www.solhisharif.com

Redha-Mu Kemuncak Impianku…

ASNAF ‘FISABILILLAH’ PERLU DEFINISI BARU

Posted by solhisharif on 5 October 2007

Oleh : Mohamad Solhi bin Haji Mohd Sharif

Umum mengetahui bahawa Islam itu bersifat fleksibel dan universal, ia wajar selari dengan tuntutan semasa agar matlamat penyebaran Islam berjaya menyusun tatacara hidup manusia secara realistik. Ini termasuklah juga dalam kaedah pengagihan zakat.

Allah s.w.t. berfirman di dalam al-Quran: Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mualaf yang dipujuk hati mereka, untuk memerdekakan hamba, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai satu ketetapan yang diwajibkan Allah: Dan Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana. (At-Taubah 9:60)

Ayat al-Quran itu menerangkan tentang lapan asnaf yang berhak menerima agihan zakat. Daripada lapan asnaf ini, yang sering menjadi kontroversi ialah asnaf `untuk jalan Allah’ atau diistilahkan sebagai Fisabilillah.

Bagaimanapun kefahaman berkaitan pentafsiran asnaf `Fisabilillah’ ini perlu dijelaskan kerana masih terdapat kekeliruan di kalangan umat Islam dalam mentafsirkan asnaf Fisabilillah ini sehingga memberi kesan kepada agihan zakat.

Istilah Fisabilillah biasa diterjemahkan sebagai `Pada Jalan Allah’. Istilah ini juga lebih masyhur ditafsirkan dengan `Berperang menentang musuh Allah’. Secara umumnya, masyarakat dapat memahami bahawa golongan yang dikategorikan Fisabilillah adalah para pejuang Islam yang memasuki medan pertempuran melawan musuh-musuh agama di perbatasan negara.

Pemberian zakat itu diberikan kepada mereka lantaran ia adalah sebagai satu kepentingan daripada kepentingan-kepentingan umum (maslahat umum) yang perlu diambil kira.

Namun, melihat akan masyarakat yang mengalami perubahan zaman melalui pelbagai era kehidupan, seharusnya pentafsiran Fisabilillah ini diperluaskan dan diperincikan. Maka di sini kita memerlukan penilaian hukum dari semasa ke semasa agar mampu menjadi satu pendekatan yang selari dengan perkembangan hidup manusia.

Walaupun begitu, perlulah ditegaskan bahawa penilaian semula hukum-hukum ini pada hakikatnya bukanlah bererti satu penolakan terhadap pandangan-pandangan ulama terdahulu, bahkan ia adalah sebagai satu kesimpulan hukum dengan menggunakan neraca dan timbangan yang sama.

Perbezaan pendapat di kalangan para fukaha telah menjelaskan kepada kita bahawa fatwa atau pendapat yang mereka kemukakan adalah berasaskan kepada dalil-dalil yang jelas dari al-Quran dan As-Sunnah. Malah sebahagiannya adalah berdasarkan ijtihad mereka.

Ini bermakna pandangan mereka adalah diterima pakai selari dengan kehendak agama. Inilah bukti yang memperlihatkan kepada umum akan konsep keterbukaan yang dibenarkan dalam syariat Islam.

Dalam mazhab Syafie, Fisabilillah juga ditafsirkan sebagai berperang di jalan Allah atau jihad dalam pengertian yang khusus. Namun, mereka mensyaratkan agar para mujahidin yang boleh menerima zakat hanyalah mereka yang berjihad secara sukarela tanpa gaji atau upah.

Ertinya, bagi pejuang yang sudah mempunyai gaji yang tetap di dalam daftar tentera, zakat tidak boleh lagi diberikan kepada mereka.

Selain itu, ulama-ulama yang lain juga memberikan pentafsiran terhadap makna Fisabilillah dengan satu pentafsiran yang lebih luas dan mendalam. Imam Ar-Razi misalnya berkata, penggunaan istilah tersebut tidak semestinya terhad kepada peperangan melawan musuh di medan pertempuran sahaja. Malah ramai fukaha yang mentafsirkan istilah tersebut meliputi semua bentuk kebajikan yang didasarkan untuk meninggikan agama Allah s.w.t.

Misalnya al-Kasaniy di dalam kitabnya al-Bada’i’ mentafsirkan Fisabilillah sebagai merangkumi seluruh perbuatan yang menghampirkan diri kepada Allah (kebajikan). Sebahagian ulama mazhab Hanafi pula mentafsirkan Fisabilillah sebagai penuntut ilmu. Walaupun penuntut ilmu itu kaya, dia tetap berhak mendapat zakat.

Pendapat yang mengatakan zakat harus diberikan kepada golongan penuntut ilmu ini adalah berdasarkan matlamat menuntut ilmu sebagai satu fardu kifayah dan menjadi tuntutan dalam syariat meninggikan agama. Tambahan pula, sekiranya penuntut-penuntut ilmu itu bekerja, dibimbangi akan menghalang dirinya daripada memperoleh ilmu dengan baik. Oleh itu, zakat perlu diberikan kepada golongan ini kerana mereka berada dalam golongan Fisabilillah.

Sesuai dengan pentafsiran ini, pengagihan zakat kepada asnaf Fisabilillah kini meliputi pembiayaan untuk pembinaan dan pemulihan institusi-institusi Islam, pembiayaan program-program agama untuk memberi kefahaman Islam kepada masyarakat, dermasiswa pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara serta banyak lagi perkara yang matlamatnya adalah mendaulatkan agama Allah s.w.t.

Pentafsiran Fisabilillah tentulah amat tepat pada zaman ini jika kita menerima pakai pentafsirannya yang merangkumi usaha-usaha pembebasan bumi umat Islam daripada penjajahan kuffar (orang kafir) dan mendaulatkan hukum serta ajaran Islam di negara umat Islam.

Selain itu, masyarakat juga harus memahami pengagihan yang dibincangkan ini mempunyai satu syarat utama, iaitu segala pembiayaan tersebut adalah ekoran daripada tidak mendapat tajaan dan pembiayaan daripada mana-mana pihak. Jika berlaku sebaliknya, wang zakat mestilah diperuntukkan ke saluran asnaf-asnaf lain yang lebih memerlukannya.

2 Responses to “ASNAF ‘FISABILILLAH’ PERLU DEFINISI BARU”

  1. zulhelmi warni said

    mohn ltakkn nama kitab,pnulis,tahun penerbitan(bg rjukan y saudara gnekan)hntr ke email sy (senyum_helmi@yhoo.com.my)

  2. zainatun syafiah said

    saya nak tak tanya golongan tu apa

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: