www.solhisharif.com

Redha-Mu Kemuncak Impianku…

SIKAP PASANGAN BOLEH DISERAP MELALUI HUBUNGAN ERAT

Posted by solhisharif on 15 September 2008

BismilLahil hamdulilLah..

Baru-baru ini, saya diperkenalkan oleh seorang rakan sepejabat saya dengan rakannya dalam ruangan Yahoo! Messenger (YM). Rakan chat saya itu (kita namakan dia Ain) dalam persediaan untuk berkahwin sebaik sahaja dia menamatkan pengajian di universiti. Namun dia ada satu masalah, lagi dekat tarikh perkahwinannya, lagi tidak yakin dia terhadap pasangannya. Justeru, saya cuba membantunya sekadar yang termampu selain terselit niat untuk menguji dan mengaplikasikan satu teori psikologi ini kepada Ain.

Saya ingin bekongsi hasil ujian keberkesanan ‘Team Roles’  terhadap Ain yang digariskan oleh Dr. Meredith Belbin (1993) yang sebenarnya boleh dipindah kepada pihak lain melalui kaedah absorbe hasil jalinan hubungan yang mesra dan erat. Ini bermakna hubungan juga boleh mempengaruhi tingkah laku seseorang manusia. Belbin adalah seorang graduan Universiti Cambridge dan sekarang sebagai profesor di Henley Management College di UK.

Namun sebelum itu, perlu saya tegaskan disini, saya langsung tidak mengenali Ain apatah lagi pasangannya. Itulah kali pertama saya berdialog dengannya.

Setelah dianalisis menggunakan beberapa pendekatan psikologi yang sederhana, didapati pasangan wanita (Ain) berada dalam kumpulan (3) – CERIA (Teamworker). Menurut Belbin, orang yang berada dalam kumpulan ini jenis People-Oriented Roles. Golongan ini merupakan golongan yang idealistik. Mereka sangat kreatif, sosial, mesra, romantik dan mudah dibawa berunding. Mereka suka memulakan sesuatu tetapi jarang dapat menghabiskannya. Mereka suka orang lain gembira dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapainya. Mereka sangat popular dan idealistik. Golongan ini perlu belajar untuk melihat sesuatu dengan lebih realistik.

Manakala pasangan lelaki (Joe) berada dalam kumpulan (2) -PENDAMAI (Intuitioner). Menurut Belbin, orang yang berada dalam kumpulan ini jenis People-Oriented Roles. Dilahirkan sebagai diplomat. Mereka selalu memikirkan dan peka terhadap keperluan dan perasaan orang lain sebelum mengambil kira dirinya sendiri. Secara semulajadi sangat analitikal dan suka mengikut gerak hati. Mereka tidak suka bersendirian. Persahabatan adalah penting buat mereka dan berupaya mendorong mereka untuk berjaya di dalam hidup tetapi mereka sanggup untuk bersendirian jika hubungan yang terjalin itu tidak serasi. Golongan ini secara semulajadi adalah pemalu, mereka patut belajar untuk meningkatkan nilai kendiri (self esteem) dan meluahkan perasaan secara terbuka tanpa berselindung.

Melihat kepada keseimbangan Ain dan Joe, jelas kelihatan hubungan ini boleh terus erat dan boleh sampai ke jinjang perkahwinan dengan izin Allah SWT. Amat secocok dan sepadan. Masing-masing saling berkongsi kelebihan dan menutup kelemahan masing-masing. Inilah yang diperkatakan hati saya.

Kemudian, hasil analisis di atas saya bentangkan kepada Ain dan dia amat bersetuju dengan ciri-ciri tersebut. Boleh dikatakan hampir sama seperti mana dirinya! Agak menggelikan hati, apabila dia mengatakan saya bela hantu! Boleh tahu semua tentang dirinya sedangkan kami langsung tidak pernah berjumpa. NauzubilLahi min zalik… Namun berlaku sedikit kecelaruan apabila ciri-ciri Joe seperti tiada persamaan dengan hasil analisis. Sungguh, ini hanyalah teori ciptaan manusia.. tidak wajib percaya dan harus salah padanya. Wajib percaya hanya pada Allah dan Rasul-Nya.

Namun, saya cuba memikirkan dari aspek psikologi dan hampir buntu memikirkan kenapa tiada persamaan. Saya terus menyoal untuk mencari maklumat yang boleh membantu. Antara ayat-ayat yang sering diulang-ulang oleh Ain ialah “Joe lebih berterus terang dan kadang-kadang menyakitkan hati… Dialah  orang yang paling tidak malu.” Melihat kepada ini, jelas amat kontradiksi dengan ciri-ciri yang digariskan Belbin. Itu ciri-ciri yang sepatutnya ada pada Ain. Dan seharusnya Joe lebih pendiam dan pemalu orangnya.

Tiba-tiba, terdetik di benak saya sudah berapa lama mereka ini jalinkan hubungan? Lalu saya terus bertanya. Jawabnya, mereka telah menjalin hubungan lebih empat (4) tahun! Maka mulalah otak saya berfikir ligat. Adakah perangai dan sikap Ain telah terkesan kepada Joe selama mereka mengenali itu? Bukankah Belbin menyarankan supaya golongan seperti Joe patut belajar untuk meningkatkan nilai kendiri (self esteem) dan meluahkan perasaan secara terbuka tanpa berselindung?

Maka saya mengandaikan Joe sedang belajar untuk memperbaiki kelemahan dirinya. Sebab itulah kekadang apa yang diperkatakan oleh Joe boleh mengguris hati orang yang mendengarnya. Ketahuilah, Joe sedang belajar menggunakan kemahiran interpersonalnya yang sebelum ini hanya intrapersonal sahaja digunakan. Dia sedang meningkatkan nilai kendirinya (self esteem)! Dia sudah tahu apa kelemahannya… dan dia sedang memperbaikinya!

Saya bertanya lagi kepada Ain, adakah dia turut terkesan dengan sikap dan perangai Joe? maka jawapannya adalah, dia tidak pasti. Tetapi dia ada menyebutkan, sewaktu di dalam kuliah, dia menjadi lebih pendiam dan lebih banyak berintrapersonal. Dia lebih banyak mendengar dari bertutur. Paling jelas, lebih memberi perhatian kepada syarahan berbanding suka mengelamun dan kerap berangan-angan. Namun, apabila bertemu kawan-kawan, dia akan kembali kepada perangai asalnya. Ceria dan langsung tidak serius. Dia pun tidak tahu kenapa dia boleh berubah seperti itu. Kadang-kadang ia berlaku begitu sahaja.

Satu pertanyaan, bukankah ciri-ciri ‘baru’ Ain di dalam bilik kuliah itu juga ciri-ciri Joe? Tetapi kenapa dia sendiri tidak sedar yang dia sudah mengaplikasikan ciri-ciri Joe dalam kehidupan sehariannya. Jadi, ini bermakna Ain dan Joe bukanlah telah berubah identitinya. Tetapi masing-masing telah terkesan dengan sikap pasangan masing-masing hasil dari hubungan yang dijalinkan. Dengan kata lain, sikap pasangan ‘diserap’ antara satu sama lain tanpa mereka sedari.

Inilah hikmah kenapa Allah SWT menyarankan kita berukhuwah sesama manusia yang baik peribadi dan indah tutur katanya. Berkawan dengan orang yang berilmu, kita turut menjadi orang yang berilmu. Bersahabat dengan orang yang bertaqwa pula pasti kita juga akan turut sama bertaqwa kepada-Nya. Lagi banyak kawan-kawan kita yang hebat, maka lebih banyak manfaat dapat kita serapkan!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: