiq, Abg nak cakap dengan Syafiq…” Namun kali ini Ady menjawab dalam nada yang serba salah, “Dia tak boleh cakap buat masa ni bang..” Saya tidak berpuashati dengan jawapan itu. Kerana dalam benak saya, adik saya itu hanya cedera ringan dan sedang duduk di tepi jalan sambil menunggu bantuan. Saya bertanya lagi, “Kenapa tak bawa Syafiq pergi hospital dulu? Sapa dah ada kat situ?” Ady jawab, “sekarang ni ambulan dan kereta polis dah sampai.” Saya tersentak! pada kebiasaanya, kalau kemalangan melibatkan cedera ringan, sudah pasti orang ramai akan bawa adik saya terlebih dahulu ke hospital berdekatan. Namun, kenapa perlu ada ambulan dan kereta polis? adik saya tidak boleh bercakap.. tapi masih ada di tempat kejadian.. kenapa tak ada sapa2 yang nak tolongnya? Saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena.. Saya maklumkan kepada Ady, saya akan bertolak segera ke Seri Iskandar, Perak. Saya sempat juga menelefon ibu dan abang-abang memaklumkan kejadian ini dalam keadaan kami semua tidak tahu yang sebenarnya Syafiq sudah tidak ada lagi…

Jam 2.30 ptg – Saya sampai di tol Juru. Saya terima panggilan dari HEP UiTM Seri Iskandar mengesahkan kemalangan tersebut. Saya dimaklumkan yang Syafiq cedera parah sangat-sangat dan meminta kami sekeluarga bersedia atas sebarang kemungkinan. Saya juga dimaklumkan Syafiq di bawa ke Hospital Changkat Melintang, Bota.  Di benak saya hanya bermain perkataan Syafiq mungkin akan dimasukkan ke ICU dan mungkin Syafiq mengalami kecacatan serius. Langsung tidak terlintas Syafiq sudah bertemu Ilahi.. Sesekali terfikir juga saya, kalau benar cederanya parah, kenapa tidak di bawa ke Hospital Ipoh. Kenapa perlu di bawa ke hospital desa sahaja? Namun, saya melepaskan sahaja kerana tidak mahu kosentrasi pemanduan saya terganggu.

Jam 3.00 ptg – Saya sampai di tol Taiping untuk susur keluar ke rumah bapa saudara saya (Pakchaq). Pakchaq seorang anggota polis dan saya merasakan amat perlu membawanya untuk memudahkan urusan kemalangan ini (atas nasihat abg.Ngah juga). Kebetulan pula Pakchaq bercuti. Sempat juga zaujah menghubungi sorang kawan yang kebetulan tinggal berdekatan dengan Hospital Changkat Melintang untuk pergi membantu adik saya di hospital sementara saya sampai (namun sebenarnya adik saya sudah tidak ada pada waktu ini)…

Jam 4.00 ptg – Saya sampai di tol Jelapang untuk susur keluar ke Seri Iskandar. Kawan kami (Imah & Munira) yang sudah sampai di hospital menghubungi kami. Memaklumkan berita yang memilukan itu. “Sebenarnya Syafiq dah xder di tempat kejadian lagi…” Saya sudah tidak mampu membawa kenderaan. badan terasa amat lemah tidak bermaya. Air mata tidak dapat ditahan lagi. Amat terkilan sekali kerana tidak sempat bercakap dengannya buat kali terkahir… Patutlah Syafiq tak boleh bercakap.. patutlah mereka hantar Syafiq ke hospital desa sahaja… Sebab dia dah xder.  Tidak perlu bawa sampai ke Hospital Ipoh.

Jam 4.10 ptg – Pakchaq membawa kereta saya. Saya hanya menangis sambil memujuk hati untuk menerima hakikat adik saya yang bongsu dah kembali ke Rahmat Allah. Inilah kali pertama saya menerima kehilangan anggota keluarga kami enam beradik. Mulut saya tidak berhenti-henti membaca surah al-Fatihah kepada Syafiq.SYAFIQ dlm kenangan Begitulah realiti alam dunia ini. Kelahiran dan kematian bersilih ganti.

Jam 5.00 ptg – Saya sampai di Hospital Changkat Melintang. Saya dimaklumkan Syafiq sedang dibuat post-mortem. Kawan-kawan Syafiq dengan dua orang  pegawai UiTM En. Lehan dan En. Raja Ibrahim sedang menanti kedatangan kami. Setelah dibincangkan, saya bersetuju (setelah menghubungi Pakteh & Ayah Mie di kampung) Syafiq dimandikan dan dikafankan di hospital dan di bawa pulang ke kampung petang itu juga.

Jam 6.00 ptg – Saya masuk ke dalam bilik mayat untuk mandikan Syafiq. Saya lihat kecederaan yang paling ketara adalah di bahagian kepala dan tangan kanannya. Kematian Syafiq disahkan pada pukul 2.00 ptg akibat ‘Basal Skull Fracture’ (keretakan di bahagian tengkorak) oleh Dr. Mohd Iskandar bin Mohd Ghazalli.

Jam 7.00 mlm – Kami menunaikan solat jenazah untuk Syafiq. Zaujah dari tadi menghubungi rakan-rakan Syafiq memaklumkan berita sedih ini. Sementara menunggu waktu maghrib, Kami pergi sekejap ke rumah sewa Syafiq di Changkat Sodang untuk mengambil barang-barangnya.

Jam 8.00 mlm – Kami mula bergerak meninggalkan hospital. Sebuah van jenazah, sebuah van UiTM, dan 4 buah kereta berkonvoi menghala ke Baling, Kedah.

Jam 1.30 pg – Kami selamat sampai di Kg.Iboi, Kupang Baling Kedah. Syafiq disambut dengan ahli keluarga, sanak-saudara, penduduk-penduduk kampung dan kawan-kawan rapatnya. Syafiq di bawa masuk ke dalam rumah untuk mak dan abah lihat buat kali terakhir. Mak dan abah amat tenang menerima semua ini. Setelah Syafiq disolatkan, Syafiq di bawa ke tanah perkuburan Kg. Bukit Iboi. Dulu, saya dan Syafiq bersama keluarga selalu datang ke sini untuk menziarah kubur sanak-saudara sewaktu hari raya. Namun, pada malam itu, saya seakan-akan tidak percaya kunjungan kami ke sini adalah untuk menghantar Syafiq buat selama-lamanya.

Jam-2.00 pg – Setelah dibacakan talqin, Allahyarham Syafiq telah siap disemadikan. Semoga adik kekal bahagia di sana…

p/s:- Pada malam (sebulan sebelum tragedi) saya cakap dengan Syafiq dan minta dia buat sesuatu yang boleh membanggakan keluarga sebulan sebelum tragedi ini berlaku, Syafiq hanya membisu dan mendiamkan diri.. patutlah dia membisu.. rupa-rupanya inilah KEBANGGAAN yang ingin adik saya berikan kepada kita semua. KEBANGGAAN HUSNUL KHATIMAH. Yang mana kebanggaan ini belum tentu kita yang masih hidup ini mampu lakukan…

1) Adik saya meninggal pada petang hari Jumaat (Hari mulia penghulu segala hari)

2) Terlepas dari fitnah kubur kerana meninggal pada hari Jumaat seperti sabda Nabi SAW – mafhum hadith

3) Meninggal pada bulan Sya’aban (Bulan Mulia sehingga Nabi SAW mengiktiraf bulan ini adalah bulannya – mafhum hadith)

4) dan tugasnya sebelum dia meninggal ialah MENUNAIKAN SOLAT JUMAAT. (Lihatlah kehidupan seseorang itu pada pengakhiran hidupnya.. bukan pada permulaan atau sepanjang hidupnya)

Saya muatkan juga link ke blog kawan rapat Syafiq iaitu Fikri (Ayie) yang menceritakan saat-saat dia melihat sendiri tragedi yang berlaku. http://mohdfikrisaim.blogspot.com/2009/07/tragedy.html Syafiq ada juga sebut nama Ayie antara kawan rapatnya dan dia akan tumpang motor Ayie utk ke kelas sementara menunggu motor sampai. Terima kasih Ayie, Ady dan kawan2 serumah Syafiq atas pertolongan menguruskan Allahyarham sewaktu kejadian..)

AL-FATIHAH buat adik saya Allahyarham Mohammad Syafiq bin Mohd Sharif. Semoga rohnya ditempatkan bersma orang-orang beriman. AMIN.

Posted in BAITI | 19 Comments »

MEMILIH UNTUK HIDUP BUJANG: APA KATA ISLAM?

Posted by solhisharif on 5 October 2008

Belakangan ini, semacam wujud satu tren terutamanya di kalangan mereka yang bekerjaya besar untuk memilih hidup membujang. Kebanyakannya memberi alasan tidak mahu menambah komitmen lagi. Justeru itu, ingin saya berkongsi satu artikel yang ditulis oleh abang saya – Dr. Mohd Farid bin Haji Mohd Sharif; Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM. Artikel ini telah disiarkan dalam beberapa makalah tempatan. Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua.

Sama ada kita sedar atau tidak, ada manusia yang fizikal dan mentalnya sangat sihat tetapi memilih untuk tidak mahu berkahwin. Senario ini bukanlah satu perkara yang sungguh-sungguh luar biasa dan ganjil, hinggakan lelaki atau wanita yang memilih untuk hidup membujang sebegini dianggap mempunyai masalah dan beliau perlu mendapatkan rawatan kaunseling. Sebenarnya, golongan ini tidak mengalami apa-apa gangguan baik dari segi emosi mahupun jasmani, justeru tidak perlu dipandang serong baik oleh keluarga sendiri mahupun kawan-kawan sepejabat. Malah, mereka juga tidak semestinya pergi mendapatkan nasihat dari mana-mana individu yang menawarkan khidmat kaunseling. Namun begitu, bagaimanakah jika terdapat suara yang mendakwa bahawa hukum seorang lelaki atau perempuan yang tidak berkahwin sepanjang usianya, adalah haram. Jika dakwaan ini benar, sebesar manakah dosa yang bakal ditanggung oleh lelaki atau perempuan itu. Atau, bagaimanakah jika ada yang mengatakan tindakan tidak mahu berkahwin itu bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad SAW, lantas lelaki atau perempuan itu tidak akan diakui sebagai umat baginda SAW.

Pada asasnya, Islam adalah agama yang menggalakkan seseorang yang mampu berkahwin, iaitu cukup kesihatan dan cukup perbelanjaan, dan bersedia menjalankan kewajipan sebagai suami dan isteri supaya berkahwin dan mendirikan sebuah rumah tangga yang bahagia. Memang benar, Nabi Muhammad SAW tidak menyukai orang yang membujang seumur hidup, kecuali orang itu mempunyai masalah yang tidak mengizinkannya untuk berkahwin. Namun, baginda SAW tidak pula menyebut dengan terperinci apakah jenis-jenis masalah itu kerana baginda menyedari bahawa setiap orang mempunyai masalah tersendiri. Masalah ini termasuklah tidak sempurna kesihatan fizikalnya, mempunyai gangguan emosi dan mental atau apa-apa sahaja yang membuatkannya tidak berminat untuk mendirikan rumah tangga.

Galakan supaya berkahwin memang jelas ditekankan dalam Islam. Sebagai contoh, dalam sebuah hadith: “Berkahwinlah kamu dan beranak pinaklah kamu dengan banyaknya. Sesungguhnya aku akan berbangga dengan kamu berbanding umat-umat lain pada hari akhirat nanti (Riwayat Abu Daud dan al-Hakim).” Selain nasihat ini, Nabi Muhammad SAW turut mengecam segolongan sahabat yang pernah menyatakan hasrat mereka untuk berkasi dan terus membujang sepanjang hidup supaya dapat menumpukan perhatian kepada ibadat. Berkahwin serta hidup berkeluarga merupakan satu fitrah yang dikurniakan oleh Allah SWT semenjak Adam yang menjadikan manusia dan semua makhluk berpasang-pasangan. Perkahwinan juga merupakan satu rahmat serta salah satu daripada tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah SWT. Di mana dengan berkahwin, seorang itu dapat menyalurkan kehendak fitrahnya seperti berkasih sayang, menyalurkan tuntutan nafsu seks, dapat mengadakan perbincangan atau berkongsi buah fikiran, berhak untuk mewarisi harta antara satu sama lain dan dapat mengukuhkan ekonomi bagi pasangan yang bekerja.

Islam meletakkan hukum yang berbeza tentang perkahwinan mengikut keperluan dan keadaan. Bagi golongan yang berkemahuan dan berkemampuan zahir dan batin untuk berkahwin serta menaruh kebimbangan terjebak dalam maksiat, jika ditangguhkan perkahwinan hukumnya adalah berdosa. Dalam erti kata lain, hukum berkahwin itu menjadi wajib. Bagi golongan yang berkeinginan dan mampu, tetapi jika terus hidup membujang mereka masih dapat mengawal diri mereka daripada perbuatan maksiat, maka hukum berkahwin adalah sunat. Hukum berkahwin menjadi harus bagi sesiapa yang tidak mempunyai apa-apa sebab yang mendorong mereka berkahwin dan tidak ada sebab yang menghalang mereka daripada berkahwin. Juga, harus berkahwin kepada mereka yang sudah ada kemampuan tapi belum ada keinginan. Manakala bagi mereka yang tidak mampu dan tidak yakin dapat melaksanakan kewajipan sebagai suami atau isteri, ataupun dia sememangnya tidak berminat langsung untuk hidup berpasangan, maka hukum berkahwin adalah haram. Begitu juga jika terdapat lelaki atau perempuan yang ingin berkahwin tetapi berniat untuk mendera atau menipu pasangannya, maka hukumnya juga adalah haram kahwin. Para ulama berpendapat hukum ini sama sahaja baik bagi lelaki mahupun perempuan. Kerana perkahwinan adalah sebuah institusi yang mulia dan perlu dihormati serta dipelihara dari segala perlakuan negatif yang boleh merosakkannya.

Fenomena hidup membujang sepanjang usia bukanlah satu hal yang baru muncul pada zaman pasca moden ini. Umat Islam yang hidup pada abad-abad awal Islam sebenarnya sudahpun menikmati hidup bujang ini. Terdapat beberapa ulama terkenal yang telah menghabiskan usia hidup tanpa berkahwin, sebagai contoh Muhammad b. Jarir al-Tabari (m. 313/925). Beliau sangat terkenal dalam bidang tafsir al-Qur’an, pengarang kitab sejarah yang terkemuka dan pengasas sebuah mazhab fiqh pada zamannya. Demikian juga dengan Mahmud b. ‘Umar al-Zamakhshari (m. 538/1144), seorang ulama dan pengarang kitab tafsir; dan Ahmad b. ‘Abd al-Halim Ibn Taymiyyah (m. 727/1328). Tiga tokoh yang disebutkan ini ialah antara ulama besar dalam bidang tafsir dan perundangan Islam. Ratusan penyelidikan telah dilakukan tentang sejarah dan sumbangan pemikiran mereka dan berjaya pula menghasilkan tesis-tesis sarjana atau doktor falsafah.

Ramai ulama berpandangan bahawa kahwin membunuh cita-cita sebagai seorang ilmuan. Umar b. al-Khattab (m. 23/644), misalannya pernah menasihati muridnya supaya belajar bersungguh-sungguh sebelum kahwin. Begitu juga dengan Imam Abu Hanifah (m. 150/767) pernah menasihati Abu Yusuf (m. 182/798) agar jangan berkahwin di usia muda. Setelah berkahwin, masa akan tertumpu kepada keluarga, tidak lagi kepada pelajaran. Ulama yang memilih hidup tanpa kahwin tentu ada sebab-sebabnya sama ada peribadi atau lain-lain. Kebiasaannya para ulama memilih hidup bujang disebabkan tanggungjawab mereka yang besar terhadap umat Islam. Mereka hidup sepenuh masa dengan berbakti kepada ilmu pengetahuan, menjadi ahli ibadat, ulat buku, pengarang buku dan lain-lain. Sebagai bayarannya, mereka rela hidup tanpa kahwin sepanjang usia.

Walaupun para ulama ini tidak pernah mengasuh anak-anak kerana tidak pernah berumahtangga, tetapi mereka pernah membangunkan ummah dan pernah mengasaskan institusi-institusi ilmu dan mazhab pemikiran Islam menerusi pelajar-pelajar mereka. Para pelajar ini dididik dan diasuh sehingga menjadi ulama yang terkenal dalam bidang masing-masing dan meneruskan kesinambungan ilmu pengetahuan yang diwarisi daripada guru mereka.

Kembali kepada dakwaan bahawa hukum tidak berkahwin sepanjang usia itu adalah haram. Kononnya mereka yang tidak mahu berkahwin tidak mengikuti sunnah nabi dan nabi sendiri tidak akan mengaku sebagai umatnya. Cuba kita lihat nama-nama ulama seperti yang telah disenaraikan tadi. Sudah tentu para ulama itu lebih mengetahui tentang hukum dan kewajipan untuk menjadi umat nabi yang terbaik. Mereka pastinya lebih tahu tentang hakikat dan keperluan sebenar dalam kehidupan mereka dan tentunya para ulama ini juga tidak rela diri mereka tidak diakui sebagai umat nabi.

Dakwaan yang tidak berasas sebegini tidak perlu dilayan. Bagi mereka yang berasa cukup bahagia dengan hidup tanpa kahwin dan memangpun telah menjalani kehidupan tanpa kahwin selama ini, maka janganlah risau terhadap masa depan yang masih ada. Hadapilah hidup ini dengan tenang dan optimistik. Sebagai ganti kepada kehidupan tidak kahwin, lakukanlah amal kebajikan dan berikan sumbangan kepada agama dan masyarakat sebanyak yang termampu. Temuilah kebahagiaan melalui kerja-kerja amal dan sumbangan bakti kepada masyarakat. Contohilah kehidupan para ulama silam itu yang menghabisi usia bujang mereka dengan berbakti kepada ilmu pengetahuan dan membangunkan ummah.

Posted in BAITI | 3 Comments »

TAHNIAH TO MY SISTER.. BUDIMAN MESTI DALAM & LUAR TAU.. :)

Posted by solhisharif on 20 July 2008

Congrate sis..! :)

congrate sis..! 🙂

19 Julai 2008

Adik saya sempat juga masuk Pertandingan Siswi Budiman yang dianjurkan oleh Kolej Sebelas UPM. Setakat yang saya tahu, Pertandingan ini mengandungi dua peringkat saringan, iaitu pertandingan gubahan hantaran perkahwinan dan pertandingan memasak sebelum peserta layak ke peringkat akhir.

Dalam ramai-ramai peserta tu, adik saya juga yang dinobatkan sebagai Johan. Punca kemenangan, kerana dapat mempamerkan sifat keyakinan yang tinggi. (Penting sebenarnya level confident ni..)

Dengan kemenangan itu, adik saya juga dapat mewakili UPM untuk pertandingan Siswi Budiman intervarsiti. Anyway, congrate to my lovely sister Siti Sakiinah Mohd Sharif.. budiman jangan luar jer.. maintain dalam sekali k.. and don’t always forget for 360 degree.. 🙂

Posted in BAITI | 2 Comments »