www.solhisharif.com

Redha-Mu Kemuncak Impianku…

Biografi

KELUARGA

MOHAMAD SOLHI HAJI MOHD SHARIF berasal dari sebuah perkampungan terpecil di Kupang, Baling Kedah Darul Aman. Dilahirkan di negeri ‘Bumi Kenyalang’ Kuching, Sarawak pada 30 Disember 1982 dan membesar di negeri Pulau Pinang. Anak keempat dari enam (6) orang adik beradik.

PENDIDIKAN

Pendidikan bermula dari dalam rahim seorang ’emak’ yang ikhlas – Puan Hajjah Salma binti Che Husain. Kemudian diasuh dan dididik oleh seorang ‘abah’ yang tidak pernah mengenal erti penat lelah – Tuan Haji Mohd Sharif bin Wahab. Semoga Allah SWT merahmati kedua-dua mereka.

Tamat pengajian rendah di SRK Wellesley, Pulau Pinang terus melanjutkan pengajian menengah di SMKA Al-Mashoor (L), Pulau Pinang sehingga tamat tingkatan lima (5). Pengajian diteruskan lagi ke KUSZA, Kuala Terengganu (kini dikenali UNIZA) sehingga bergelar graduan berkelulusan (Dip.) Human Resources Management. Minat mencari ilmu masih diteruskan dalam bidang (B.A.Hons) Psychology di Open University Malaysia (OUM) selain dari ilmu-ilmu Tuhan yang diberikan secara tidak langsung melalui penghayatan, pengalaman dan pengALAMan. Minat untuk menuntut ilmu ini tidak pernah pudar sehinggakan menyimpan hasrat untuk memiliki Ijazah Sarjana Muda (B.A.), Ijazah Sarjana (Master), dan Ijazah Doktor Kehormat (Ph.D) dalam bidang-bidang yang berbeza!! Insya-Allah, perjuangan menuntut ilmu ini akan diteruskan selagi hayat dikandung badan.

MINAT

Amat berminat dalam bidang pengurusan, kepimpinan, penulisan, sukan lasak dan muzik terutamanya alatan percussions. Aktif di zaman persekolahan dalam bidang sukan dan pengucapan awam. Keterlibatan dalam Pasukan Debat Sekolah, Kumpulan Nasyid (Sofwatul Mashoor), Exco Badan Tertinggi Pelajar (BTP), Presiden Kelab Fotografi dan Kewartawanan, dan Pengawas Pusat Sumber. Selain itu, turut giat dengan aktiviti kemahasiswaan dan aktiviti akademik kolej sehingga terpilih menjadi Presiden Dewan Tertinggi Pelajar KUSZA. Tidak ketinggalan dalam melontarkan idea-idea menerusi penulisan artikel dan diskusi ilmiah.

KERJAYA

Pernah berkhidmat sebagai Penyelidik geran Projek IRPA di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di bawah peruntukan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Tajuk penyelidikan ialah “IPT Islam Swasta (IPTIS) dan Penyediaan Tenaga Kerja Negara”.

Kehidupan setiap hari padat dengan aktiviti rutin bermula dari awal pagi hingga ke lewat malam. Di siang hari, bertugas secara rasmi dari jam 8.00 pagi  – 5.00 petang sebagai Ketua Unit Perhubungan Awam & Informasi di As-Sahabah Urus Zakat Sdn. Bhd. (ASUZ) salah sebuah syarikat swasta milik penuh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Setelah itu, dari jam 5.30 petang – 10.00 malam sebagai Pensyarah Jemputan di Alliance College Medical Science (ACMS) memberi syarahan dalam bidang Tamadun Islam kepada lebih 200 orang mahasiswa yang bakal keluar berbakti kepada masyarakat sebagai Doktor Perubatan. Ruang-ruang yang ada diisi dengan jemputan-jemputan ceramah motivasi, kepimpinan, ceramah agama dan bengkel pengucapan awam di dalam dan luar negara.

Hujung minggu banyak dihabiskan dengan urusan mengendalikan syarikat latihan dan perundingan milik sendiri – UWAIS Training & Consultancy satu lagi wadah dakwah untuk menyampaikan apa yang pernah disampaikan Nabi SAW kepada ummah melalui Jiilul Qays101 – sebuah model latihan pengurusan dan pembangunan insan hasil kajian dan penelitian sehingga tercipta 6 modul.

Masa bersama keluarga dari Jam 11.00 malam – 5.00 pagi. Begitulah kehidupan seharian dalam mencari sedikit balasan baik dari Allah SWT kerana masa bersama-Nya adalah pada setiap masa, Insya-Allah!

KEAHLIAN PROFESIONAL

Tahun 2004 sehingga kini – Dilantik menjadi Fellow Bersekutu Islamic Development Management Centre (ISDEV) Universiti Sains Malaysia (USM) yang dipengerusikan oleh Profesor Muhammad Syukri bin Salleh (Pakar dalam bidang pembangunan perancangan dan pengurusan) selain panel penyampai radio berkaitan ilmu zakat di Mutiara FM.

Tahun 2005 sehingga kini – Dengan izin Allah SWT jua, telah memperoleh ijazah (kelayakan melalui sanad) sebagai pengamal perubatan Islam melalui kaedah rawatan Terapi Ruqyah Syar’iyyah melalui Al-Quran daripada Al-Fadhil Ustaz Haji Abdul Malek bin Haji Ladzim Al-Azhari; Pengarah Urusan Pusat Rawatan Terapi al-Quran Darul Hikmah yang berpusat di Alor Star, Kedah Darul Aman. Ijazah (kelayakan) ini diperoleh secara sanad dari gurunya As-Syeikh Wahid bin Abdul Salam al-Bali serta bersambung-sambung sehinggalah kembali kepada Rasulullah SAW.

Tahun 2007 sehingga kini – Telah memperoleh perakuan daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai Pelatih Bertauliah untuk menggerakkan ‘Kursus Tasawwur Islam’, ‘Kursus Bina Insan’, ‘Kursus Bina Takwa’, dan ‘Kursus Cinta Alam’ iaitu modul Pendekatan Hadhari JAKIM yang memiliki elemen latihan kecerdasan ‘Physical, Intelligence, Emotional & Spiritual’ (PIESQ). Latihan ini mendapat bimbingan secara langsung daripada Pasukan Dakwah Medan (PASDAM) di bawah Kor Agama Angkatan tentera (KAGAT) Angkatan Tentera Malaysia. Sehubungan itu juga, Ketua Setiausaha Negara Malaysia (KSU) telah mengeluarkan arahan kepada semua kakitangan kerajaan wajib mengikuti kursus-kursus di atas selama mana mereka menjawat jawatan sebagai kakitangan awam di Malaysia.

Tahun 2008 sehingga kini – Menjadi Principal Trainer untuk menggerakkan modul P.E.W.A.R.I.S dan P.I.M.P.I.N dalam Kem Generasi Pewaris. Kem ini adalah salah satu projek agihan zakat milik milik Pusat Urus Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang bertujuan untuk melahirkan manusia yang kaya dan murni jiwanya.

Tahun 2009 – Menghadiri kursus (Basic & MCB) anjuran ESQ Leadership Centre Sdn. Bhd.  – salah sebuah syarikat latihan kesedaran emosi dan spiritual yang diasaskan oleh Dr. (Honoris Causa) Ary Ginanjar Agustian yang berpengkalan di negara Indonesia sekaligus menambahkan lagi pengalaman mengendalikan kursus menggunakan elemen latihan Kecerdasan Emosi & Spiritual (ESQ) dan berkonsepkan ‘audio-multimedia presentation’ yang sebelumnya telah memperoleh kemahiran ini di bawah bimbingan JAKIM.

Tahun 2010 – dilantik sebagai Perunding Latihan oleh Team Xcell Consultancy milik Al-Fadhil Ustaz Asfani bin Nasir untuk menggerakkan bersama-sama modul ‘Jom Solat’ salah satu latihan yang membantu menyerlahkan potensi manusia melalui penghayatan solat.

Selain itu, Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP) DPP Pusat melalui DPP Negeri Pulau Pinang telah memberi kepercayaan penuh untuk mengendalikan Kursus Modul ‘Amilin’ di Utara tanahair Malaysia. Modul yang berbentuk latihan kompetensi ini khusus direka buat barisan Pemuda di peringkat negeri dan kawasan supaya mampu menguasai skil Advance Management, Commitment, dan Influence.

Tahun 2011 – Telah dipilih menerima Sijil Pengiktirafan ‘TAMRIN’ BASIC TRAINING daripada Y.Bhg. Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah & YM Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad. Anugerah ini memberi keistimewaan menggunakan gelaran “Penerima Iktiraf ‘TAMRIN’ Basic Training”, menggunakan logo TAMRIN secara sah di mana-mana medium dalam menyatakan profil diri, selain profil dipaparkan di website TAMRIN. TAMRIN ialah Pertubuhan Perunding Latihan & Motivasi Muslim Malaysia.

Dalam pada itu, sedang berada di dalam proses mendapatkan Master Practitioner dalam pengiktirafan Professional Learning Facilitator Take-Charge System di bawah seliaan Tuan Rizal Hassan – Founder, International NLP Master Learning Facilitator dan NLP Master Coach at Take Charge Sdn. Bhd.

 
%d bloggers like this: