www.solhisharif.com

Redha-Mu Kemuncak Impianku…

MEMILIH UNTUK HIDUP BUJANG: APA KATA ISLAM?

Posted by solhisharif on 5 October 2008

Belakangan ini, semacam wujud satu tren terutamanya di kalangan mereka yang bekerjaya besar untuk memilih hidup membujang. Kebanyakannya memberi alasan tidak mahu menambah komitmen lagi. Justeru itu, ingin saya berkongsi satu artikel yang ditulis oleh abang saya – Dr. Mohd Farid bin Haji Mohd Sharif; Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM. Artikel ini telah disiarkan dalam beberapa makalah tempatan. Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua.

Sama ada kita sedar atau tidak, ada manusia yang fizikal dan mentalnya sangat sihat tetapi memilih untuk tidak mahu berkahwin. Senario ini bukanlah satu perkara yang sungguh-sungguh luar biasa dan ganjil, hinggakan lelaki atau wanita yang memilih untuk hidup membujang sebegini dianggap mempunyai masalah dan beliau perlu mendapatkan rawatan kaunseling. Sebenarnya, golongan ini tidak mengalami apa-apa gangguan baik dari segi emosi mahupun jasmani, justeru tidak perlu dipandang serong baik oleh keluarga sendiri mahupun kawan-kawan sepejabat. Malah, mereka juga tidak semestinya pergi mendapatkan nasihat dari mana-mana individu yang menawarkan khidmat kaunseling. Namun begitu, bagaimanakah jika terdapat suara yang mendakwa bahawa hukum seorang lelaki atau perempuan yang tidak berkahwin sepanjang usianya, adalah haram. Jika dakwaan ini benar, sebesar manakah dosa yang bakal ditanggung oleh lelaki atau perempuan itu. Atau, bagaimanakah jika ada yang mengatakan tindakan tidak mahu berkahwin itu bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad SAW, lantas lelaki atau perempuan itu tidak akan diakui sebagai umat baginda SAW.

Pada asasnya, Islam adalah agama yang menggalakkan seseorang yang mampu berkahwin, iaitu cukup kesihatan dan cukup perbelanjaan, dan bersedia menjalankan kewajipan sebagai suami dan isteri supaya berkahwin dan mendirikan sebuah rumah tangga yang bahagia. Memang benar, Nabi Muhammad SAW tidak menyukai orang yang membujang seumur hidup, kecuali orang itu mempunyai masalah yang tidak mengizinkannya untuk berkahwin. Namun, baginda SAW tidak pula menyebut dengan terperinci apakah jenis-jenis masalah itu kerana baginda menyedari bahawa setiap orang mempunyai masalah tersendiri. Masalah ini termasuklah tidak sempurna kesihatan fizikalnya, mempunyai gangguan emosi dan mental atau apa-apa sahaja yang membuatkannya tidak berminat untuk mendirikan rumah tangga.

Galakan supaya berkahwin memang jelas ditekankan dalam Islam. Sebagai contoh, dalam sebuah hadith: “Berkahwinlah kamu dan beranak pinaklah kamu dengan banyaknya. Sesungguhnya aku akan berbangga dengan kamu berbanding umat-umat lain pada hari akhirat nanti (Riwayat Abu Daud dan al-Hakim).” Selain nasihat ini, Nabi Muhammad SAW turut mengecam segolongan sahabat yang pernah menyatakan hasrat mereka untuk berkasi dan terus membujang sepanjang hidup supaya dapat menumpukan perhatian kepada ibadat. Berkahwin serta hidup berkeluarga merupakan satu fitrah yang dikurniakan oleh Allah SWT semenjak Adam yang menjadikan manusia dan semua makhluk berpasang-pasangan. Perkahwinan juga merupakan satu rahmat serta salah satu daripada tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah SWT. Di mana dengan berkahwin, seorang itu dapat menyalurkan kehendak fitrahnya seperti berkasih sayang, menyalurkan tuntutan nafsu seks, dapat mengadakan perbincangan atau berkongsi buah fikiran, berhak untuk mewarisi harta antara satu sama lain dan dapat mengukuhkan ekonomi bagi pasangan yang bekerja.

Islam meletakkan hukum yang berbeza tentang perkahwinan mengikut keperluan dan keadaan. Bagi golongan yang berkemahuan dan berkemampuan zahir dan batin untuk berkahwin serta menaruh kebimbangan terjebak dalam maksiat, jika ditangguhkan perkahwinan hukumnya adalah berdosa. Dalam erti kata lain, hukum berkahwin itu menjadi wajib. Bagi golongan yang berkeinginan dan mampu, tetapi jika terus hidup membujang mereka masih dapat mengawal diri mereka daripada perbuatan maksiat, maka hukum berkahwin adalah sunat. Hukum berkahwin menjadi harus bagi sesiapa yang tidak mempunyai apa-apa sebab yang mendorong mereka berkahwin dan tidak ada sebab yang menghalang mereka daripada berkahwin. Juga, harus berkahwin kepada mereka yang sudah ada kemampuan tapi belum ada keinginan. Manakala bagi mereka yang tidak mampu dan tidak yakin dapat melaksanakan kewajipan sebagai suami atau isteri, ataupun dia sememangnya tidak berminat langsung untuk hidup berpasangan, maka hukum berkahwin adalah haram. Begitu juga jika terdapat lelaki atau perempuan yang ingin berkahwin tetapi berniat untuk mendera atau menipu pasangannya, maka hukumnya juga adalah haram kahwin. Para ulama berpendapat hukum ini sama sahaja baik bagi lelaki mahupun perempuan. Kerana perkahwinan adalah sebuah institusi yang mulia dan perlu dihormati serta dipelihara dari segala perlakuan negatif yang boleh merosakkannya.

Fenomena hidup membujang sepanjang usia bukanlah satu hal yang baru muncul pada zaman pasca moden ini. Umat Islam yang hidup pada abad-abad awal Islam sebenarnya sudahpun menikmati hidup bujang ini. Terdapat beberapa ulama terkenal yang telah menghabiskan usia hidup tanpa berkahwin, sebagai contoh Muhammad b. Jarir al-Tabari (m. 313/925). Beliau sangat terkenal dalam bidang tafsir al-Qur’an, pengarang kitab sejarah yang terkemuka dan pengasas sebuah mazhab fiqh pada zamannya. Demikian juga dengan Mahmud b. ‘Umar al-Zamakhshari (m. 538/1144), seorang ulama dan pengarang kitab tafsir; dan Ahmad b. ‘Abd al-Halim Ibn Taymiyyah (m. 727/1328). Tiga tokoh yang disebutkan ini ialah antara ulama besar dalam bidang tafsir dan perundangan Islam. Ratusan penyelidikan telah dilakukan tentang sejarah dan sumbangan pemikiran mereka dan berjaya pula menghasilkan tesis-tesis sarjana atau doktor falsafah.

Ramai ulama berpandangan bahawa kahwin membunuh cita-cita sebagai seorang ilmuan. Umar b. al-Khattab (m. 23/644), misalannya pernah menasihati muridnya supaya belajar bersungguh-sungguh sebelum kahwin. Begitu juga dengan Imam Abu Hanifah (m. 150/767) pernah menasihati Abu Yusuf (m. 182/798) agar jangan berkahwin di usia muda. Setelah berkahwin, masa akan tertumpu kepada keluarga, tidak lagi kepada pelajaran. Ulama yang memilih hidup tanpa kahwin tentu ada sebab-sebabnya sama ada peribadi atau lain-lain. Kebiasaannya para ulama memilih hidup bujang disebabkan tanggungjawab mereka yang besar terhadap umat Islam. Mereka hidup sepenuh masa dengan berbakti kepada ilmu pengetahuan, menjadi ahli ibadat, ulat buku, pengarang buku dan lain-lain. Sebagai bayarannya, mereka rela hidup tanpa kahwin sepanjang usia.

Walaupun para ulama ini tidak pernah mengasuh anak-anak kerana tidak pernah berumahtangga, tetapi mereka pernah membangunkan ummah dan pernah mengasaskan institusi-institusi ilmu dan mazhab pemikiran Islam menerusi pelajar-pelajar mereka. Para pelajar ini dididik dan diasuh sehingga menjadi ulama yang terkenal dalam bidang masing-masing dan meneruskan kesinambungan ilmu pengetahuan yang diwarisi daripada guru mereka.

Kembali kepada dakwaan bahawa hukum tidak berkahwin sepanjang usia itu adalah haram. Kononnya mereka yang tidak mahu berkahwin tidak mengikuti sunnah nabi dan nabi sendiri tidak akan mengaku sebagai umatnya. Cuba kita lihat nama-nama ulama seperti yang telah disenaraikan tadi. Sudah tentu para ulama itu lebih mengetahui tentang hukum dan kewajipan untuk menjadi umat nabi yang terbaik. Mereka pastinya lebih tahu tentang hakikat dan keperluan sebenar dalam kehidupan mereka dan tentunya para ulama ini juga tidak rela diri mereka tidak diakui sebagai umat nabi.

Dakwaan yang tidak berasas sebegini tidak perlu dilayan. Bagi mereka yang berasa cukup bahagia dengan hidup tanpa kahwin dan memangpun telah menjalani kehidupan tanpa kahwin selama ini, maka janganlah risau terhadap masa depan yang masih ada. Hadapilah hidup ini dengan tenang dan optimistik. Sebagai ganti kepada kehidupan tidak kahwin, lakukanlah amal kebajikan dan berikan sumbangan kepada agama dan masyarakat sebanyak yang termampu. Temuilah kebahagiaan melalui kerja-kerja amal dan sumbangan bakti kepada masyarakat. Contohilah kehidupan para ulama silam itu yang menghabisi usia bujang mereka dengan berbakti kepada ilmu pengetahuan dan membangunkan ummah.

3 Responses to “MEMILIH UNTUK HIDUP BUJANG: APA KATA ISLAM?”

  1. faiz said

    kahwin adalah wajib bagi yang mampu,haram bagi yang tidak mampu

  2. lin said

    Dr. Fardi, mungkin pensyarah saya. =) perkahwinan itu sangat diharuskan supaya kurang zina dan maksiat. lihatlah fenomena sekarang, lebih ramai yang suka bersekedudukan, berzina, membuat maksiat daripada melakukan yang halal. tetapi perlu lihat dari aspek perkahwinan, IBADAT atau ADAT. kes haram yang berlaku ini memungkinkan si pelaku mengambil perkahwinan dari sudut ADAT> tidak ada duit, tidak boleh kahwin! jadi, inilah masalahnya. masyarakat kita malu jika kenduri tidak besar. malu jika hanya kenduri doa selamat atau kendrui kesyukuran sahaja yang mengiringi pernikahan mereka. Jatuh standard! jika perkara begini masih berlegar-legar dalam otak kita, orang melayu ISLAM, maka kes zina dan sebagainya takkan pernah habis!

  3. lin said

    *Dr Farid?

    (typing error)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: