www.solhisharif.com

Redha-Mu Kemuncak Impianku…

Archive for the ‘AGAMA’ Category

ISU MODUL ESQ 165: ‘SPIRITUAL FILTER’ DARI ALLAH SWT.

Posted by solhisharif on 10 July 2010

Assalamualaikum Wrt. Wbt. & Salam Hormat.

Berhubung isu pengharaman Modul ESQ 165 di Wilayah Persekutuan, ramai yang brtanya pendapat peribadi saya tentang ini. Saya pada asalnya tidak mahu menyatakan apa-apa kerana saya langsung tiada sebarang ikatan @ berkaitan penyampaian modul ESQ 165. Saya hanyalah alumni ESQ 165 sama seperti ribuan alumni yang lain di luar sana. Apatah lagi melihat kepada betapa kerdilnya saya untuk menyatakan sesuatu melibatkan hukum yang telah difatwakan oleh Ahlinya (Mufti). Saya bukanlah orang yang selayaknya! Namun, melihat kepada saya juga terlibat secara langsung dalam memberi latihan pembangunan manusia, saya menulis juga dengan niat bukan untuk memihak kepada mana-mana, tetapi hanya sekadar berkongsi apa yang sedang dirasai saat ini.

Saya berpendapat, Allah tidak melakukan sesuatu itu sia-sia. Setiap apa yang berlaku PASTI ada hikmahnya.. begitu juga dengan isu ini, saya amat yakin pasti ada hikmahnya.

Entah kenapa isu ini membawa ingatan saya kepada Peristiwa Perang Badar yang sungguh ulung. Bagaimana Allah membuat proses saringan untuk memilih tentera-tenteranya yang dijelaskan oleh-Nya melalui Al-Quran surah Muhammad ayat 20. Allah campakkan ke dalam hati mereka rasa bongkak, takabbur dan berbangga diri sehingga mereka mampu mengatakan alangkah baiknya jika diturunkan satu surah (dari Al-Quran yang memerintahkan kami berjuang)… lalu Allah mengizinkan kehendak itu melalui perintah mewajibkan perang jihad. Kemudian Allah campakkan pula ke dalam hati mereka rasa was-was, gerun dan takut sehingga terbeliak mata mereka kerana takutkan mati..

Maka bermulalah proses ‘penyaringan’ dari Allah agar tentera-tenteranya yg berkualiti sahaja maju ke depan untuk membawa Risalah Suci ini. Hasilnya, sejarah memahatkan sesuatu yang luar biasa di peperangan Badar. Biarpun kecil jumlah alumni yang menerima latihan/ tamrin dari RasululLah (setelah disaring Allah), namun tetap mampu menumpaskan pihak lawan dengan mudah! Daripada jumlahnya ramai, tetapi akhirnya bukan sahaja melemahkan jemaah bahkan memberi fitnah yang besar pula kepada agama Allah yg mulia ini.. Bukankah ini yang berlaku saat ini?

Barangkali apa yang berlaku terhadap ESQ 165 ini semacam ‘Spiritual Filter’ dari Allah utk membezakan atau menapis siapakah yang benar-benar jujur dan ikhlas dalam perjuangan ini. Sekaligus menyaring alumni-alumni ESQ 165 yg benar-benar berKUALITI sahaja untuk memperjuangkan Islam ataupun sebaliknya..

Kerana sekarang saya sendiri sudah mula kedengaran bahkan melihat juga, sudah ada yang berani memanggil Alim-Ulama (org yg Ahli) dengan panggilan ‘dia’ sahaja dek kerana tidak setuju dengan beberapa perkara… Perkataan ‘Dia’ itu yang keluar dari mulut orang awam biasa seolah-olah meletakkan alim-ulama tiada nilainya atau tidak penting. Tak kurang juga yang masing-masing mempertahankan hujah tanpa dalil yang nyata. Yang ada hanyalah cakap-cakap emosi dengan memek wajah yang menjelekkan dan nada suara yang memualkan. Ada juga yang sebaik keluar dari training, apabila diberi pandangan oleh alim-ulama yang lain (dengan niat untuk menambahkan lagi ilmunya), terus dikatanya alim-ulama itu salah. Yang benarnya hanyalah dia sahaja yang telah mengikuti training. SubhanalLah! kenapa ini semua boleh berlaku? Tertanya-tanya saya, ke mana hilangnya ADAB & AKHLAK yang telah sama-sama dipupuk dalam training dulu? Kenapa begitu mudah direntap-hilang sebaik datang ujian seperti ini? Sekali lagi, saya bercakap atas pengalaman saya sendiri yang melihat, mendengar, dan merasai.

Pada saya, mana mungkin orang yang jenis bercakap-cakap emosi tanpa dalil yang jelas mampu menjadi pejuang Allah yang hebat! Mana mungkin orang yang jenis ‘suka mengatakan orang lain salah dia seorang sahaja yang betul’ tanpa menjaga adab ikhtilaf mampu mengibar panji-panji Islam! mana mungkin! bahkan tidak mungkin! Hanya manusia yang benar-benar berKUALITI sahaja dipilih oleh Allah untuk urusan ini. Hanya manusia yang BERJAYA mengaplikasikan nilai-nilai mulia dalam hidupnya seharian dalam apa jua situasi (bukan dalam training sahaja) mampu mara ke hadapan.

Inilah ‘Spiritual Filter’ yang sungguh istimewa dari Allah dalam mendepani besarnya fitnah di akhir zaman hari ini. Semua pihak akan merasainya. Yang memberi hukum terasa hikmahnya, dan yang menerima hukum juga turut merasai hikmahnya. Semoga Allah terus membimbing kita dengan taufik dan hidayah-Nya..

Beberapa link berkaitan isu ini :-

1. http://www.zaharuddin.net/content/view/828/95/

2. http://ustaz.blogspot.com/2009/05/saya-tidak-menyukai-esq-165.html

3. http://gerakjalanesq.wordpress.com/2010/07/09/seputar-fatwa-haram-esq-di-malaysia/

4. http://www.scribd.com/doc/33870521/Fatwa-ESQ-Haram

Posted in AGAMA | 2 Comments »

LAFAZ ‘ALLAH’ EKSKLUSIF UNTUK UMAT ISLAM SAHAJA… TIBA MASA UMAT ISLAM BERSATU

Posted by solhisharif on 1 January 2010

01 Januari 2010

The HERALD yang mencetuskan kontroversi di Malaysia

Dalam ‘Malaysiakini’ bertarikh 31 Disember 2009 melaporkan, “…Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan perkataan ‘Allah‘ adalah tidak sah. Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan Gereja Katholik untuk mengetepikan larangan tersebut. Hakim Lau Bee Lan berkata arahan oleh menteri dalam negeri itu adalah ‘tidak sah dan batal”. Menurutnya, akhbar mingguan ‘The Herald’ boleh menggunakan perkataan ‘Allah’ dan menegaskan bahawa perkataan tersebut bukan hanya eksklusif untuk Islam sahaja. Keputusan mahkamah mengetepikan larangan KDN itu, akan memboleh The Herald dan penerbitan bukan Islam yang lain, menggunakan perkataan ‘Allah’ sebagai terjemahan bagi perkataan ‘Tuhan’ dalam versi bahasa Melayu mereka. Hakim Lau berkata semua rakyat Malaysia mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan ‘Allah’…”

Lembaran tahun 2010 dibuka dengan Read the rest of this entry »

Posted in AGAMA | 6 Comments »

MAINPP SESSI 2010 – 2012: DARI AHLI POLITIK KE AHLI AKADEMIK

Posted by solhisharif on 1 January 2010

1 Januari 2010

Bersama YDP MAINPP yang baru (sessi 2010 - 2012)

Teka-teki siapa yang akan menerajui jawatan Yang DiPertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang baru telah terungkai sebaik sahaja Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim mengeluarkan kenyataan rasmi hari ini. Pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengikut Seksyen 11 (1)(a) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004 bagi tempoh selama 2 tahun berkuatkuasa 1 Januari 2010.

AHLI-AHLI MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG Read the rest of this entry »

Posted in AGAMA | 2 Comments »

DI SEBALIK FACEBOOK ITU….

Posted by solhisharif on 8 October 2009

Maka, berhati-hatilah ketika memberi & menerima maklumat…

Posted in AGAMA | Leave a Comment »

TARAWIH ERTINYA ‘RELAX’

Posted by solhisharif on 18 September 2008

Para ulamak sepakat tentang disyari’atkan untuk istirehat setelah selesai mengerjakan empat rakaat. Amalan inilah yang telah diwarisi daripada generasi al-Salafussoleh dan ianya berkemungkinan didasari daripada perkataan ‘Aisyah r.a ketika menggambarkan tatacara solat tarawih Rasulullah SAW: “Baginda solat empat rakaat, jangan engkau tanya betapa bagus dan panjangnya solat baginda. Kemudian, baginda solat empat rakaat, jangan engkau tanya betapa bagus dan panjangnya solat baginda. Kemudian, baginda solat tiga rakaat (witir).” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, no: 1147.

Mereka yang mengerjakan solat tarawih ini akan berehat untuk menghilangkan penat diselang-selang solat tersebut. Dari tatacara inilah solat qiyam ramadhan mendapat gelaran ‘tarawih’ yang bermaksud rehat. Sebenarnya, tidak disyari’atkan ada bacaan zikir-zikir, selawat-selawat mahupun doa-doa yang tertentu semasa waktu istirehat ini (seperti yang dilakukan oleh kebanyakan masjid di negara kita). Namun demikian, sewajarnya tempoh tersebut dipergunakan untuk membaca ayat-ayat suci al-Qur’an, zikir-zikir, doa-doa dan selawat yang sabit daripada hadis-hadis Nabi secara bebas tanpa penetapan bacaan atau kaifiat yang tertentu. Hanya sahaja yang lebih menepati sunnah adalah zikir, doa atau selawat tersebut dilakukan secara sendirian dan dengan suara yang perlahan. Tatacara berzikir sebeginilah yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. sebagaimana firman-Nya:

“Sebut serta ingatlah Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri disertai perasaan takut (melanggar perintahnya) di samping tidak menguatkan suara, iaitu di pada waktu pagi dan petang. Janganlah engkau termasuk orang-orang yang lalai.” – Surah al-A’raaf:205.

Berdasarkan ayat di atas, dapatlah kita fahami bahawa Allah sendiri telah memerintahkan kita sebagai hamba-Nya agar berzikir kepada-Nya dengan suara yang perlahan atau untuk lebih spesifik hanya diri sendiri yang mendengar zikir tersebut.

Selanjutnya Allah S.W.T. berfirman: “Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (dengan mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila Dia berdoa kepada-Ku. Oleh itu, mereka hendaklah menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan mereka hendaklah beriman kepada-KU supaya mereka menjadi baik serta betul.” – Surah al-Baqarah: 186.

Mengenai sebab penurunan ayat ini, al-Qurtubi telah menyatakan di dalam kitabnya Tafsir al-Qurthubi, jilid 1, muka surat 219: Daripada al-Sholah bin Hakim bin Mu’awiyah bin Haidah al-Qusyairi, daripada ayahnya, daripada datuknya, bahawa ada seorang Arab Badwi berkata kepada Rasulullah s.a.w:

“Wahai Rasulullah! Apakah Rabb kami berada dekat dengan kami sehingga memadai hanya kami bermunajat (berbisik) kepada-Nya atau Dia berada jauh sehingga kami perlu menyeru-Nya (dengan suara kuat)? Baginda hanya berdiam diri. Tidak berapa lama kemudian, Allah turunkan ayat di atas ‘wa idza sa’alaka ‘ibadi ‘anni fainni qorib’. Setelah itu, dinyatakan pula satu riwayat daripada Ahmad daripada Abu Musa al-Asya’ari r.a, dia telah berkata: Kami pernah bersama Nabi s.a.w dalam satu peperangan. Setiap kali kami melalui jalan mendaki atau menurun di suatu lembah, kami akan mengeraskan suara melaungkan takbir. Lalu baginda mendekati kami seraya bersabda: “Wahai sekalian manusia! Kasihanilah diri kamu semua kerana kamu tidak berdoa kepada sesuatu yang tuli dan bukan kepada sesuatu yang berada jauh. Sesungguhnya yang kamu seru itu lebih dekat berbanding seseorang antara kamu daripada tengkuk unta yang dinaikinya. Wahai Abdullah bin Qais, bagaimana jika aku ajarkan kepadamu satu kalimah daripada khazanah syurga, iaitu la haula wa la quwwata illa billah.”

Demikianlah beberapa tatacara solat tarawih yang diambil dari hadis-hadis Rasulullah. Semoga ianya dapat dijadikan pedoman bagi kita semua untuk melaksanakan solat tarawih ini sebagaimana yang telah diajarkan oleh baginda. Sesungguhnya mencontohi solat Rasulullah SAW telah diwajibkan oleh baginda sendiri sebagaimana sabdanya: Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, no. 631.

Apatah lagi mencontohi Rasulullah SAW adalah bukti yang jelas yang menunjukkan kecintaan kita kepada Allah S.W.T. sebagaimana firman-Nya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. – ali ‘Imraan (3) : 31

Semoga dengan kesungguhan kita dalam mencontohi Rasulullah SAW kita akan termasuk dalam golongan yang mendapat rahmat Allah dan segala dosa kita diampunkan oleh-Nya.

Posted in AGAMA | Leave a Comment »

TARAWIH: 8 ATAU 20 RAKAAT?

Posted by solhisharif on 9 September 2008

Semalam saya telah dijemput untuk menyampaikan tazkirah ramadhan di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah di Bandar Perda, Pulau Pinang. Pada awalnya saya diberi tajuk Keberkatan Sedekah di Bulan Ramadhan. Jadi saya buatlah sedikit bacaan untuk tajuk itu. Setibanya saya di perkarangan masjid, tiba-tiba ajk masjid memaklumkan kepada saya, “kalau boleh tekankan juga aspek bilangan rakaat tarawikh (8 atau 20 rakaat)… minta tolong jelaskan mana satu yang betul supaya anak qaryah faham. Dah nak sampai bertengkar mulut dah ni..”

Inilah akibatnya apabila kita hanya mengikut adat tanpa ada sebarang pegangan ilmu. Apatah lagi bulan puasa bukanlah tempat untuk kita bertegang leher atau bermasam muka. Justeru itu, di bawah ini saya muatkan sedikit apa yang saya sampaikan di masjid tersebut iaitu perihal ringkas solat tarawih seperti mana Nabi SAW lakukan supaya isu ini tidak menjadi perkara yang besar sehingga merugikan kita di bulan Ramadhan ini.

Solat tarawih merupakan satu sunnah yang amat dituntut bagi seluruh umat Islam untuk mengerjakannya pada malam bulan Ramadan. Sabda baginda : “Sesiapa solat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, no: 759.

Jumlah rakaat solat tarawih

Cara mengerjakan qiyam Ramadan ini adalah sama dengan qiamullail. Ia boleh dilakukan dengan dua rakaat dua rakaat dan ia tidak mempunyai batasan jumlah rakaat yang maksimum. Malah, ia juga boleh digabungkan dengan hanya satu rakaat solat sunat witir. Abdullah bin Umar r.a berkata: “Sesungguhnya seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah! Bagaimanakah cara melakukan solat malam? Baginda bersabda: Dua rakaat dua rakaat. Apabila engkau bimbang (waktu solat Subuh akan masuk), laksanakan terus solat witir sebanyak satu rakaat.” – Hadis riwayat al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, no: 1137.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h dalam setengah-setengah perkara amat terbuka perbincangannya. Sebagai contoh dalam bab menunaikan solat tarawih ini, beliau menyatakan di dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa, jilid 22, muka surat 272: “Mengenai solat qiyam Ramadan (solat tarawih), Nabi SAW tidak pernah menetapkan jumlah rakaatnya. Namun, baginda sendiri tidak pernah mengerjakannya melebihi 11 atau 13 rakaat sama ada pada bulan Ramadan atau bulan lain. Baginda melakukan solat qiyam dengan memanjangkan rakaatnya.”

Namun, Apabila Umar r.a mengumpulkan orang ramai untuk melakukan solat tarawih secara berjemaah yang diimami oleh Ubai bin Ka’ab r.a, Ubai telah melaksanakannya bersama mereka sebanyak 20 rakaat kemudian diikuti solat witir tiga rakaat. Beliau melakukan begitu sambil meringankan bacaan al-Quran selari dengan kadar penambahan rakaat supaya ia lebih ringan (tidak terlalu panjang solatnya) berbanding solat satu rakaat yang dipanjangkan rakaatnya.

Semua ini memang telah berlaku. Oleh itu, sesiapa sahaja yang beribadah pada malam Ramadan dengan apa sahaja jumlah rakaat, dia dikira telah berbuat kebaikan. Paling afdal, perbezaan jumlah rakaat dikira berdasarkan kepada keadaan orang-orang yang mengerjakan solat itu. Jika keadaan mereka membolehkan dilaksanakan solat tarawih dengan lama, ketika itu lebih afdal melaksanakan solat tarawih dengan 10 rakaat diikuti tiga rakaat witir sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW dan salafussoleh.

Tetapi, jika tidak mungkin melaksanakan sedemikian, solat tarawih yang dilakukan sebanyak 20 rakaat lebih afdal dengan memilih bacaan yang ringkas dan ringan. Dan itulah yang dilakukan oleh majoriti umat Islam kerana yang demikian itu adalah dipertengahan antara 10 rakaat dan 40 rakaat.

Manakala jika solat tarawih dilaksanakan sebanyak 40 rakaat atau lebih, terdapat perbezaan ulama mengenainya sama ada dibolehkan atau dimakruhkan. Hal ini ditegaskan oleh beberapa orang imam muktabar seperti Imam Ahmad bin Hanbal. “Sesiapa yang beranggapan bahawa solat qiyam Ramadan (solat tarawih) mempunyai ketetapan jumlah rakaatnya daripada Nabi SAW tanpa boleh ditambah atau dikurangi jumlahnya, sebenarnya dia telah membuat satu kesilapan.”

Hanya sahaja Rasulullah SAW mengerjakan solat tarawih dan solat qiamullail sebanyak 11 atau 13 rakaat sebagaimana hadis-hadis dibawah.

Aisyah r.a berkata: “Biasanya Nabi s.a.w solat di malam hari sebanyak 13 rakaat termasuk witir dan dua rakaat solat sunat fajar (solat sunat sebelum fardu Subuh).” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, no: 1140.

Abu Salamah r.a pernah bertanya kepada Aisyah r.a tentang solat malam Rasulullah s.a.w di bulan Ramadan. Aisyah menjawab: “Rasulullah s.a.w tidak pernah menambah rakaat solatnya di bulan Ramadan dan atau bulan lain melebihi sebelas rakaat. Baginda solat empat rakaat, jangan engkau tanya betapa bagus dan panjangnya solat baginda. Kemudian, baginda solat empat rakaat, jangan engkau tanya betapa bagus dan panjangnya solat baginda. Kemudian, baginda solat tiga rakaat (witir).” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, no: 1147.

Namun begitu, hadis di atas turut mendapat perhatian ulama apabila ada yang mengatakan Abu Salamah berjumpa Aisyah r.a. untuk bertanyakan solat sunat yang lain (selain solat tarawikh) yang dilakukan Nabi SAW pada malam-malam Ramadhan. Bukankah para sahabat pernah menunaikan solat tarawih secara berjemaah dengan Nabi SAW? Untuk apa lagi sahabat perlu bertemu Aisyah r.a. melainkan untuk bertanya solat-solat sunat Nabi SAW yang dilakukan di rumah.

Diharapkan kenyataan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah r.h ini akan meredakan polemik yang sering berlaku di Malaysia tentang jumlah rakaat solat tarawih sama ada 8 rakaat atau 20 rakaat. Ternyata kedua-duanya adalah benar di sisi syarak. Yang penting kita menjaga sewaktu solat dengan thumakninah, bacaan yang tartil dan tidak tergesa-gesa. Tindakan sesetengah masjid yang ingin mengejar 20 rakaat namun solat tarawih tersebut dikerjakan secara gopoh-gapah adalah tidak tepat sama sekali. Ingatlah bahawa Rasulullah SAW pernah menegur seorang sahabat yang melakukan solat secara gopoh-gapah dan baginda menyuruhnya untuk mengulangi solat.

Daripada Abu Hurairah r.a, dia berkata: Bahawa Nabi SAW masuk masjid dan masuk pula seorang lelaki lalu melakukan solat. Kemudian dia datang dan memberi salam kepada Nabi SAW. Nabi SAW membalas salamnya lalu bersabda: “Kembalilah dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum bersolat.” Maka dia pun solat sekali lagi. Kemudian dia datang lagi dan memberi salam kepada Nabi SAW, maka baginda bersabda: “Kembalilah dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum bersolat (tiga kali).” Lelaki itu berkata: “Demi zat yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak dapat melakukan yang lebih baik dari itu, maka ajarkanlah aku.” Baginda s.a.w.bersabda: “Apabila engkau berdiri untuk solat maka takbirlah, kemudian bacalah yang mudah bagimu dari al-Qur’an. Kemudian rukuklah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam rukuk, kemudian bangkitlah (iktidal) hingga engkau tegak (lurus) berdiri.Kemudian sujudlah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam sujud, lalu bangkitlah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam duduk (duduk antara dua sujud). Kemudian sujudlah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam sujud. Lakukan demikian dalam semua solatmu.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, no. 793.

Waktu untuk mengerjakan solat tarawih

Solat tarawih adalah solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam pada bulan Ramadan, iaitu selepas mengerjakan solat Isyak dan sebelum masuk waktu solat Subuh. Namun, waktu paling afdal untuk dilaksanakan solat tarawih adalah sepertiga malam yang terakhir, iaitu bermula dari pukul 3.00 pagi sehingga sebelum masuk waktu subuh. Sabda Rasulullah SAW: “Tuhan kita Tabaraka wa Ta’ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika masih tinggal sepertiga malam yang akhir. Allah berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku pasti Aku akan makbulkannya, sesiapa yang meminta kepada-Ku pasti Aku akan memberinya dan sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku pasti Aku akan mengampunnya.” – Hadis riwayat al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, no: 1145

Walau bagaimanapun, amat jarang kita melihat di negara kita ini ada masjid yang melakukan solat tarawikh secara berjemaah bermula jam 3.00 pagi! Namun inilah sunnah Nabi SAW kerana banyak hadis-hadis menunjukkan Nabi SAW melaksanakan solat tarawikh bersma-sama solat sunat yang lain menghampiri subuh. Justeru, ada baiknya juga sekiranya masjid-masjid di Malaysia mempelbagaikan sunnah Nabi SAW berkaitan solat tarawih. Setidak-tidaknya sekali-sekala mengerjakan majlis solat tarawih pada sepertiga malam yang akhir supaya masyarakat kita ini terbiasa dengan amalan sunnah ini.

Solat tarawih boleh dilaksanakan secara berjemaah atau bersendirian

Pada zaman Rasulullah SAW, baginda pernah mengerjakan solat tarawih ini secara berjemaah bersama para sahabat baginda pada beberapa malam. Kemudian baginda meninggalkannya lalu solat tarawih tersebut didirikan secara bersendirian kerana takut ianya akan diwajibkan. Hal ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah r.a: Bahawasanya Nabi s.a.w. bersolat di masjid, maka bersolat pulalah bersama-samanya beberapa orang. Pada malam yang kedua baginda bersolat lagi, maka banyaklah orang-orang yang mengikuti solatnya. Kemudian orang ramai berkumpul di masjid pada malam yang ketiga atau yang keempat, tetapi Nabi s.a.w. bersabda: Aku telah melihat apa yang kamu lakukan semalam. Tidak ada yang menghalangi aku keluar kepada kamu kecuali kerana aku takut ia diwajibkan ke atas kamu. Kejadian itu berlaku pada bulan Ramadhan. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya no: 1129

Bersolat tarawih secara bersendirian ini kekal sehingga pada zaman ‘Umar lalu beliau mengumpulkan orang ramai untuk mengerjakan solat tarawih ini secara berjemaah. Daripada ‘Abdul Rahman bin ‘Abdul Qari yang berkata: Pada satu malam di bulan Ramadan aku keluar bersama ‘Umar al-Khaththab r.a ke masjid. Di dapati orang ramai berselerakan. Ada yang solat bersendirian, ada pula yang bersolat dan sekumpulan (datang) mengikutinya. ‘Umar berkata: “Jika aku himpunkan mereka pada seorang imam adalah lebih baik.” Kemudian beliau melaksanakannya maka dihimpunkan mereka dengan (diimamkan oleh) Ubai bin Ka’ab. Kemudian aku keluar pada malam lain, orang ramai bersolat dengan imam mereka (yakni Ubai bin Ka’ab). Berkata ‘Umar: “Sebaik-baik bidaah adalah perkara ini, sedangkan yang mereka tidur (solat pada akhir malam) lebih dari apa yang mereka bangun (awal malam).” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya no: 2010

Hadis-hadis di atas membuktikan Rasulullah SAW pernah melaksanakan solat tarawih secara berjemaah dan juga bersendirian. Oleh itu, kedua-duanya cara solat sama ada secara berjemaah atau sendirian adalah sunnah Rasulullah SAW Namun demikian menerusi hadis di bawah, Rasulullah SAW menegaskan kelebihan mengerjakan solat tarawih secara berjemaah sehingga selesai umpama mendapat ganjaran solat sepanjang malam dan inilah yang sewajarnya cuba kita usahakan untuk mendapatnya pada bulan Ramadan yang penuh berkat ini. Abu Dzar al-Ghafiri r.a berkata: “Kami berpuasa bersama Rasulullah s.a.w pada bulan Ramadan. Baginda tidak mengerjakan solat (tarawih) bersama kami sehingga tinggal lagi tujuh malam terakhir (bulan Ramadan). Lalu (pada malam itu) baginda mengerjakan solat (tarawih) bersama kami sehingga sepertiga malam. Kemudian, baginda tidak keluar mengerjakan solat (tarawih) bersama kami pada malam yang keenam (sebelum akhir Ramadan). Kemudian, baginda mengerjakan solat (tarawih) bersama kami pada pada malam kelima (sebelum akhir Ramadan) sehingga seperdua malam. Aku (Abu Dzar) berkata: Ya Rasulullah! Alangkah baiknya jika kamu memberi keringanan kepada kami untuk mengerjakan solat pada sisa-sisa malam ini. Rasulullah s.a.w menjawab: Sesungguhnya sesiapa yang mengerjakan solat tarawih bersama imam sehingga selesai, Allah menulis (ganjaran) baginya umpama mengerjakan solat sepanjang malam.” – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 1587.

Bacaan dalam solat tarawih

Rasulullah SAW tidak menetapkan bacaan ayat-ayat atau surah-surah yang tertentu pada rakaat-rakaat yang tertentu mahupun pada malam-malam yang tertentu untuk solat tarawih ini. Dalam hal ini imam diberikan kebebasan sepenuhnya untuk memilih surah-surah yang hendak dibaca sesuai dengan kemampuannya dan keadaan jemaah yang mengikutinya. Sekiranya para jemaah mempu serta berkeinginan kepada bacaan yang panjang maka hendaklah solat tarawih tersebut dipanjangkan bacaannya sebagaimana yang telah dilakukan oleh generasi al-Salafussoleh. Namun demikian sekiranya solat tarawih tersebut dididirikan dengan bacaan yang panjang akan menyebabkan para jemaah lari dari solat jemaah maka hendaklah imam tersebut meringankan bacaannya.

Posted in AGAMA | Leave a Comment »

ASNAF ‘FISABILILLAH’ PERLU DEFINISI BARU

Posted by solhisharif on 5 October 2007

Oleh : Mohamad Solhi bin Haji Mohd Sharif

Umum mengetahui bahawa Islam itu bersifat fleksibel dan universal, ia wajar selari dengan tuntutan semasa agar matlamat penyebaran Islam berjaya menyusun tatacara hidup manusia secara realistik. Ini termasuklah juga dalam kaedah pengagihan zakat.

Allah s.w.t. berfirman di dalam al-Quran: Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mualaf yang dipujuk hati mereka, untuk memerdekakan hamba, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai satu ketetapan yang diwajibkan Allah: Dan Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana. (At-Taubah 9:60)

Ayat al-Quran itu menerangkan tentang lapan asnaf yang berhak menerima agihan zakat. Daripada lapan asnaf ini, yang sering menjadi kontroversi ialah asnaf `untuk jalan Allah’ atau diistilahkan sebagai Fisabilillah.

Bagaimanapun kefahaman berkaitan pentafsiran asnaf `Fisabilillah’ ini perlu dijelaskan kerana masih terdapat kekeliruan di kalangan umat Islam dalam mentafsirkan asnaf Fisabilillah ini sehingga memberi kesan kepada agihan zakat.

Istilah Fisabilillah biasa diterjemahkan sebagai `Pada Jalan Allah’. Istilah ini juga lebih masyhur ditafsirkan dengan `Berperang menentang musuh Allah’. Secara umumnya, masyarakat dapat memahami bahawa golongan yang dikategorikan Fisabilillah adalah para pejuang Islam yang memasuki medan pertempuran melawan musuh-musuh agama di perbatasan negara.

Pemberian zakat itu diberikan kepada mereka lantaran ia adalah sebagai satu kepentingan daripada kepentingan-kepentingan umum (maslahat umum) yang perlu diambil kira.

Namun, melihat akan masyarakat yang mengalami perubahan zaman melalui pelbagai era kehidupan, seharusnya pentafsiran Fisabilillah ini diperluaskan dan diperincikan. Maka di sini kita memerlukan penilaian hukum dari semasa ke semasa agar mampu menjadi satu pendekatan yang selari dengan perkembangan hidup manusia.

Walaupun begitu, perlulah ditegaskan bahawa penilaian semula hukum-hukum ini pada hakikatnya bukanlah bererti satu penolakan terhadap pandangan-pandangan ulama terdahulu, bahkan ia adalah sebagai satu kesimpulan hukum dengan menggunakan neraca dan timbangan yang sama.

Perbezaan pendapat di kalangan para fukaha telah menjelaskan kepada kita bahawa fatwa atau pendapat yang mereka kemukakan adalah berasaskan kepada dalil-dalil yang jelas dari al-Quran dan As-Sunnah. Malah sebahagiannya adalah berdasarkan ijtihad mereka.

Ini bermakna pandangan mereka adalah diterima pakai selari dengan kehendak agama. Inilah bukti yang memperlihatkan kepada umum akan konsep keterbukaan yang dibenarkan dalam syariat Islam.

Dalam mazhab Syafie, Fisabilillah juga ditafsirkan sebagai berperang di jalan Allah atau jihad dalam pengertian yang khusus. Namun, mereka mensyaratkan agar para mujahidin yang boleh menerima zakat hanyalah mereka yang berjihad secara sukarela tanpa gaji atau upah.

Ertinya, bagi pejuang yang sudah mempunyai gaji yang tetap di dalam daftar tentera, zakat tidak boleh lagi diberikan kepada mereka.

Selain itu, ulama-ulama yang lain juga memberikan pentafsiran terhadap makna Fisabilillah dengan satu pentafsiran yang lebih luas dan mendalam. Imam Ar-Razi misalnya berkata, penggunaan istilah tersebut tidak semestinya terhad kepada peperangan melawan musuh di medan pertempuran sahaja. Malah ramai fukaha yang mentafsirkan istilah tersebut meliputi semua bentuk kebajikan yang didasarkan untuk meninggikan agama Allah s.w.t.

Misalnya al-Kasaniy di dalam kitabnya al-Bada’i’ mentafsirkan Fisabilillah sebagai merangkumi seluruh perbuatan yang menghampirkan diri kepada Allah (kebajikan). Sebahagian ulama mazhab Hanafi pula mentafsirkan Fisabilillah sebagai penuntut ilmu. Walaupun penuntut ilmu itu kaya, dia tetap berhak mendapat zakat.

Pendapat yang mengatakan zakat harus diberikan kepada golongan penuntut ilmu ini adalah berdasarkan matlamat menuntut ilmu sebagai satu fardu kifayah dan menjadi tuntutan dalam syariat meninggikan agama. Tambahan pula, sekiranya penuntut-penuntut ilmu itu bekerja, dibimbangi akan menghalang dirinya daripada memperoleh ilmu dengan baik. Oleh itu, zakat perlu diberikan kepada golongan ini kerana mereka berada dalam golongan Fisabilillah.

Sesuai dengan pentafsiran ini, pengagihan zakat kepada asnaf Fisabilillah kini meliputi pembiayaan untuk pembinaan dan pemulihan institusi-institusi Islam, pembiayaan program-program agama untuk memberi kefahaman Islam kepada masyarakat, dermasiswa pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara serta banyak lagi perkara yang matlamatnya adalah mendaulatkan agama Allah s.w.t.

Pentafsiran Fisabilillah tentulah amat tepat pada zaman ini jika kita menerima pakai pentafsirannya yang merangkumi usaha-usaha pembebasan bumi umat Islam daripada penjajahan kuffar (orang kafir) dan mendaulatkan hukum serta ajaran Islam di negara umat Islam.

Selain itu, masyarakat juga harus memahami pengagihan yang dibincangkan ini mempunyai satu syarat utama, iaitu segala pembiayaan tersebut adalah ekoran daripada tidak mendapat tajaan dan pembiayaan daripada mana-mana pihak. Jika berlaku sebaliknya, wang zakat mestilah diperuntukkan ke saluran asnaf-asnaf lain yang lebih memerlukannya.

Posted in AGAMA | 2 Comments »