www.solhisharif.com

Redha-Mu Kemuncak Impianku…

‘IQRA’ – SISTEM PENDIDIKAN ALLAH YANG MENAKJUBKAN

Posted by solhisharif on 24 September 2008

Minggu lepas, saya telah di jemput oleh KEMAS Butterworth untuk menyampaikan ceramah Ramadhan di Masjid At-Taqwa Mak Mandin, Butterworth Pulau Pinang. Majlis bermula jam 9.30 pagi dengan bacaan surah yasin dan diikuti ceramah. Lebih seratus orang penduduk di sekitarnya yang hadir mengikuti majlis ini. Saya amat berbangga dengan penduduk di sini kerana semangat dan komitmen mereka yang di luar jangka.

Di atas permintaan penduduk setempat, saya diminta untuk menghuraikan tentang peristiwa Nuzul Quran yang berlaku kepada Baginda Nabi SAW. Dengan hidayah Allah SWT, saya memulakan bicara membawa satu persoalan. Kenapa Allah SWT meminta Nabi SAW yang ‘ummi’ (tidak dapat membaca dan menulis) untuk membaca (iqra) melalui perantaraan malaikat Jibril AS? Akal kita pasti mengatakan ternyata satu perkara yang membuang masa, orang yang tidak dapat membaca dan menulis dipaksa-paksa untuk membaca!

Sebenarnya, sama ada kita sedar ataupun tidak, inilah sistem pendidikan yang Allah SWT terapkan kepada manusia. Kita acap kali tidak nampak dengan apa yang Allah SWT tunjukkan ini. Terdapat dua kaedah bacaan (Iqra) yang Allah SWT ajar kepada kita. Kaedah pertama saya sebutkan ‘Membaca’; manakala kaedah kedua saya katakan ‘Membaca Dengan Nama Tuhan’.  

Sekarang, untuk mendapatkan penjelasan yang lebih, marilah sama-sama kita renungi ayat al-Quran pertama diturunkan kepada Nabi SAW ini. Surah al-Alaq ayat 1.

“Bacalah, dengan nama tuhanmu yang menciptakan”

Allah SWT mengarahkan manusia untuk ‘membaca’ atau ‘iqra’. Disebabkan perkataan iqra datang dengan fe’el ‘amar (kata kerja seru), maka kata iqra itu menjadi bentuk arahan. Dalam kaedah fiqh, sesuatu perkataan yang datang bersama dengan fe’el amar adalah arahan yang bersifat wajib. Di sinilah ramai manusia keliru. Mereka memahami bahawa Allah SWT mewajibkan manusia membaca.. Adakah Allah SWT meminta kita hanya sekadar membaca?

MEMBACA

Ketahuilah, ada perbezaan yang ketara antara ‘membaca’ dengan ‘membaca bersama dengan nama tuhan’. Sekiranya manusia membaca sahaja tanpa nama tuhan maka ia samalah kita membaca komik, majalah, surat khabar, dan sebagainya. Begitu juga apabila kita membaca al-quran tanpa memahami maknanya, ini juga disebut membaca atau iqra. Kaedah ini menuntut kita menggunakan kemahiran melihat, membaca, mendengar, dan menulis. Kalau tidak faham sesuatu topik, diulang-ulang bacaannya, kalau tidak ingat, diulang-ulang melihatnya.. Begitulah kaedah belajar seperti mana Jibril AS mengajar Nabi SAW. Diulang-ulang perkataannya biarpun Nabi SAW menjawab tidak tahu. Jadi proses ini tidak sesuai untuk golongan manusia yang pekak, bisu, atau buta.

Satu persoalan, kalau zaman sekarang golongan ini boleh belajar dengan tulisan Braille, namun bagaimana pula golongan itu mendapatkan ilmu di zaman Nabi SAW? Sedangkan Allah SWT pernah menyebut semua manusia di atas muka bumi ini sama sahaja. Yang membezakannya hanyalah iman. Bagaimana mereka hendak beriman kalau mereka tidak dapat melihat atau mendengar?

MEMBACA DENGAN NAMA TUHAN

Tanpa saya menafikan kaedah membaca itu penting, namun terdapat satu lagi kaedah yang jarang kita gunakan tetapi inilah yang ditekankan oleh Allah SWT. Kaedah ‘Membaca dengan Nama Tuhan’. Setelah Jibril AS mengulangi tiga kali perkataan ‘iqra’ (kaedah membaca), Nabi SAW tetap menjawab ‘aku tidak tahu’. Maka barulah Jibril AS menyambung perkataan iqra tersebut, ‘Bacalah dengan nama tuhanmu yang menciptakan’. Berdasarkan situasi ini, seolah-olah Allah SWT ingin mengisyaratkan kepada kita tidak cukup dengan membaca sahaja tetapi hendaklah membaca dengan nama tuhan. Dan isyarat ini bkan ditujukan kepada orang yang celik hurufnya sahaja tetapi kepada sekalian manusia yang bernama makhluk Allah SWT.

Apabila manusia itu membaca dengan nama tuhan, maka setiap apa yang mereka bacakan akan terkait dengan kebesaran tuhan. Pernah dengar ’99 Al-Asmaul Husna’? Itulah yang dimaksudkan dengan 99 nama-nama Allah SWT yang baik. Sebagai contoh, apabila kita ‘membaca’ tentang matahari tanpa disertakan dengan nama tuhan, kita akan mengatakan matahari sejenis bebola yang panas. Mampu memberi cahaya kepada sekalian makhluk di bumi. Namun, apabila kita ‘membaca dengan nama tuhan’ tentang matahari, maka kita akan mula terfikir siapakah yang menciptakan matahari? Bagaimana matahari itu terapung di angkasa? Bukankah semua ini merujuk kepada nama Allah ‘Al-Kholiq’ bermaksud Yang Maha Pencipta. Bukankah cahaya yang dipancar matahari itu juga merujuk kepada nama tuhan iaitu ‘An-Nur’ bermaksud Yang Maha Bercahaya. Contoh lain, Apabila kita membaca sesuatu yang cantik dan indah, bukankah ia juga merujuk kepada nama Allah ‘Al-Badi’ bermaksud Yang Maha Pencipta Keindahan. Begitulah selanjutnya setiap apa sahaja yang kita bacakan di atas muka bumi ini akhirnya akan terkait dengan satu sahaja iaitu Allah SWT. SubhanalLah! Sewaktu kita membaca dengan nama tuhan, maka hati kita tergerak-gerak sentiasa berkomunikasi dengan otak. Di sinilah fungsi otak ke-3 atau disebut God Spot memainkan peranannya dengan aktif sekali. Fungsi otak ini akan mencari jawapan untuk apa saya dilahirkan, untuk apa saya hidup, dan siapa saya sebenarnya? Akhirnya, semua jawapan akan jua merujuk kepada satu jawapan sahaja iaitu Allah SWT. SubhanalLah!

SIFATNYA UNIVERSAL

Satu lagi uniknya kaedah ‘membaca dengan nama tuhan’ ini ialah ia tidak terhad kepada mereka yang dapat membaca atau menulis sahaja. Sifatnya universal! Semua orang boleh menggunakannya tidak kira apa sahaja generasi dan bangsa (termasuk yang buta, pekak, atau bisu) kerana pembacaannya merangkumi pakej melihat, merasa, mendengar, menilai, menghayati, dan melaksanakan. Pakej Ini telah disebut Allah SWT dengan istilah ‘Tadabbur’. Sebab itulah Allah SWT memilih Nabi SAW yang ‘buta huruf’ untuk mengaplikasikan kaedah ‘membaca dengan nama tuhan’ kerana yang penting bagi Allah SWT adalah mentadabbur, bukan membaca semata-mata tanpa penghayatan dan pelaksanaan. Ramai manusia yang telah mengkhatam al-quran berkali-kali, ramai yang membaca dan mempelajari ilmu agama, bahkan tidak kurang yang mengajarnya, tetapi mereka tetap melakukan dosa kepada Allah SWT. Inilah bukti mereka tidak membaca dengan nama tuhan. Mereka sekadar membaca sahaja tanpa nilai tadabbur pada pembacaannya.

Maka marilah sama-sama kita mengkoreksi diri apakah selama ini kita menggunakan kaedah ‘membaca’ sahaja atau kaedah ‘membaca dengan nama tuhan’? Kalau belum, bersempena dengan bulan Ramadhan ini marilah bersama-sama kita membuka al-quran dan ‘Bacalah Dengan Nama Tuhan Kita Yang Menciptakan..’ Banyak bezanya..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: