www.solhisharif.com

Redha-Mu Kemuncak Impianku…

NANGGROE ACEH DARUSSALAM: 6 TAHUN SELEPAS TSUNAMI

Posted by solhisharif on 17 January 2010

14-16 Januari 2010

BERSYUKUR kepada Allah SWT, yang telah menetapkan tanggal 14 Januari 2010 saya dapat menjejakkan kaki ke bumi Aceh, Indonesia. Pada tahun 2004, bumi ini pernah dipilih oleh Allah untuk ditunjukkan kekuatan dan kebesaran-Nya. Sesungguhnya, hubungan antara Pulau Pinang dan Aceh telah terjalin buat sekian lamanya dari dahulu lagi. Hubungan itu terus terjalin sehinggalah sekarang terutamanya dari bidang perdagangan (perniagaan) dan perubatan. Ramai orang-orang Aceh datang ke Malaysia khususnya Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital pakar kerana kosnya lebih murah berbanding di Aceh!!

14 Januari 2010 (Khamis)

13.10 ptg (waktu Malaysia) – Pesawat bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang ke Naggroe Aceh, Indonesia bersama lima orang yang lain. Tuan Haji Ustaz Ellias bin Zakaria – YDP MAINPP, Ustazah Rokiah – Isteri YDP MAINPP, Tuan Haji Abdul Waheed – Saudagar Emas, Dato’ Yusof Latiff – Pengerusi Anak Yatim Pulau Pinang dan sahabat saya saudara Ruslan Harun – Pegawai PUZ. Misi kami ke sana ialah untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dengan Pentadbiran Agama Islam di Aceh. Kira cam kunjungan diplomatik gak aa.. hehe

13.50 ptg (waktu Indonesia) – Tiba di Bandara SIM, Banda Aceh, Indonesia (Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda). Perjalanan mengambil masa sekitar 1 jam 45 minit. Sebelum pesawat mendarat, dari atas saya sempat melihat daerah pinggir pantai yang dibadai tsunami pada tahun 2004. Beberapa hari sebelum ke sini, saya sempat membuat simple study tentang Aceh ini. Dikatakan sebelum peristiwa tsunami, bangunan di pinggir pantai Banda Aceh lebih padat berbanding dengan apa yang saya lihat sekarang…. Di bandara agak panas juga suhunya berbanding Malaysia. Kami dijemput oleh beberapa jawatankuasa dari Dewan Kemakmuran Masjid Aceh (DKMA) dan Baitul Mal Aceh. Kami di bawa untuk makan tengahari di Rumah Makan Cut Dek (restoran) di Banda Aceh sebelum di bawa ke hotel untuk mempersiapkan diri.

16.30 ptg (waktu Indonesia) – Selepas check-in di Hotel Kuala Radja, Jalan Tengku Daud Beureueh, Lampriet, Banda Aceh, kami di bawa menunaikan Solat Jama’ Ta’akhir Asar-Zohor di Masjid Al-Waqib. Masjid ini terletak di Deyah Raya, Syiah Kuala, Kota Banda Aceh berdekatan dengan Universitas Syiah Kuala (UNSYIAH), Banda Aceh. Selesai solat, satu Majelis Silaturrahmi (majlis suaikenal) dilakukan antara rombongan delegasi Pulau Pinang dengan Pimpinan Pusat Dewan Kemakmuran Masjid Aceh (PP DKMA) yang diketuai oleh Pak M. Hasan Basry selaku Ketua Umum PP DKMA. Beliau menyampaikan tiga (3) hasrat dari phak DKMA untuk dipertimbangkan oleh pihak kami. Pertama; memohon bantuan berbentuk kewangan selama setahun disalurkan kepada 20 orang anak-anak yatim Aceh yang berpotensi dan berprestasi dari semua aspek terutamanya akademik. Kedua; memohon bantuan berbentuk teknik dan kewangan untuk meningkatkan kualiti pengajian ilmu kepada muslimat  di masjid-masjid sekitar Banda Aceh. Dan ketiga; memohon bantuan berbentuk fizikal iaitu Gerobok Pisang (kereta tolak untuk menjual pisang goreng) kepada 20 orang Ummul Yatama (ibu-ibu tunggal yang kehilangan sumber pendapatan akibat bencana tsunami). Perbincangan berjalan dengan lancar sekali dan keputusan dibuat dengan penuh berhikmah.

19.00 mlm (waktu Indonesia) – Kami menunaikan Solat Maghrib dan Isya’ di Masjid Agung Al-Makmur, Lampriet, Kota Banda Aceh yang terletak 300 meter dari hotel tempat kami menginap. Tuan Haji Ustaz Ellias bin Zakaria – YDP MAINPP dijadualkan untuk memberi Taushiyah Maghrib (tazkirah) kepada para jemaah yang datang menunaikan solat di masjid tersebut.

Masjid ini mendapat peruntukan penuh daripada Kesultanan Oman untuk pembinaannya selepas bencana Tsunami 2004. Pembinaannya melibatkan dana Kesultanan Oman sejumlah 1.3 juta Dolar AS atau sekitar Rp17 miliar. Oman merupakan negara Islam di Timur Tengah yang pertama datang membantu Aceh setelah sebahagian besar wilayah pesisiran pantainya hancur dilanda tsunami. “Simpati, Mentari dan XL lumayan lah”. Atas nasihat Pak Adnan, saya beli simcard Simpati..

15 Januari 2010 (Jumaat)

08.00 pg (waktu Indonesia) – Setelah selesai bersarapan pagi di hotel, aktiviti kami seterusnya ialah ‘Talk Show – Dialog Interaktif’ bersama penduduk Aceh. Kami di jemput oleh Pak Drs. M. Kasim Hamid untuk di bawa bersiaran secara langsung (on-air) di Radio Baiturrahman.

Walaupun kontinya tidaklah secanggih di Malaysia, namun frekuensinya boleh mencapai sehingga 90 kilometer jauhnya. Berbangga juga saya kerana biarpun Aceh sedang dalam proses membangun, namun mereka mampu memanfaatkan teknologi ini dengan sebaik mungkin untuk menyampaikan risalah Islam. Di sana, saya berkenalan pula dengan DJ Radio Baiturrahman iaitu Pak Sayed Muhammad Husen.

09.30 pg (waktu Indonesia) – Kami bergerak pula ke Kantor Baitul Mal Aceh. Di sana seramai 10 orang karyawan (pekerja) sedang menantikan kehadiran kami.

Perbincangan kami di sana lebih tertumpu kepada pengalaman negeri Pulau Pinang menguruskan dana zakat dan projek-projek agihan zakat yang dilakukan oleh negeri Pulau Pinang. Hasil perbentangan, Baitul Mal Aceh, bersetuju dalam masa yang terdekat ini untuk menghantar beberapa orang Ummul Yatama ke Pulau Pinang untuk mempelajari bagaimana untuk membangunkan ekonomi keluarga.

Mereka dilihat cukup komited untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengursan dana zakat di Malaysia khususnya di Pulau Pinang. Saya yakin mereka mampu melakukan sesuatu yang hebat menggunakan wang zakat di Aceh. Ini kerana berdasarkan penglihatan saya, mereka mempunyai semangat kerjasama yang begitu tinggi di samping usaha ingin belajar sesuatu yang baru membuak-buak dalam diri mereka. Itulah kekuatan mereka…

Saya berkenalan dengan Pak Ir. Basri A. Bakar yang juga karyawan di sana. Pak Basri sempat menyampaikan kepada saya ‘Buletin Baiturrahman’ keluaran terbaru minggu tersebut yang akan diedarkan ke seluruh masjid di Aceh menjelang tengahari nanti. Buletin ini diedarkan setiap minggu pada hari Jumaat.

11.00 pg (waktu Indonesia) – Memandangkan masih awal lagi untuk ke masjid menunaikan Solat Jumaat, kami sempat singgah sekejap di sebuah kedai untuk menempah plaq nama untuk di bawa sebagai cenderahati sewaktu bertemu dengan Wakil Gubenur (WAGUB) Aceh petang nanti. Kedai ini bernama Kreasi Jamboo Kayee terletak berhadapan Masjid Jami’ Lueng Bata, Banda Aceh milik Pak Mukhtaruddin.

Ada sesuatu yang menarik di sini. Ketika saya bergambar kenangan dengan Pak Mukhtaruddin di dalam kedainya, saya terpandang di belakangnya terdapat papan putih tertulis angka-angka matematik moden. Saya meringankan mulut bertanya untuk apa? Adakah perlu sehingga mengira menggunakan aplikasi matematik moden hanya untuk membuat cenderahati..!!? Pak Mukhtaruddin terus menjawab dengan muka tersenyum, “waktu sore dan libur begini saya di kedai membuat souvenir.. namun waktu pagi saya di sekolah mengajar Add Math!!.. saya guru mas..” SubhanalLah.. itulah yang terdetik dalam hati saya.

12.00 tgh (waktu Indonesia) – Kami tiba di perkarangan Masjid Baitur Rahman untuk menunaikan Solat Jumaat. Masjid ini terletak di tengah-tengah bandar, Banda Aceh bersebelahan pasar (pusat membeli belah) utama Banda Aceh.

Masjid ini cukup masyhur. Inilah di antara masjid yang tidak ‘terkesan’ dengan pukulan ombak tsunami dulu. Saya diceritakan oleh penduduk di sana, gelombang tsunami setinggi pokok kelapa itu, bila sampai di masjid ini, gelombangnya menjadi tenang… Sebaik keluar sahaja dari perkarangan masjid, gelombang itu menjadi liar kembali… SubhanalLah..!!

Saya diceritakan juga, sewaktu tsunami berlaku, semua orang bertempiaran lari menyelamatkan diri. Termasuklah ada yang naik ke atas bumbung masjid di sekitar kubahnya. Saya sempat meneliti struktur masjid ini. Tiada tangga untuk naik ke atas bumbung masjid. Ertinya, mereka panjat ke atas bumbung masjid melalui dinding!! Maka sebab itulah setelah badai tsunami kembali reda, penduduk yang berada di atas bumbung masjid tidak dapat turun ke bawah. Terpaksa tunggu bantuan orang ramai. Itulah tindakan reflek yang  berlaku. Ketakutan mengatasi segala-galanya. Melihat air datang menggunung tinggi, apa sahaja akan dilakukan untuk menyelamatkan diri. Bagaimanalah nanti bila Kiamat berlaku..? tentu lebih dahsyatkan.. Masya-Allah…!!

02.00 ptg (waktu Indonesia) – Selesai menunaikan Solat Jumaat dengan khutbah yang sungguh mantap, kami bergerak ke Kantor Gabenor Aceh. Kami bertemu dengan Wakil Gubenur (WAGUB) – Tuan Muhamad Nizar. Kalau di Malaysia, Wagub seerti dengan Menteri Besar.

Menariknya, Gabenor di Aceh perlu melalui proses pilihanraya. Rakyat yang melantiknya.. berbeza sekali situasinya di Malaysia. Saya melihat, Wagub Aceh ini hebat sekali orangnya. Masih muda namun mempunyai misi dan visi yang jelas. Beliau tahu ke mana halatuju rakyat Aceh yang perlu di bawa..

Antara perkara yang dibincangkan ialah berkaitan dengan Pengurusan Masjid dan Pengurusan Baitulmal di Aceh dan Pulau Pinang. Banyak idea-idea yang diuatarakan oleh Wagub untuk membina kembali hubungan yang terjalin antara Aceh dan Pulau Pinang.

16 Januari 2010 (Sabtu)

08.00 pg (waktu Indonesia) – Pak Hilmy sedang menunggu kami di lobby hotel. Memandangkan hari ini adalah hari yang terakhir, maka saya berniat untuk melihat lagi kesan-kesan tsunami yang ada di sekitar Banda Aceh ini.

Sepanjang perjalanan, kelihatan mobil (kereta) yang ada di jalanraya kebanyakannya jenis 4wd. Paling banyak dari jenis Kijang Innova. Hampir semua platnya berawalan BL.

Pak Hilmy membawa kami melihat Kapal Apung. Sebuah kapal besar tersadai di tengah-tengah kampung. Kapal ini dibawa ombak sejauh 5 kilometer dari pantai sebelum menghempap 2 buah rumah penduduk di kampung tersebut.

Kemudian, kami bergerak pula ke kawasan Tanah Perkuburan mangsa tsunami. Saya difahamkan terdapat dua tempat tanah perkuburan yang besar. Pertama; berdekatan dengan Bandara SIM. Kedua; tempat yang saya ziarah ini.

Tanah perkuburannya cukup ringkas. Tiada batu nisan menghiasinya. Namun, di dalamnya terdapat ribuan manusia yang ‘tewas’ sewaktu tsunami. Hanya tanah lapang yang dibahagikan mengikut ‘Kawasan Kanak-Kanak’ dan ‘Kawasan Dewasa’…

Setelah itu, Pak Hilmy membawa kami melihat satu lagi tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Kami di bawa ke Masjid Baiturrahim, Uleelhee, Banda Aceh. Masjid ini terletak 500 – 800 meter dari pantai namun tidak terkesan langsung dengan tsunami. Masjid ini tidak runtuh walaupun seluruh perkampungan di sini musnah. Sempat kami menunaikan solat sunat Tahiyyatul Masjid di situ. AlhamdulilLah..!! Namun, niat saya tidak kesampaian untuk pergi ke kawasan Lampu-uk kerana masa yang tidak mengizinkan. Berdasarkan bacaan saya, Lampu-uk adalah sebuah perkampungan berhampiran dengan pantai yang juga dilanda tsunami. Penduduknya sebelum tsunami seramai 7,000 orang. Tetapi selepas tsunami yang tinggal hanya 700 orang.

11.00 pg (waktu Indonesia) – Selesai melihat tanda Kebesaran Allah itu, saya mohon jasa baik Pak Hilmy untuk membawa kami ke pasar Banda Aceh. Sepanjang perjalanan ke sana, Pak Hilmy menceritakan pengalamannya sewaktu peristiwa sedih itu. Menceritakan bagaimana suasana mayat bergelimpangan di atas jalan yang saya lewati itu. Tak dapat nak saya bayangkan…

Di sekitar Banda Aceh, melihatkan makanan, pakaian, barangan dan pelbagi jenis tudung dijual. Pesat juga pembangunan ekonomi di Aceh ini. Hampir 90% semuanya milik orang Islam..

12.30 tgh (waktu Indonesia) – Kami sampai di Bandara SIM. Bandara SIM tidak sebesar dan seramai KLIA. Di KLIA masih ada kedai Polo Shirt, Dunkin Donuts, dan kedai-kedai bebas cukai. Namun di sini, tidak banyak kerusi untuk duduk, terminal ketibaannya gelap, banyak supir teksi yang menunggu penumpang sambil merokok, ada kakek yang penjual mangga dan pisang sambil berkeliling mendatangi orang-orang yang duduk menunggu jemputan… termasuk saya.

Mata saya terpandang perkataan ‘Awak Awai’. Awak Awai dalam bahasa Aceh ertinya orang lama…mungkin banyak maksudnya itu…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: