www.solhisharif.com

Redha-Mu Kemuncak Impianku…

Bibliografi

KELUARGA

MOHAMAD SOLHI HAJI MOHD SHARIF berasal dari sebuah perkampungan terpecil di Kupang, Baling Kedah Darul Aman. Dilahirkan di negeri ‘Bumi Kenyalang’ Kuching, Sarawak pada 30 Disember 1982 dan membesar di negeri Pulau Pinang. Anak keempat dari enam (6) orang adik beradik.

PENDIDIKAN

Pendidikan bermula dari dalam rahim seorang ‘emak’ yang ikhlas – Puan Hajjah Salma binti Che Husain. Kemudian diasuh dan dididik oleh seorang ‘abah’ yang tidak pernah mengenal erti penat lelah – Tuan Haji Mohd Sharif bin Wahab. Semoga Allah SWT merahmati kedua-dua mereka.

Tamat pengajian rendah di SRK Wellesley, Pulau Pinang terus melanjutkan pengajian menengah di SMKA Al-Mashoor (L), Pulau Pinang sehingga tamat tingkatan lima (5). Pengajian diteruskan lagi ke KUSZA, Kuala Terengganu (kini dikenali UDM) sehingga bergelar graduan berkelulusan (Dip.) Human Resources Management. Minat mencari ilmu masih diteruskan dalam bidang (B.A. Hons) Business Administration di Open University Malaysia (OUM) dan (B.A. Hons) Psychology di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selain dari ilmu-ilmu Tuhan yang diberikan secara tidak langsung melalui ‘Suara Hati’. Insya-Allah perjuangan menuntut ilmu ini akan terus-menerus dalam apa jua bidang pun selagi hayat dikandung badan.

MINAT

Amat berminat dalam bidang pengurusan, kepimpinan, penulisan, sukan lasak dan muzik terutamanya alatan percussions. Aktif di zaman persekolahan dalam bidang sukan dan pengucapan awam. Keterlibatan dalam Pasukan Debat Sekolah, Kumpulan Nasyid (Sofwatul Mashoor), Exco Badan Tertinggi Pelajar (BTP), Presiden Kelab Fotografi dan Kewartawanan, dan Pengawas Pusat Sumber. Selain itu, turut giat dengan aktiviti kemahasiswaan dan aktiviti akademik kolej sehingga terpilih menjadi Presiden Dewan Tertinggi Pelajar KUSZA. Tidak ketinggalan dalam melontarkan idea-idea menerusi penulisan artikel dan diskusi ilmiah.

KERJAYA

Pernah berkhidmat sebagai Penyelidik geran Projek IRPA di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di bawah peruntukan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Tajuk penyelidikan ialah “IPT Islam Swasta (IPTIS) dan Penyediaan Tenaga Kerja Negara)”.

Kehidupan setiap hari padat dengan aktiviti rutin bermula dari awal pagi hingga ke lewat malam. Di siang hari, bertugas secara rasmi dari jam 8.00 pagi  - 5.00 petang sebagai Ketua Unit Perhubungan Awam, Informasi & Penerbitan di Pusat Urus Zakat Negeri Pulau Pinang (PUZ) salah sebuah syarikat swasta milik penuh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Setelah itu, dari jam 5.30 petang – 7.00 malam sebagai Pensyarah Jemputan di SEGi College & Training Centre Pulau Pinang memberi syarahan dalam bidang Tasawwur Islam kepada lebih 200 orang mahasiswa. Kemudian, dari jam 8.00 malam – 11.00 malam mengisi jemputan-jemputan ceramah motivasi, kepimpinan, ceramah agama dan bengkel pengucapan awam di dalam dan luar negara.

Hujung minggu banyak dihabiskan dengan urusan mengendalikan syarikat latihan dan perundingan milik sendiri – UWAIS Training & Consultancy satu lagi wadah dakwah untuk menyampaikan apa yang pernah disampaikan Nabi SAW kepada ummah melalui Jiilul Qays101 – sebuah model latihan pengurusan dan pembangunan insan hasil kajian dan penelitian.

Masa bersama keluarga dari Jam 11.00 malam – 5.00 pagi. Begitulah kehidupan seharian dalam mencari sedikit balasan baik dari Allah SWT kerana masa bersama-Nya adalah pada setiap masa, Insya-Allah!

KEAHLIAN PROFESIONAL

Dilantik menjadi Fellow Bersekutu Islamic Development Management Centre (ISDEV) USM yang dipengerusikan oleh Profesor Muhammad Syukri bin Salleh selain juga salah seorang Fasilitator yang menggerakkan Modul Pendekatan Hadhari JAKIM ke seluruh masyarakat dan menjadi panel penceramah agama dalam aspek zakat di Mutiara FM.

Terkini, menjadi ahli kepimpinan Alumni Training Support (ATS) Wilayah Utara Malaysia (merangkumi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak Utara) untuk ESQ Leadership Centre Sdn. Bhd. – sebuah syarikat latihan kesedaran emosi dan spiritual yang diasaskan oleh Dr. Ari Ginanjar Agustian berpengkalan di negara Indonesia.