www.solhisharif.com

Redha-Mu Kemuncak Impianku…

Archive for October, 2008

MUSUH ISLAM SEDANG ATUR STRATEGI BARU

Posted by solhisharif on 6 October 2008

Oleh : Mohamad Solhi bin Haji Mohd Sharif

Presiden US - BushPenduduk dunia menjadi panik apabila presiden Amerika, George W Bush membuat pengumuman di televisyen dengan menakut-nakutkan orang ramai kononnya negara akan melalui satu lagi kegawatan yang hebat. Untuk kali pertama dalam sejarah Amerika Syarikat, bantuan presiden terpaksa diperoleh untuk menghadapi kepanikan kewangan yang boleh menggugat ekonomi dunia. Perkara ini hanya boleh diselesaikan jika cadangan mendapatkan sokongan kongres diluluskan bagi menyalurkan sejumlah peruntukan bagi menyelamatkan sektor kewangan negara itu daripada merudum. Ironinya, ketika Amerika mengalami kegawatan paling hebat pada era pemerintahan Franklin Roosevelt, presiden itu meyakinkan rakyat negara itu supaya tidak terlalu panik. Ini amat berbeza dengan Bush…

Impaknya, jutaan rakyat bertindak luar biasa akibat ketakutan itu. Mereka mula mengeluarkan wang dari bank dan pasaran saham. Bush menggunakan hujah kejatuhan pasaran saham lima hari kemudian (akibat dari penduduk mengeluarkan wang) untuk memaksa ahli kongres secara ‘lembut’ untuk meluluskan bantuan kewangan itu. Bush menambah lagi tekanan dengan memperkenalkan peraturan baru di Wall Street kononnya menstabilkan aliran ekonomi. Tetapi hakikat sebenarnya menambahkan lagi kekalutan krisis kewangan yang berlaku. Tindakan itu menyebabkan institusi kewangan bertindak keterlaluan dan menyulitkan lagi dasar ekonomi Amerika. Akhirnya, ahli kongres terpaksa meluluskan cadangan tersebut akibat desakan rakyat yang percaya akan hujah Bush.

Pengerusi Rizab Persekutuan - Ben Bernanke

Sebenarnya, hujah Bush yang mengatakan pasaran saham jatuh merudum itu membolehkan bantuan kewangan diberikan adalah tidak kuat sama sekali. Umum mengetahui pergerakan pasaran saham didorong oleh persepsi massa terhadap perkembangan semasa. Ia tidak ada kena mengena dengan fundamental sebenar ekonomi.

Penggunaan taktik menakut-nakutkan orang ramai itu turut dikongsi pegawai Bush, termasuk Setiausaha Perbendaharaan, Henry Paulson dan Pengerusi Rizab Persekutuan, Ben Bernanke. Gabungan strategi mereka bertiga berjaya mencipta suasana ‘panik’ dalam pasaran dan cukup untuk menggerunkan orang ramai.

Tidak ada sesiapapun melihat punca sebenar ekonomi dunia merudum adalah disebabkan oleh kegagalan dasar ekonomi Bush selama ini. Ditambah pula dengan sikap cuai Paulson dan Bernanke terhadap ‘gelembung industri perumahan’ Amerika yang mencecah sehingga AS$8 trilion. Kini, ketika gelembung industri itu mula runtuh satu persatu, ekonomi mengalami kerugian sehingga AS$4 trilion dan baki AS$4 trilion lagi akan ghaib pada tahun depan.

Pada masa sama, Paulson dilihat mendapat manfaat daripada polisi baru yang diperkenalkan kerajaan US. Dia memperoleh berjuta-juta dolar daripada firma pelaburan Goldman Sachs dalam bentuk pampasan ketika menduduki kerusi ketua eksekutifnya sebelum ini.

Setiausaha Perbendaharaan - Henry Paulson

Maka, secara politiknya terbukti langkah Bush itu berkesan. Namun, di pihak lain, kejayaan Bush itu membayangkan betapa Amerika yang dikatakan sebuah negara  paling berkuasa di dunia, sedang menghadapi satu masalah yang amat besar. Sebuah negara yang maju dan sedang mula menuju kepada kehancuran. Inilah janji Allah SWT.

Perlu kita renungkan bersama, untuk apa Bush lakukan semua ini? Beberapa tahun yang lepas, wang rakyat US telah dihabiskan untuk membunuh umat Islam (kononnya memerangi pengganas), kini mendapat pula bantuan kewangan baru yang diluluskan ahli kongres secara ‘paksa-rela’. Bukankah Bush sedang menyusun strategi baru? Kali ini siapakah pula yang menjadi mangsanya? Tentunya umat Islam.. namun, sebanyak manakah persiapan kita? sudahkah kita bersedia?

Posted in SANTAI | 5 Comments »

POLIS MALAYSIA ADA MASALAH PSIKIATRI

Posted by solhisharif on 6 October 2008

Kesyahduan gema takbir raya di Kampung Selendang, Padang Tengku Kuala Lipis pada jam 6.30 pagi terganggu apabila seorang anggota polis yang beasal dari Kelantan melepaskan 58 das tembakan ke udara berhampiran satu tanah perkuburan Islam, kemudian ke arah dua buah kereta orang awam yang kosong, dan  ke arah keretanya sendiri. Tembakan tersebut dipercayai rambang dan tiada nyawa yang terkorban berlaku.

revolver

revolver

Di satu pihak, ramai yang menarik nafas lega kerana tiada kemalangan jiwa berlaku. Ada juga yang mengatakan mungkin untuk melepaskan tension! Namun, pada pandangan saya pula di sebalik kejadian tersebut pasti tersembunyi kisah-kisah lain yang menjadi sebab-musabab kenapa ini berlaku. Kisah ini meninggalkan pelbagai polemik kepada masyarakat yang kini disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan di kawasan yang tidak sah. Segala persoalan masih bermain di fikiran.

Antara persoalan- persoalan hasil perbualan saya dengan orang ramai ialah:-

1) Usia 22 tahun, berstatus bujang, dan baru berkhidmat tiga (3) tahun dilihat tidaklah sepatutnya mengalami tekanan perasaan yang keterlaluan. Beliau masih muda, belum berkahwin, dan baru bekerja. Namun kenapa beliau boleh mengambil tindakan sampai ke tahap itu?

2) Bukankah sewaktu temuduga rekrut menjadi anggota polis, semua tahap diuji termasuk ujian psikologi. Sepatutnya dapat dikesan lebih awal lagi tahap kewarasannya?

3) Beliau bertugas di Bahagian Am, Balai Polis Simpang Durian, Jelebu Negeri Sembilan dan telah mengambil cuti selama dua hari sebelum hari raya. Namun bagaimana dia boleh sampai ke Kuala Lipis pada hari kejadian dan memiliki senjata jenis revolver, HK MP5, dan peluruh lebih 58 butir pada hari dia tidak bertugas? Kebiasaannya seorang anggota polis yang bertugas hanya dibekalkan sepucuk pistol revolver dan 30 butir peluru dan mesti menyerahkan kembali setelah habis tugas.

HK MP5

4) Beliau berkata anggota polis itu membawa pulang pistol yang sepatutnya ditinggalkan di tempatnya bertugas di Balai Polis Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan. Bagaimana boleh dibenarkan harta benda polis di bawa pulang ke rumah?

Sama-samalah kita nantikan keputusan yang dibuat oleh pakar-pakar psikiatri. Saya tidak sabar untuk mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku..

 

Posted in SANTAI | Leave a Comment »

MEMILIH UNTUK HIDUP BUJANG: APA KATA ISLAM?

Posted by solhisharif on 5 October 2008

Belakangan ini, semacam wujud satu tren terutamanya di kalangan mereka yang bekerjaya besar untuk memilih hidup membujang. Kebanyakannya memberi alasan tidak mahu menambah komitmen lagi. Justeru itu, ingin saya berkongsi satu artikel yang ditulis oleh abang saya – Dr. Mohd Farid bin Haji Mohd Sharif; Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM. Artikel ini telah disiarkan dalam beberapa makalah tempatan. Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua.

Sama ada kita sedar atau tidak, ada manusia yang fizikal dan mentalnya sangat sihat tetapi memilih untuk tidak mahu berkahwin. Senario ini bukanlah satu perkara yang sungguh-sungguh luar biasa dan ganjil, hinggakan lelaki atau wanita yang memilih untuk hidup membujang sebegini dianggap mempunyai masalah dan beliau perlu mendapatkan rawatan kaunseling. Sebenarnya, golongan ini tidak mengalami apa-apa gangguan baik dari segi emosi mahupun jasmani, justeru tidak perlu dipandang serong baik oleh keluarga sendiri mahupun kawan-kawan sepejabat. Malah, mereka juga tidak semestinya pergi mendapatkan nasihat dari mana-mana individu yang menawarkan khidmat kaunseling. Namun begitu, bagaimanakah jika terdapat suara yang mendakwa bahawa hukum seorang lelaki atau perempuan yang tidak berkahwin sepanjang usianya, adalah haram. Jika dakwaan ini benar, sebesar manakah dosa yang bakal ditanggung oleh lelaki atau perempuan itu. Atau, bagaimanakah jika ada yang mengatakan tindakan tidak mahu berkahwin itu bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad SAW, lantas lelaki atau perempuan itu tidak akan diakui sebagai umat baginda SAW.

Pada asasnya, Islam adalah agama yang menggalakkan seseorang yang mampu berkahwin, iaitu cukup kesihatan dan cukup perbelanjaan, dan bersedia menjalankan kewajipan sebagai suami dan isteri supaya berkahwin dan mendirikan sebuah rumah tangga yang bahagia. Memang benar, Nabi Muhammad SAW tidak menyukai orang yang membujang seumur hidup, kecuali orang itu mempunyai masalah yang tidak mengizinkannya untuk berkahwin. Namun, baginda SAW tidak pula menyebut dengan terperinci apakah jenis-jenis masalah itu kerana baginda menyedari bahawa setiap orang mempunyai masalah tersendiri. Masalah ini termasuklah tidak sempurna kesihatan fizikalnya, mempunyai gangguan emosi dan mental atau apa-apa sahaja yang membuatkannya tidak berminat untuk mendirikan rumah tangga.

Galakan supaya berkahwin memang jelas ditekankan dalam Islam. Sebagai contoh, dalam sebuah hadith: “Berkahwinlah kamu dan beranak pinaklah kamu dengan banyaknya. Sesungguhnya aku akan berbangga dengan kamu berbanding umat-umat lain pada hari akhirat nanti (Riwayat Abu Daud dan al-Hakim).” Selain nasihat ini, Nabi Muhammad SAW turut mengecam segolongan sahabat yang pernah menyatakan hasrat mereka untuk berkasi dan terus membujang sepanjang hidup supaya dapat menumpukan perhatian kepada ibadat. Berkahwin serta hidup berkeluarga merupakan satu fitrah yang dikurniakan oleh Allah SWT semenjak Adam yang menjadikan manusia dan semua makhluk berpasang-pasangan. Perkahwinan juga merupakan satu rahmat serta salah satu daripada tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah SWT. Di mana dengan berkahwin, seorang itu dapat menyalurkan kehendak fitrahnya seperti berkasih sayang, menyalurkan tuntutan nafsu seks, dapat mengadakan perbincangan atau berkongsi buah fikiran, berhak untuk mewarisi harta antara satu sama lain dan dapat mengukuhkan ekonomi bagi pasangan yang bekerja.

Islam meletakkan hukum yang berbeza tentang perkahwinan mengikut keperluan dan keadaan. Bagi golongan yang berkemahuan dan berkemampuan zahir dan batin untuk berkahwin serta menaruh kebimbangan terjebak dalam maksiat, jika ditangguhkan perkahwinan hukumnya adalah berdosa. Dalam erti kata lain, hukum berkahwin itu menjadi wajib. Bagi golongan yang berkeinginan dan mampu, tetapi jika terus hidup membujang mereka masih dapat mengawal diri mereka daripada perbuatan maksiat, maka hukum berkahwin adalah sunat. Hukum berkahwin menjadi harus bagi sesiapa yang tidak mempunyai apa-apa sebab yang mendorong mereka berkahwin dan tidak ada sebab yang menghalang mereka daripada berkahwin. Juga, harus berkahwin kepada mereka yang sudah ada kemampuan tapi belum ada keinginan. Manakala bagi mereka yang tidak mampu dan tidak yakin dapat melaksanakan kewajipan sebagai suami atau isteri, ataupun dia sememangnya tidak berminat langsung untuk hidup berpasangan, maka hukum berkahwin adalah haram. Begitu juga jika terdapat lelaki atau perempuan yang ingin berkahwin tetapi berniat untuk mendera atau menipu pasangannya, maka hukumnya juga adalah haram kahwin. Para ulama berpendapat hukum ini sama sahaja baik bagi lelaki mahupun perempuan. Kerana perkahwinan adalah sebuah institusi yang mulia dan perlu dihormati serta dipelihara dari segala perlakuan negatif yang boleh merosakkannya.

Fenomena hidup membujang sepanjang usia bukanlah satu hal yang baru muncul pada zaman pasca moden ini. Umat Islam yang hidup pada abad-abad awal Islam sebenarnya sudahpun menikmati hidup bujang ini. Terdapat beberapa ulama terkenal yang telah menghabiskan usia hidup tanpa berkahwin, sebagai contoh Muhammad b. Jarir al-Tabari (m. 313/925). Beliau sangat terkenal dalam bidang tafsir al-Qur’an, pengarang kitab sejarah yang terkemuka dan pengasas sebuah mazhab fiqh pada zamannya. Demikian juga dengan Mahmud b. ‘Umar al-Zamakhshari (m. 538/1144), seorang ulama dan pengarang kitab tafsir; dan Ahmad b. ‘Abd al-Halim Ibn Taymiyyah (m. 727/1328). Tiga tokoh yang disebutkan ini ialah antara ulama besar dalam bidang tafsir dan perundangan Islam. Ratusan penyelidikan telah dilakukan tentang sejarah dan sumbangan pemikiran mereka dan berjaya pula menghasilkan tesis-tesis sarjana atau doktor falsafah.

Ramai ulama berpandangan bahawa kahwin membunuh cita-cita sebagai seorang ilmuan. Umar b. al-Khattab (m. 23/644), misalannya pernah menasihati muridnya supaya belajar bersungguh-sungguh sebelum kahwin. Begitu juga dengan Imam Abu Hanifah (m. 150/767) pernah menasihati Abu Yusuf (m. 182/798) agar jangan berkahwin di usia muda. Setelah berkahwin, masa akan tertumpu kepada keluarga, tidak lagi kepada pelajaran. Ulama yang memilih hidup tanpa kahwin tentu ada sebab-sebabnya sama ada peribadi atau lain-lain. Kebiasaannya para ulama memilih hidup bujang disebabkan tanggungjawab mereka yang besar terhadap umat Islam. Mereka hidup sepenuh masa dengan berbakti kepada ilmu pengetahuan, menjadi ahli ibadat, ulat buku, pengarang buku dan lain-lain. Sebagai bayarannya, mereka rela hidup tanpa kahwin sepanjang usia.

Walaupun para ulama ini tidak pernah mengasuh anak-anak kerana tidak pernah berumahtangga, tetapi mereka pernah membangunkan ummah dan pernah mengasaskan institusi-institusi ilmu dan mazhab pemikiran Islam menerusi pelajar-pelajar mereka. Para pelajar ini dididik dan diasuh sehingga menjadi ulama yang terkenal dalam bidang masing-masing dan meneruskan kesinambungan ilmu pengetahuan yang diwarisi daripada guru mereka.

Kembali kepada dakwaan bahawa hukum tidak berkahwin sepanjang usia itu adalah haram. Kononnya mereka yang tidak mahu berkahwin tidak mengikuti sunnah nabi dan nabi sendiri tidak akan mengaku sebagai umatnya. Cuba kita lihat nama-nama ulama seperti yang telah disenaraikan tadi. Sudah tentu para ulama itu lebih mengetahui tentang hukum dan kewajipan untuk menjadi umat nabi yang terbaik. Mereka pastinya lebih tahu tentang hakikat dan keperluan sebenar dalam kehidupan mereka dan tentunya para ulama ini juga tidak rela diri mereka tidak diakui sebagai umat nabi.

Dakwaan yang tidak berasas sebegini tidak perlu dilayan. Bagi mereka yang berasa cukup bahagia dengan hidup tanpa kahwin dan memangpun telah menjalani kehidupan tanpa kahwin selama ini, maka janganlah risau terhadap masa depan yang masih ada. Hadapilah hidup ini dengan tenang dan optimistik. Sebagai ganti kepada kehidupan tidak kahwin, lakukanlah amal kebajikan dan berikan sumbangan kepada agama dan masyarakat sebanyak yang termampu. Temuilah kebahagiaan melalui kerja-kerja amal dan sumbangan bakti kepada masyarakat. Contohilah kehidupan para ulama silam itu yang menghabisi usia bujang mereka dengan berbakti kepada ilmu pengetahuan dan membangunkan ummah.

Posted in BAITI | 1 Comment »