www.solhisharif.com

Redha-Mu Kemuncak Impianku…

ISU MODUL ESQ 165: ‘SPIRITUAL FILTER’ DARI ALLAH SWT.

Posted by solhisharif on 10 July 2010

Assalamualaikum Wrt. Wbt. & Salam Hormat.

Berhubung isu pengharaman Modul ESQ 165 di Wilayah Persekutuan, ramai yang brtanya pendapat peribadi saya tentang ini. Saya pada asalnya tidak mahu menyatakan apa-apa kerana saya langsung tiada sebarang ikatan @ berkaitan penyampaian modul ESQ 165. Saya hanyalah alumni ESQ 165 sama seperti ribuan alumni yang lain di luar sana. Apatah lagi melihat kepada betapa kerdilnya saya untuk menyatakan sesuatu melibatkan hukum yang telah difatwakan oleh Ahlinya (Mufti). Saya bukanlah orang yang selayaknya! Namun, melihat kepada saya juga terlibat secara langsung dalam memberi latihan pembangunan manusia, saya menulis juga dengan niat bukan untuk memihak kepada mana-mana, tetapi hanya sekadar berkongsi apa yang sedang dirasai saat ini.

Saya berpendapat, Allah tidak melakukan sesuatu itu sia-sia. Setiap apa yang berlaku PASTI ada hikmahnya.. begitu juga dengan isu ini, saya amat yakin pasti ada hikmahnya.

Entah kenapa isu ini membawa ingatan saya kepada Peristiwa Perang Badar yang sungguh ulung. Bagaimana Allah membuat proses saringan untuk memilih tentera-tenteranya yang dijelaskan oleh-Nya melalui Al-Quran surah Muhammad ayat 20. Allah campakkan ke dalam hati mereka rasa bongkak, takabbur dan berbangga diri sehingga mereka mampu mengatakan alangkah baiknya jika diturunkan satu surah (dari Al-Quran yang memerintahkan kami berjuang)… lalu Allah mengizinkan kehendak itu melalui perintah mewajibkan perang jihad. Kemudian Allah campakkan pula ke dalam hati mereka rasa was-was, gerun dan takut sehingga terbeliak mata mereka kerana takutkan mati..

Maka bermulalah proses ‘penyaringan’ dari Allah agar tentera-tenteranya yg berkualiti sahaja maju ke depan untuk membawa Risalah Suci ini. Hasilnya, sejarah memahatkan sesuatu yang luar biasa di peperangan Badar. Biarpun kecil jumlah alumni yang menerima latihan/ tamrin dari RasululLah (setelah disaring Allah), namun tetap mampu menumpaskan pihak lawan dengan mudah! Daripada jumlahnya ramai, tetapi akhirnya bukan sahaja melemahkan jemaah bahkan memberi fitnah yang besar pula kepada agama Allah yg mulia ini.. Bukankah ini yang berlaku saat ini?

Barangkali apa yang berlaku terhadap ESQ 165 ini semacam ‘Spiritual Filter’ dari Allah utk membezakan atau menapis siapakah yang benar-benar jujur dan ikhlas dalam perjuangan ini. Sekaligus menyaring alumni-alumni ESQ 165 yg benar-benar berKUALITI sahaja untuk memperjuangkan Islam ataupun sebaliknya..

Kerana sekarang saya sendiri sudah mula kedengaran bahkan melihat juga, sudah ada yang berani memanggil Alim-Ulama (org yg Ahli) dengan panggilan ‘dia’ sahaja dek kerana tidak setuju dengan beberapa perkara… Perkataan ‘Dia’ itu yang keluar dari mulut orang awam biasa seolah-olah meletakkan alim-ulama tiada nilainya atau tidak penting. Tak kurang juga yang masing-masing mempertahankan hujah tanpa dalil yang nyata. Yang ada hanyalah cakap-cakap emosi dengan memek wajah yang menjelekkan dan nada suara yang memualkan. Ada juga yang sebaik keluar dari training, apabila diberi pandangan oleh alim-ulama yang lain (dengan niat untuk menambahkan lagi ilmunya), terus dikatanya alim-ulama itu salah. Yang benarnya hanyalah dia sahaja yang telah mengikuti training. SubhanalLah! kenapa ini semua boleh berlaku? Tertanya-tanya saya, ke mana hilangnya ADAB & AKHLAK yang telah sama-sama dipupuk dalam training dulu? Kenapa begitu mudah direntap-hilang sebaik datang ujian seperti ini? Sekali lagi, saya bercakap atas pengalaman saya sendiri yang melihat, mendengar, dan merasai.

Pada saya, mana mungkin orang yang jenis bercakap-cakap emosi tanpa dalil yang jelas mampu menjadi pejuang Allah yang hebat! Mana mungkin orang yang jenis ‘suka mengatakan orang lain salah dia seorang sahaja yang betul’ tanpa menjaga adab ikhtilaf mampu mengibar panji-panji Islam! mana mungkin! bahkan tidak mungkin! Hanya manusia yang benar-benar berKUALITI sahaja dipilih oleh Allah untuk urusan ini. Hanya manusia yang BERJAYA mengaplikasikan nilai-nilai mulia dalam hidupnya seharian dalam apa jua situasi (bukan dalam training sahaja) mampu mara ke hadapan.

Inilah ‘Spiritual Filter’ yang sungguh istimewa dari Allah dalam mendepani besarnya fitnah di akhir zaman hari ini. Semua pihak akan merasainya. Yang memberi hukum terasa hikmahnya, dan yang menerima hukum juga turut merasai hikmahnya. Semoga Allah terus membimbing kita dengan taufik dan hidayah-Nya..

Beberapa link berkaitan isu ini :-

1. http://www.zaharuddin.net/content/view/828/95/

2. http://ustaz.blogspot.com/2009/05/saya-tidak-menyukai-esq-165.html

3. http://gerakjalanesq.wordpress.com/2010/07/09/seputar-fatwa-haram-esq-di-malaysia/

4. http://www.scribd.com/doc/33870521/Fatwa-ESQ-Haram

Posted in AGAMA | 2 Comments »

UWAIS MENDAPAT PERHATIAN DI MAJALAH AL-ISLAM KELUARAN APRIL 2010

Posted by solhisharif on 22 March 2010

Alhamdulillah, atas ketetapan Zat Yang Menentukan Segala-galanya, UWAIS Training & Consultancy telah mendapat liputan eksklusif oleh sebuah majalah Islam kontemporari di tanah air kita Malaysia dan juga turut mempunyai pembaca di negara Singapura iaitu ‘Majalah Al-Islam’. Terima kasih kepada wartawan Saudara Mahathir Yahaya kerana sudi memilih UWAIS Training & Consultancy untuk berkongsi pengalaman berkaitan penerapan konsep latihan Kecerdasan Emosi & Spiritual atau lebih terkenal dengan akronim (ESQ) dalam siri-siri latihan pembangunan manusia. Terima kasih juga kepada pihak JAKIM yang telah memandu saya untuk mengendalikan latihan seperti ini.

Mungkin perlu juga saya jelaskan, UWAIS Training & Consultancy bukan sahaja memiliki modul yang melibatkan latihan ESQ semata-mata. Namun, ke semua ‘equilibrium thinking’ (PQ-IQ-EQ-SQ) digabung-jalinkan tanpa tersasar dari fundamental Al-Quran & As-Sunnah yang Agung. Maka sebab itulah, sistem latihan UWAIS mestilah berkesinambungan bermula dari dalam dewan (indoor) hinggalah ke luar dewan (outdoor). Dan hendaklah aktiviti ini melibatkan alam (air-tanah-angin-api) secara langsung dan realiti. Supaya manusia merasakan bukan mereka sahaja yang hidup di atas muka bumi ini. Tidaklah peserta hanya terperuk di dalam dewan sahaja siang dan malam. Apa yang lebih diberi keutamaan, setelah peserta menjalani sesi latihan, peserta akan dipandu apakah tindakan yang perlu dilakukan seterusnya setelah pulang dari latihan nanti. ‘Action’ hendaklah hadir sekali setelah tercetus rasa ‘Tahu & Mahu’ dalam latihan…

Sebenarnya, konsep latihan ini sudah lama digunakan. Bahkan sudah lama diperkenalkan 1400 tahun yang lalu oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW manusia nombor 1 paling berpengaruh mengikut kajian Michael H. Hart di dalam bukunya; The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History. Cuma bentuk dan cara  penyampaiannya disesuaikan dengan keadaan manusia dan tuntutan zaman yang serba moden ini. Maka perkongsian ini telah dimuatkan dalam Majalah Al-Islam keluaran April 2010 mukasurat 52-54.

Kalau boleh saya nasihatkan, sebelum saudara-saudari membuat apa-apa kesimpulan awal terhadap ‘tajuk’nya itu.. adalah lebih baik jika diperhalusi dahulu butiran isi-isinya.. (kerana saya sendiri pun ‘terkejut’ membaca tajuknya sebelum membaca isinya…) semoga ada manfaat yang tersirat dari yang tersurat. Don’t let your stiff perception cage your mind.. (jangan biarkan persepsi jumud menyangkari minda anda…🙂 Selamat membaca!

 

 

Posted in UWAIS | 4 Comments »

ERTI IJTIHAD PADA BRAINSTORMING

Posted by solhisharif on 13 February 2010

13/02/2010 – Pantai Balok, Pahang

BRAINSTORMING (13/02/10)

Sama ada sedar atau tidak, apabila kita melakukan brainstorming, Islam telah lebih lama memperkenalkan konsep ini iaitu ‘Ijtihad’. Ijtihad bermakna put all of our effort on our mind progressingBrainstormer atau Mujtahid itu boleh juga  dianggap sebagai kumpulan pemikir atau think tank kepada sesuatu perancangan. Dari aspek psikologi, brainstorming adalah suatu proses manusia memanfaatkan akal yang telah dikurniakan oleh Tuhan (generate our mind) dalam merangka sesuatu perancangan yang bukan sahaja kreatif tetapi juga inovatif. Semakin kuat seorang brainstormer membuahkan idea dengan baik, semakin kuat juga suatu keputusan yang kritikal dan baru dapat dicapai, tanpa menjadi pak turut kepada idea-idea yang lampau.

Berdasarkan pengalaman saya, sesi brainstorming yang baik ialah dengan tidak membezakan jawatan atau entiti kumpulan yang diwakili. Ertinya, jangan ada sebarang pandangan yang dikeluarkan atas sentimen kepentingan jawatan, menafikan kerja yang sepatutnya dilakukan atau menghentam kerja-kerja yang tilah tersilap dilakukan. Khususnya menyerang peribadi pekerja bukan kerja pekerja. Maklumat dan pandangan perlulah dilihat sebagai suatu yang objektif, ikhlas, genuine, tidak bias, dan terjamin keasliannya.

Sesungguhnya, dalam sesi brainstorming, semua cadangan adalah mungkin dan berpotensi. Brainstormer akan memaksa akalnya untuk mengeluarkan idea-idea yang mencapah bahkan idea yang di luar kotak adalah sangat digalakkan. Jangan ‘sekat’ idea-idea yang cuba dikeluarkan walaupun idea yang diberikan kelihatan tidak logik atau tidak sesuai. Ini akan merencatkan potensi yang ada pada brainstormer. Kadangkala, sampai kepada suatu tahap di mana idea yang dikeluarkan oleh brainstormer seolah-olah idea yang dangkal, bodoh, tidak logik dan gila! Tidak mengapa selagi ia masih lagi dalam kerangka proses percambahan idea kerana kadangkala pandangan sebegini berkemungkinan menjadi idea yang paling realistik dan tajam yang mungkin tidak pernah kita fikirkan.

Seelok-eloknya, sesi brainstorming dihadiri oleh orang lama atau mereka yang ahli dan berpengalaman yang mampu memberikan maklumat, data dan tasawur terhadap subjek yang ingin dibincangkan. Dengan mengambil kira ia sebagai suatu maklumat, brainstormer akan mencari suatu jalan dan keputusan yang paling ideal untuk masa kini. Elakkan daripada bertaklid membuta tuli kerana ia akan melahirkan brainstormer yang malas dan mematikan potensi akal untuk berfikir sesuatu yang baru. Apabila malas berfikir, kita akan jadi malas berijtihad. Apabila malas berijtihad, kita tidak akan mampu menemui strategi baru dan tidak dapat membuat sebarang perubahan kearah yang lebih baik . Sebab itu kita lihat strategi dan aksi-aksi yang dibuat oleh gerakan mahasiswa seringkali menjadi langkah ikutan parti-parti politik nasional.

Kaedah brainstorming yang baik ialah dengan cara setiap brainstormer memakai kasut yang pelbagai agar pandangan dan cadangan yang diberikan lebih tepat dan mencakupi kepelbagaian kelompok yang terlibat. Dalam membincangkan sesuatu subjek kemungkinan keputusan yang terhasil akan berhadapan dengan beberapa kelompok.

Namun, apa yang sering mencacatkan sesi brainstorming ialah sifat ‘ego’ dalam mempertahankan pandangan yang mewakili statusnya. Apatah lagi kalau pandangan itu datang dari mulut yang berjawatan tinggi dan diberi komen oleh orang yang lebih bawah jawatannya… Maka bermulalah pandangan yang dipengaruhi emosi sehingga meninggalkan rasional. Walaupun idea itu biasa-biasa sahaja. Mungkin pekerja yang jawatannya lebih rendah mampu memberi idea yang lebih bernas. Namun, kerana hierarchy system yang menyatakan orang bawah dilihat ‘bodoh’ orang atas dilihat ‘pandai’, maka impaknya, keputusan tidak masak kerana tiada ketelusan dan keaslian semasa memberi pandangan.

Justeru, seorang brainstormer yang baik ialah mereka yang mampu memberikan pandangan daripada pelbagai sudut kelompok yang bakal didepaninya atas keputusan yang akan dibuat. Brainstormer yang baik adalah yang tidak terperangkap dalam kelompok perbincangan sebaliknya melihat skop perbincangan dari luar dan keseluruhan. Kelak keputusan yang akan dibuat bukanlah sekadar “ikut sedap hati” sahaja. (syok sendiri).

Posted in SANTAI | 4 Comments »

KEMELUT PENGERUSI LEMBAGA PENGARAH PUZ MAINPP 2010

Posted by solhisharif on 21 January 2010

21 Januari 2010 / Alamanda Putrajaya

Y.Bhg. Tuan Haji Ustaz Ellias Zakaria

Saat ini, di Bilik Mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), sedang berlangsung mesyuarat MAINPP buat kali pertama sejak pelantikan ahli majlis barunya. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Yang DiPertua MAINPP yang baru – Y.Bhg. Tuan Haji Ustaz Ellias bin Zakaria. Sudah pastilah antara keputusan yang dinanti-nantikan ialah siapakah yang akan menerajui Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat Urus Zakat Negeri Pulau Pinang (PUZ) atau lebih tepatnya As-Sahabah Urus Zakat Sdn. Bhd. (ASUZ)?

Mengimbau tarikh 30/12/09, telah berlangsung mesyuarat Lembaga Pengarah PUZ yang terakhir bersama Y.B. Tuan Haji Shabudin bin Yahaya di Hotel Summit, Bukit Mertajam. Pulau Pinang. Antara keputusan yang dibuat, Y.Bhg. Tuan Haji Ustaz Ellias bin Zakaria telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah PUZ berkuatkuasa tarikh itu sehinggalah hari ini.

Namun, beberapa hari yang lepas, ura-ura mengatakan (termasuk di dalam Malaysiakini bertarikh 20 Januari 2010) bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang telah menyenarai pendek dua nama iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti – Y.B. Mansor bin Othman dan Y.B. Tuan Haji Abdul Malik bin Kassim – Exco Agama Pulau Pinang untuk dilantik semula sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah ASUZ menggantikan Tuan Haji Ustaz Ellias Zakaria.

Namun, jika dibaca dari sudut perundangan, perlantikan Tuan Haji Ustaz Ellias Zakaria selaku YDP MAINPP adalah selaras dengan peraturan dan undang-undang syarikat mengikut Akta Syarikat 1965. Keputusan MAINPP yang lepas telah menjelaskan bahawa hanya YDP MAINPP mewakili MAINPP sendiri dan YDP MAINPP adalah pemegang saham 100% dalam syarikat As-Shahabah Urus Zakat Sdn. Bhd. (ASUZ) ini. ASUZ adalah anak syarikat milik penuh MAINPP. Oleh yang demikian, selayaknya Pengerusi Lembaga Pengarah PUZ diterajui oleh YDP MAINPP. Bahkan memang sudah menjadi tradisi turun-temurun sebelum ini, siapa yang menyandang jawatan YDP MAINPP secara praktikalnya dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah ASUZ.

Y.B. Mansor Othman

Walaupun perlantikan dari pihak lain bukanlah suatu kesalahan, namun timbul juga beberapa persoalan MASYARAKAT yang menuntun kepada justifikasinya. Saya telah membaca beberapa blog orang awam, mendengar pendapat dari masyarakat dan inilah hasil dapatan saya.

Rata-rata masyarakat menyoal (bukan suara saya) diantaranya, kenapa perlu ‘dicari’ pengerusi dari luar MAINPP? Y.B. Mansor adalah Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang. Tidak memegang portfolio agama. Apatah lagi sebagai Ahli Majlis MAINPP. Lainlah rentaknya kalau beliau menyandang jawatan YDP MAINPP… atau YDP MAINPP yang ada sekarang ini tiada kelayakan atau pengalaman.. wajar juga bunyinya dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah ASUZ.

Mereka juga berpendapat YDP MAINPP sekarang ini adalah orang yang terlebih layak untuk menjadi Pengerusi  Lembaga Pengarah ASUZ. Tidak layakkah Tuan Haji Ustaz Ellias Zakaria? Beliau seorang pensyarah berpengalaman lebih 15 tahun di USM. Ahli akademik profesional yang amat arif selok-belok tentang ASUZ. Kerana sewaktu di bawah pemerintahan Dato’ Seri Haji Hilmi Yahaya dan Y.B. Haji Shabudin Yahaya sebagai YDP MAINPP, beliau pernah menjadi ahli Lembaga Pengarah ASUZ dalam tempoh yang begitu lama. Banyak idea-idea yang bernas diutarakannya sehingga tercapai dan terlaksana. ‘Seniority‘ di ASUZ untuknya tidak dapat disangkal lagi..

Di atas sebab itulah, masyarakat tertanya-tanya kenapa dengan ‘tiba-tiba’ perlu mencarikkan adat yang telah terbiasa dilakukan sejak ASUZ ditubuhkan pada tahun 1994. Iaitu siapa yang menjadi YDP MAINPP pasti merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah PUZ. Sungguh, perlantikan ini tidak melanggar mana-mana undang-undang di peringkat negeri atau syarikat. Biarpun tidak salah, tetapi ganjilnya tetap ada… Anehnya tetap kelihatan… Peliknya tetap terpalit…

Masyarakat cukup sedar bahawa ASUZ pada tahun 2009 telah berjaya mengutip wang zakat di negeri Pulau Pinang sejumlah RM44 juta. Dengan kenaikan kutipan zakat antara 15%-20% setiap tahun, seolah-olah pada ASUZ ada ‘gula’ yang mesti dihurung!! apatah lagi dalam suasana ekonomi yang tidak stabil sekarang ini…

Saya hanya menulis di atas apa yang saya baca, lihat dan dengar di sekeliling masyarakat dan tidak lebih daripada itu. pada saya, siapa yang memegang jawatan itu tidaklah begitu penting, yang lebih penting ialah lakukanlah dengan penuh amanah, dilakukan dengan tersusun, penuh dedikasi, menghormati dan dihormati. Semoga tiadalah unsur-unsur permainan yang halus tanpa telus untuk episod ini.. Semoga keikhlasan dan hati yang tulus murni ada dalam diri pemimpin-pemimpin pilihan rakyat ini… Hiduplah dalam wilayah ukhuwah yang saling sayang-menyayangi… Salam Perdamaian🙂

Posted in SANTAI | 6 Comments »

NANGGROE ACEH DARUSSALAM: 6 TAHUN SELEPAS TSUNAMI

Posted by solhisharif on 17 January 2010

14-16 Januari 2010

BERSYUKUR kepada Allah SWT, yang telah menetapkan tanggal 14 Januari 2010 saya dapat menjejakkan kaki ke bumi Aceh, Indonesia. Pada tahun 2004, bumi ini pernah dipilih oleh Allah untuk ditunjukkan kekuatan dan kebesaran-Nya. Sesungguhnya, hubungan antara Pulau Pinang dan Aceh telah terjalin buat sekian lamanya dari dahulu lagi. Hubungan itu terus terjalin sehinggalah sekarang terutamanya dari bidang perdagangan (perniagaan) dan perubatan. Ramai orang-orang Aceh datang ke Malaysia khususnya Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital pakar kerana kosnya lebih murah berbanding di Aceh!!

14 Januari 2010 (Khamis)

13.10 ptg (waktu Malaysia) – Pesawat bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang ke Naggroe Aceh, Indonesia bersama lima orang yang lain. Tuan Haji Ustaz Ellias bin Zakaria – YDP MAINPP, Ustazah Rokiah – Isteri YDP MAINPP, Tuan Haji Abdul Waheed – Saudagar Emas, Dato’ Yusof Latiff – Pengerusi Anak Yatim Pulau Pinang dan sahabat saya saudara Ruslan Harun – Pegawai PUZ. Misi kami ke sana ialah untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dengan Pentadbiran Agama Islam di Aceh. Kira cam kunjungan diplomatik gak aa.. hehe

13.50 ptg (waktu Indonesia) – Tiba di Bandara SIM, Banda Aceh, Indonesia (Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda). Perjalanan mengambil masa sekitar 1 jam 45 minit. Sebelum pesawat mendarat, dari atas saya sempat melihat daerah pinggir pantai yang dibadai tsunami pada tahun 2004. Beberapa hari sebelum ke sini, saya sempat membuat simple study tentang Aceh ini. Dikatakan sebelum peristiwa tsunami, bangunan di pinggir pantai Banda Aceh lebih padat berbanding dengan apa yang saya lihat sekarang…. Di bandara agak panas juga suhunya berbanding Malaysia. Kami dijemput oleh beberapa jawatankuasa dari Dewan Kemakmuran Masjid Aceh (DKMA) dan Baitul Mal Aceh. Kami di bawa untuk makan tengahari di Rumah Makan Cut Dek (restoran) di Banda Aceh sebelum di bawa ke hotel untuk mempersiapkan diri.

16.30 ptg (waktu Indonesia) – Selepas check-in di Hotel Kuala Radja, Jalan Tengku Daud Beureueh, Lampriet, Banda Aceh, kami di bawa menunaikan Solat Jama’ Ta’akhir Asar-Zohor di Masjid Al-Waqib. Masjid ini terletak di Deyah Raya, Syiah Kuala, Kota Banda Aceh berdekatan dengan Universitas Syiah Kuala (UNSYIAH), Banda Aceh. Selesai solat, satu Majelis Silaturrahmi (majlis suaikenal) dilakukan antara rombongan delegasi Pulau Pinang dengan Pimpinan Pusat Dewan Kemakmuran Masjid Aceh (PP DKMA) yang diketuai oleh Pak M. Hasan Basry selaku Ketua Umum PP DKMA. Beliau menyampaikan tiga (3) hasrat dari phak DKMA untuk dipertimbangkan oleh pihak kami. Pertama; memohon bantuan berbentuk kewangan selama setahun disalurkan kepada 20 orang anak-anak yatim Aceh yang berpotensi dan berprestasi dari semua aspek terutamanya akademik. Kedua; memohon bantuan berbentuk teknik dan kewangan untuk meningkatkan kualiti pengajian ilmu kepada muslimat  di masjid-masjid sekitar Banda Aceh. Dan ketiga; memohon bantuan berbentuk fizikal iaitu Gerobok Pisang (kereta tolak untuk menjual pisang goreng) kepada 20 orang Ummul Yatama (ibu-ibu tunggal yang kehilangan sumber pendapatan akibat bencana tsunami). Perbincangan berjalan dengan lancar sekali dan keputusan dibuat dengan penuh berhikmah.

19.00 mlm (waktu Indonesia) – Kami menunaikan Solat Maghrib dan Isya’ di Masjid Agung Al-Makmur, Lampriet, Kota Banda Aceh yang terletak 300 meter dari hotel tempat kami menginap. Tuan Haji Ustaz Ellias bin Zakaria – YDP MAINPP dijadualkan untuk memberi Taushiyah Maghrib (tazkirah) kepada para jemaah yang datang menunaikan solat di masjid tersebut.

Masjid ini mendapat peruntukan penuh daripada Kesultanan Oman untuk pembinaannya selepas bencana Tsunami 2004. Pembinaannya melibatkan dana Kesultanan Oman sejumlah 1.3 juta Dolar AS atau sekitar Rp17 miliar. Oman merupakan negara Islam di Timur Tengah yang pertama datang membantu Aceh setelah sebahagian besar wilayah pesisiran pantainya hancur dilanda tsunami. “Simpati, Mentari dan XL lumayan lah”. Atas nasihat Pak Adnan, saya beli simcard Simpati..

15 Januari 2010 (Jumaat)

08.00 pg (waktu Indonesia) – Setelah selesai bersarapan pagi di hotel, aktiviti kami seterusnya ialah ‘Talk Show – Dialog Interaktif’ bersama penduduk Aceh. Kami di jemput oleh Pak Drs. M. Kasim Hamid untuk di bawa bersiaran secara langsung (on-air) di Radio Baiturrahman.

Walaupun kontinya tidaklah secanggih di Malaysia, namun frekuensinya boleh mencapai sehingga 90 kilometer jauhnya. Berbangga juga saya kerana biarpun Aceh sedang dalam proses membangun, namun mereka mampu memanfaatkan teknologi ini dengan sebaik mungkin untuk menyampaikan risalah Islam. Di sana, saya berkenalan pula dengan DJ Radio Baiturrahman iaitu Pak Sayed Muhammad Husen.

09.30 pg (waktu Indonesia) – Kami bergerak pula ke Kantor Baitul Mal Aceh. Di sana seramai 10 orang karyawan (pekerja) sedang menantikan kehadiran kami.

Perbincangan kami di sana lebih tertumpu kepada pengalaman negeri Pulau Pinang menguruskan dana zakat dan projek-projek agihan zakat yang dilakukan oleh negeri Pulau Pinang. Hasil perbentangan, Baitul Mal Aceh, bersetuju dalam masa yang terdekat ini untuk menghantar beberapa orang Ummul Yatama ke Pulau Pinang untuk mempelajari bagaimana untuk membangunkan ekonomi keluarga.

Mereka dilihat cukup komited untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengursan dana zakat di Malaysia khususnya di Pulau Pinang. Saya yakin mereka mampu melakukan sesuatu yang hebat menggunakan wang zakat di Aceh. Ini kerana berdasarkan penglihatan saya, mereka mempunyai semangat kerjasama yang begitu tinggi di samping usaha ingin belajar sesuatu yang baru membuak-buak dalam diri mereka. Itulah kekuatan mereka…

Saya berkenalan dengan Pak Ir. Basri A. Bakar yang juga karyawan di sana. Pak Basri sempat menyampaikan kepada saya ‘Buletin Baiturrahman’ keluaran terbaru minggu tersebut yang akan diedarkan ke seluruh masjid di Aceh menjelang tengahari nanti. Buletin ini diedarkan setiap minggu pada hari Jumaat.

11.00 pg (waktu Indonesia) – Memandangkan masih awal lagi untuk ke masjid menunaikan Solat Jumaat, kami sempat singgah sekejap di sebuah kedai untuk menempah plaq nama untuk di bawa sebagai cenderahati sewaktu bertemu dengan Wakil Gubenur (WAGUB) Aceh petang nanti. Kedai ini bernama Kreasi Jamboo Kayee terletak berhadapan Masjid Jami’ Lueng Bata, Banda Aceh milik Pak Mukhtaruddin.

Ada sesuatu yang menarik di sini. Ketika saya bergambar kenangan dengan Pak Mukhtaruddin di dalam kedainya, saya terpandang di belakangnya terdapat papan putih tertulis angka-angka matematik moden. Saya meringankan mulut bertanya untuk apa? Adakah perlu sehingga mengira menggunakan aplikasi matematik moden hanya untuk membuat cenderahati..!!? Pak Mukhtaruddin terus menjawab dengan muka tersenyum, “waktu sore dan libur begini saya di kedai membuat souvenir.. namun waktu pagi saya di sekolah mengajar Add Math!!.. saya guru mas..” SubhanalLah.. itulah yang terdetik dalam hati saya.

12.00 tgh (waktu Indonesia) – Kami tiba di perkarangan Masjid Baitur Rahman untuk menunaikan Solat Jumaat. Masjid ini terletak di tengah-tengah bandar, Banda Aceh bersebelahan pasar (pusat membeli belah) utama Banda Aceh.

Masjid ini cukup masyhur. Inilah di antara masjid yang tidak ‘terkesan’ dengan pukulan ombak tsunami dulu. Saya diceritakan oleh penduduk di sana, gelombang tsunami setinggi pokok kelapa itu, bila sampai di masjid ini, gelombangnya menjadi tenang… Sebaik keluar sahaja dari perkarangan masjid, gelombang itu menjadi liar kembali… SubhanalLah..!!

Saya diceritakan juga, sewaktu tsunami berlaku, semua orang bertempiaran lari menyelamatkan diri. Termasuklah ada yang naik ke atas bumbung masjid di sekitar kubahnya. Saya sempat meneliti struktur masjid ini. Tiada tangga untuk naik ke atas bumbung masjid. Ertinya, mereka panjat ke atas bumbung masjid melalui dinding!! Maka sebab itulah setelah badai tsunami kembali reda, penduduk yang berada di atas bumbung masjid tidak dapat turun ke bawah. Terpaksa tunggu bantuan orang ramai. Itulah tindakan reflek yang  berlaku. Ketakutan mengatasi segala-galanya. Melihat air datang menggunung tinggi, apa sahaja akan dilakukan untuk menyelamatkan diri. Bagaimanalah nanti bila Kiamat berlaku..? tentu lebih dahsyatkan.. Masya-Allah…!!

02.00 ptg (waktu Indonesia) – Selesai menunaikan Solat Jumaat dengan khutbah yang sungguh mantap, kami bergerak ke Kantor Gabenor Aceh. Kami bertemu dengan Wakil Gubenur (WAGUB) – Tuan Muhamad Nizar. Kalau di Malaysia, Wagub seerti dengan Menteri Besar.

Menariknya, Gabenor di Aceh perlu melalui proses pilihanraya. Rakyat yang melantiknya.. berbeza sekali situasinya di Malaysia. Saya melihat, Wagub Aceh ini hebat sekali orangnya. Masih muda namun mempunyai misi dan visi yang jelas. Beliau tahu ke mana halatuju rakyat Aceh yang perlu di bawa..

Antara perkara yang dibincangkan ialah berkaitan dengan Pengurusan Masjid dan Pengurusan Baitulmal di Aceh dan Pulau Pinang. Banyak idea-idea yang diuatarakan oleh Wagub untuk membina kembali hubungan yang terjalin antara Aceh dan Pulau Pinang.

16 Januari 2010 (Sabtu)

08.00 pg (waktu Indonesia) – Pak Hilmy sedang menunggu kami di lobby hotel. Memandangkan hari ini adalah hari yang terakhir, maka saya berniat untuk melihat lagi kesan-kesan tsunami yang ada di sekitar Banda Aceh ini.

Sepanjang perjalanan, kelihatan mobil (kereta) yang ada di jalanraya kebanyakannya jenis 4wd. Paling banyak dari jenis Kijang Innova. Hampir semua platnya berawalan BL.

Pak Hilmy membawa kami melihat Kapal Apung. Sebuah kapal besar tersadai di tengah-tengah kampung. Kapal ini dibawa ombak sejauh 5 kilometer dari pantai sebelum menghempap 2 buah rumah penduduk di kampung tersebut.

Kemudian, kami bergerak pula ke kawasan Tanah Perkuburan mangsa tsunami. Saya difahamkan terdapat dua tempat tanah perkuburan yang besar. Pertama; berdekatan dengan Bandara SIM. Kedua; tempat yang saya ziarah ini.

Tanah perkuburannya cukup ringkas. Tiada batu nisan menghiasinya. Namun, di dalamnya terdapat ribuan manusia yang ‘tewas’ sewaktu tsunami. Hanya tanah lapang yang dibahagikan mengikut ‘Kawasan Kanak-Kanak’ dan ‘Kawasan Dewasa’…

Setelah itu, Pak Hilmy membawa kami melihat satu lagi tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Kami di bawa ke Masjid Baiturrahim, Uleelhee, Banda Aceh. Masjid ini terletak 500 – 800 meter dari pantai namun tidak terkesan langsung dengan tsunami. Masjid ini tidak runtuh walaupun seluruh perkampungan di sini musnah. Sempat kami menunaikan solat sunat Tahiyyatul Masjid di situ. AlhamdulilLah..!! Namun, niat saya tidak kesampaian untuk pergi ke kawasan Lampu-uk kerana masa yang tidak mengizinkan. Berdasarkan bacaan saya, Lampu-uk adalah sebuah perkampungan berhampiran dengan pantai yang juga dilanda tsunami. Penduduknya sebelum tsunami seramai 7,000 orang. Tetapi selepas tsunami yang tinggal hanya 700 orang.

11.00 pg (waktu Indonesia) – Selesai melihat tanda Kebesaran Allah itu, saya mohon jasa baik Pak Hilmy untuk membawa kami ke pasar Banda Aceh. Sepanjang perjalanan ke sana, Pak Hilmy menceritakan pengalamannya sewaktu peristiwa sedih itu. Menceritakan bagaimana suasana mayat bergelimpangan di atas jalan yang saya lewati itu. Tak dapat nak saya bayangkan…

Di sekitar Banda Aceh, melihatkan makanan, pakaian, barangan dan pelbagi jenis tudung dijual. Pesat juga pembangunan ekonomi di Aceh ini. Hampir 90% semuanya milik orang Islam..

12.30 tgh (waktu Indonesia) – Kami sampai di Bandara SIM. Bandara SIM tidak sebesar dan seramai KLIA. Di KLIA masih ada kedai Polo Shirt, Dunkin Donuts, dan kedai-kedai bebas cukai. Namun di sini, tidak banyak kerusi untuk duduk, terminal ketibaannya gelap, banyak supir teksi yang menunggu penumpang sambil merokok, ada kakek yang penjual mangga dan pisang sambil berkeliling mendatangi orang-orang yang duduk menunggu jemputan… termasuk saya.

Mata saya terpandang perkataan ‘Awak Awai’. Awak Awai dalam bahasa Aceh ertinya orang lama…mungkin banyak maksudnya itu…

Posted in SANTAI | Leave a Comment »

JOM TENGOK TEATER ‘..MENUNGGU KATA DARI TUHAN..’

Posted by solhisharif on 10 January 2010

09 Januari 2009

Lakonan yang ringkas... namun sarat dengan isi yang tersirat

Sempat juga saya mencelah-celah mencari ruang dalam keterbatasan waktu yang ada, untuk pergi menonton pementasan teater bertajuk ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’… Teater yang berlangsung di Tapak Expo Seberang Jaya, Pulau Pinang ini kelihatan menarik untuk diteliti dan diberi perhatian.

Saya boleh dikatakan peminat teater juga. Terutamanya yang berkonsepkan ketuhanan. Banyak yang kita boleh belajar dari pementasan teater ni. Selain dari mesej teater itu sendiri, kita juga boleh belajar teknik-teknik pengucapan awam dan lakonan secara langsung dengan artis. Pementasan teater akan menguji kemahiran pelakon 100% dari semua sudut. Berbeza dengan filem di televisyen yang banyak dibantu dengan teknik-teknik video editing. Memang dilihat menarik, tetapi bukan realiti. Namun teater ialah realiti. Sama seperti siri-siri latihan yang dianjurkan oleh pihak kami UWAIS. Semuanya realiti. Yang benar-benar terjadi!!

Kalau sebelum ini, entri saya banyak menceritakan saya sendiri sebagai pengendali,  namun entri kali ini sedikit berbeza. Saya pula sebagai penonton @ peserta… Begitulah, selain tugas menyampai dan berkongsi ilmu, perlu diberikan masa juga untuk terus belajar menuntut ilmu.. Ilmu Allah ini amat luas… dan manusia itu amat lemah sekali.. Subhanallah..!!

Gesekan biola dan teknik humming voice Saudara Sani Sudin

Saudara Sabri Yunus berjaya menyampaikan mesej secara bermonolog

Teater ini meluncur di atas asas terjemahan sebuah hadis Nabi SAW yang panjang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Ia mengisahkan seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Ka’ab bin Malik yang tidak ikut berperang bersama Rasulullah SAW dalam peperangan Tabuk. Teater yang berbentuk monolog ini bermula apabila Ka’ab bin Malik tidak mampu memberi alasan yang konkrit kenapa tidak boleh pergi berperang. Sedangkan Ka’Ab tak pernah mengingkari kata -kata Allah dan Rasul. Sesekali terlintas juga di fikirannya untuk berbohong kepada Nabi SAW… namun kerana imannya yang tinggi kepada Allah, terbatal niatnya itu. Maka bermulalah kisah pertarungan ‘rasa’ antara jiwa dan perasaan yang dialaminya. Beliau berasa bersalah kerana tidak ikut serta untuk berjihad di Tabuk walaupun pada masa itu beliau sihat dan telah mempersiapkan segala peralatan dan kenderaan untuk pergi berperang.

Pelbagai rasa yang dilaluinya lewat tertinggalnya beliau dalam perang lalu beliau dipulaukan oleh nabi dan sahabat kerana kesilapan besarnya itu. Kerana pada zaman itu, semua umat Islam yang cukup syaratnya wajib keluar untuk berperang. Kerana itulah perintah Nabi SAW. Yang mengingkarinya, tunggulah azab dari Allah SWT. Tidak cukup dengan penderitaan itu, Beliau juga diperintahkan untuk menjauhi isterinya. Penderitaan jiwa yang amat sangat dialami oleh Ka’ab dalam menunggu keampunan dari Allah. Menunggu kata dari Tuhan melalui lidah Rasul….. sesungguhnya, inilah erti sebenar ‘Penantian suatu Penyeksaan..’ Sehingga dunia yang luas ini terasa amat sempit oleh Ka’ab. Ka’ab terus bermunajat kepada Allah… setiap saat, setiap masa, setiap ketika…. hari demi hari Ka’ab menunggu kata ampun dari Allah… Sehinggalah Allah mengampunkannya…

Begitulah lakonan yang di bawa dengan penuh jayanya oleh pelawak terkenal – Saudara Sabri Yunus. Beliau berjaya membawa watak Ka’ab dengan baik sekali. Sekaligus memaklumkan kepada kita, beliau bukan sahaja boleh membuat kita bergelak-ketawa, bahkan juga boleh menitiskan air mata!! Begitu juga Saudara Sani Sudin yang menggesek tali biola dan suara hammingnya.. begitu ringkas, tetapi penuh dengan seninya..

Ustaz Raduan sedang membuat ulasan terhadap kisah ini

Kartunis Zunar menunjukkan teknik melukis kartun

Namun, bukanlah itu sahaja yang ingin disampaikan oleh pengarah teater ini – Saudara Dinsman. Antara mesej penting yang berjaya saya kesan dalam teater ini ialah:-

1) Sejauh mana kita bersedia untuk bercakap benar bila sudah melakukan kesalahan?

2) Setelah kita sudah mengakui kesilapan kita, Sejauh mana pula kesediaan kita untuk menerima apa sahaja hukumannya?

3) Ketika kita melakukan kesalahan (dosa), tiada siapapun yang mampu membantu kita termasuklah orang yang rapat dengan kita (suami/ isteri/ anak-anak), yang menentukan segala-galanya hanyalah ALLAH…

Inilah konflik jiwa Ka’ab dan saya yakin konflik jiwa ini juga berlaku dalam kehidupan kita juga. Katakan yang benar walaupun pahit. Utamakan pandangan Allah daripada pandangan manusia. Cukuplah bagi Allah yang menilai kerja-buat kita.. Akhir sekali, tetaer ini ditutup dengan ulasan yang dibuat oleh sahabat saya Al-Fadhil Ustaz Mohd Raduan bin Ramli. Turut hadir kartunis Zunar sebagai pembuka tirai teater dengan lukisan kartun ‘kontroversinya’…

Sempat mengabadikan gambar di luar dewan bersama pelakon utama teater "Menunggu Kata Dari Tuhan"; Saudara Sabri Yunus (kiri) dan Saudara Sani Sudin (tengah)

Posted in MOTIVASI | 2 Comments »

‘PERCEPTION TALK’ KEPADA PENUNTUT BARU ILP

Posted by solhisharif on 8 January 2010

07 Januari 2010

Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas

Berinteraksi dengan peserta wanita...

UWAIS dijemput oleh pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) untuk mengisi satu slot sempena Minggu Suaikenal Pelajar Baru Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas. Untuk kali ini, saya diminta oleh pihak penganjur untuk memberi motivasi kepada pelajar-pelajar baru supaya mereka bersedia untuk melangkah masuk menuntut ilmu di ILP ini. Menurut pihak penganjur, pada kebiasaannya, rata-rata pelajar yang masuk mendaftar ke ILP kerana tidak berpeluang untuk melanjutkan pendidikan ke universiti tempatan yang lain atau yang mempunyai masalah kewangan kritikal. Ini kerana, pelajar di ILP tidak perlu membayar apa-apa yuran pendidikan kerana semua kos di tanggung oleh pihak Kementerian Sumber Manusia selain setiap pelajar diberikan elaun bulanan sebanyak RM100!! Sungguh lumayan…🙂

Lalu, saya memulakan perkongsian saya dengan penuntut-penuntut baru itu dengan isu ‘Persepsi’… bagaimana manusia melihat sesuatu yang baru itu, dan apa pula persepsi awalnya. Setelah beberapa ‘ujian’ diberikan kepada peserta, saya mula menyedarkan mereka bahawa manusia selalu cenderung untuk melihat sesuatu itu melalui dimensi yang salah. Sesungguhnya ketika manusia melihat sesuatu yang baru, ramai juga di kalangan manusia itu suka mencari keburukannya dahulu barulah kebaikan. Sungguh, ada baiknya berhati-hati… namun sehingga melihat segala-galanya negatif tanpa ada langsung persepsi positif pasti boleh membawa mudarat yang lebih besar.

Peserta lelaki juga tidak ketinggalan berkongsi 'rasa..'

Contoh mudah, dalam alam pekerjaan misalnya, ketika ada ‘junior’ yang baru masuk kerja (awal-awal tahun begini, ramai yang baru masuk kerja…), geng-geng ‘senior’ ini pun mula membuat persepsi yang bukan-bukan kepada si junior tadi. Freshie graduate laa… xder xperience laa.. ader potensi bodek boss la.. itu laa.. ini laa.. Senior-senior tadi itu sebenarnya takut apabila sebaik sahaja junior baru masuk, krediabiliti mereka tergugat. Mungkin ada idea-idea yang bernas yang di bawa oleh junior ini nanti akan ‘menenggelamkan’ mereka. Tinggallah yang senior-senior ni dengan cara lama mereka atau bahasa sekarang ini.. ‘old school..’ masih lagi menggunakan kaset ketika mendengar lagu, dalam suasana sekarang ini orang mula beralih arah kepada i-Pod!! masih tidak memiliki apa-apa gajet penting termasuk hand-phone!! sedangkan pelajar sekolah rendah pun sudah dibekalkan oleh ibu-ayah mereka kerana kepentingannya… Itulah persepsi mereka.. dan persepsi negatif itu tidak terhenti di situ sahaja.

Mereka mula mentakrifkan ‘persepsi liar’ mereka itu melalui tindakan. Senior-senior tadi mula memberi kerja-kerja yang tidak masuk akal kepada junior itu, setiap masa mencari kelemahan dan kekurangan junior itu, ketika junior itu melalukan tugas dengan cemerlang, tiada pula kata-kata semangat atau ‘credit’ kepadanya… yang ada hanyalah kutukan.. supaya junior ini terus hilang semangat untuk bekerja. Sedangkan kelemahan si senior tadi pun apa kurangnya kan…!! Akhirnya yang rugi ialah pejabatnya sendiri… pejabat tiada apa-apa perubahan. Stereotype style… sama sahaja dari dulu sampai sekarang. Kemudian yang disalahkan ialah si junior tadi…

Inilah yang cuba saya sampaikan dalam slot di ILP kali ini. Kesilapan yang kita lakukan hari ini bukanlah kerana perbutan orang lain. Tetapi berpunca dari tangan kita sendiri. Semuanya berpunca hanya kerana ‘persepsi’ yang negatif. Akhir sekali, saya menyeru kepada semua peserta untuk bersedia dari aspek fizikal, mental, dan spiritual bagi menempuh perjalanan sebuah proses pembelajaran langsung. Terima kasih kepada Pensyarah ILP – Y.Bhg. Tuan Haji Faisal di atas jemputan ini. Semoga kalian semua beroleh kejayaan di dunia dan kemakmuran di akhirat kelak…

Antara sof pensyarah dan pelajar yang menjayakan program ini. Sebelah kanan saya ialah Haji Faisal.

Posted in UWAIS | Leave a Comment »

LAFAZ ‘ALLAH’ EKSKLUSIF UNTUK UMAT ISLAM SAHAJA… TIBA MASA UMAT ISLAM BERSATU

Posted by solhisharif on 1 January 2010

01 Januari 2010

The HERALD yang mencetuskan kontroversi di Malaysia

Dalam ‘Malaysiakini’ bertarikh 31 Disember 2009 melaporkan, “…Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan perkataan ‘Allah‘ adalah tidak sah. Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan Gereja Katholik untuk mengetepikan larangan tersebut. Hakim Lau Bee Lan berkata arahan oleh menteri dalam negeri itu adalah ‘tidak sah dan batal”. Menurutnya, akhbar mingguan ‘The Herald’ boleh menggunakan perkataan ‘Allah’ dan menegaskan bahawa perkataan tersebut bukan hanya eksklusif untuk Islam sahaja. Keputusan mahkamah mengetepikan larangan KDN itu, akan memboleh The Herald dan penerbitan bukan Islam yang lain, menggunakan perkataan ‘Allah’ sebagai terjemahan bagi perkataan ‘Tuhan’ dalam versi bahasa Melayu mereka. Hakim Lau berkata semua rakyat Malaysia mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan ‘Allah’…”

Lembaran tahun 2010 dibuka dengan Read the rest of this entry »

Posted in AGAMA | 6 Comments »

MAINPP SESSI 2010 – 2012: DARI AHLI POLITIK KE AHLI AKADEMIK

Posted by solhisharif on 1 January 2010

1 Januari 2010

Bersama YDP MAINPP yang baru (sessi 2010 - 2012)

Teka-teki siapa yang akan menerajui jawatan Yang DiPertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang baru telah terungkai sebaik sahaja Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim mengeluarkan kenyataan rasmi hari ini. Pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengikut Seksyen 11 (1)(a) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004 bagi tempoh selama 2 tahun berkuatkuasa 1 Januari 2010.

AHLI-AHLI MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG Read the rest of this entry »

Posted in AGAMA | 2 Comments »

BALA TERUS MENIMPA DIRI… MARILAH MUHASABAH DIRI

Posted by solhisharif on 24 December 2009

24 Disember 2009

SYUKUR kepada Rabb yang masih mengurniakan kepada kita segala nikmat-Nya. Semoga keyakinan kita kepada-Nya terus mekar dalam iman. Baru sahaja kita menjengah masuk Tahun Hijriah yang baru. Tengah syok-syok menyambut tahun baru dalam ‘mood’ bercuti, tiba-tiba datang pula bala yang tidak diundang menimpa diri…. Dan bertambah parah, kalau bala ini bertimpa-timpa x pernah berhenti.. Kita pun mula tertanya-tanya sambil menggeleng-gelengkan kepala: “mengapa aku jadi begini?”, atau “mengapakah Tuhan melakukan padaku begini?” Inilah ‘petanda’ sudah sampai masa kena muhasabah diri… Mungkin selama ini kita terlalu mendongak ke atas, sehinggakan kita lupa jalan yang disusuri itu mungkin ada lopaknya..

Namun, kerana keegoan yang ada, setiap kali bala menimpa diri, kita menuding jari puncanya kerana orang lain. Seolah-olah kita tiada kaitan langsung. Maka teringatlah saya dengan ayat Allah SWT: (maksudnya) “Dan musibah apa pun yang menimpamu adalah kerana perbuatan TANGANMU SENDIRI, dan Allah memaafkan banyak (dari kesalahan-kesalahanmu)” (Surah As-Syura 30)

Ketahuilah, apabila Allah SWT menurunkan bala kepada hambanya… terdapat tiga (3) kategori bala itu. Mari kita bermuhasabah satu persatu. Read the rest of this entry »

Posted in PAGI BOSS! | 5 Comments »