www.solhisharif.com

Redha-Mu Kemuncak Impianku…

GOLF : YANG TERSURAT & TERSIRAT II

Posted by solhisharif on 27 October 2009

solhi golf putter

Short Game... kat sinilah ramai golfer yang selalu ambil ringan. Boleh dapat 'double bogey' kalau tak kena gaya ooo..

Masih ingat lagi entri saya yang lepas tentang golf? Untuk kali ini, saya ingin lanjutkan lagi tentang golf dan kaitannya dengan solat. Namun, sebelum itu perlu saya jelaskan dulu bukanlah niat saya ingin menyamakan taraf solat dengan golf. Sesungguhnya solat itu tiada tolok bandingannya. Entry ini sekadar ingin berkongsi rasa dan pengalaman saya ketika bermain golf. Tidak lebih daripada itu.

Ok, kita mulakan dengan sebelum seseorang pemain golf memukul bola dulu. Beberapa ‘checklist’ perlu dibuat sebelum bola dipukul. Kalau checklist ini tidak diikuti dengan betul, alamatnya bola akan pergi tidak jauh daripada 50 meter. Badan pun terasa sakit macam nak putus urat pinggang. Antara checklist yang saya selalu buat (atas nasihat Pro saya), jarak antara kaki kiri dan kanan mestilah tepat mengikut kayu yang digunakan. Kaki hendaklah lurus mengarah ke hadapan. ‘U’ shape bukan ‘V’ shape. Jaraknya pula tidak terlalu jauh dan tidak terlalu rapat. Bila dah dapat jarak yang sesuai, conform waktu swing memang akan terasa seimbang berat badan kaki kiri dan kanan.

Apa kaitannya dengan solat? Waktu kita solat kena berdiri betul kan? Bukankah jarak antara kedua kaki kita tu tak boleh dibuka sangat. Pernah tengok orang solat kakinya rapat terus? Tak ler pulak kan.. Paling penting ‘U’ shape tu kena ader. Ader kaitan tak? ok, kita tengok lagi…

Checklist seterusnya yang saya buat ialah grip tangan pada kayu golf mestilah tepat setepatnya. Tangan kanan mesti atas tangan kiri. Jari-jemari disimpan dengan rapi. Genggaman tidak terlalu kuat dan tidak terlalu longgar. Kalau longgar, bukan bola yang pergi, kayu golf ler yang terbang masuk padang. Pro saya selalu cakap, jangan genggam sangat… ibarat pegang burung katanya. Kalau genggam kuat-kuat burung akan sakit atau mati, kalau longgar sangat burung akan terbang. Dah tu nak buat camner nii..? berminggu la jugak saya berlatih skill ni sampai melecet jari-jemari. AlhamdulilLah, sekarang dah boleh sikit-sikit. Tu pun kadang-kadang terlupa. Rupa-rupanya, grip ni main peranan bukan main penting lagi.. silap grip, bola boleh pergi ke kanan atau kiri.. walaupun kita hayun lurus ke depan. Dahsyat.. Dahsyat..!

Apa kaitannya dengan solat? Ha, dalam solat (mengikut tatacara sifat solat Nabi SAW), bukankah kita kena qiyam tangan kanan di atas tangan kiri. Tempatnya antara pergelangan tangan. Jari-jemari juga boleh disimpan dengan rapi. Tidak terlalu kuat dan tidak terlalu longgar genggamannya. Kemudian genggaman tangan tersebut diletakkan di antara bahagian dada hingga ke pusat.

Satu lagi checklist yang selalu saya buat sebelum swing ialah kedudukan mata yang selalu melihat ke arah bola di bawah. Bermula dari backswing sehinggalah fullswing mata jangan dok gatal-gatal tengok tempat lain. Fokus kepada bola sahaja. Waima bila dah siap swing pun, bola dah berlepas, mata tetap tengok ke arah bawah tempat bola berlepas tadi. Tujuannya, taknak bagi badan bergerak walau seincipun. Itulah rahsia pemain-pemain profesional macam Tiger Woods buat swing. Tangan jer jalan, badan tak bergerak pun. Sebab mata dia terus tengok ke bawah. Bila mata tengok ke bawah, secara automatiknya badanpun akan membongkok sikit ke bawah dan akan lock pergerakkannya sekaligus memberikan keseimbangan kepada badan. Itulah kata-kata Pro saya.

Ha, kaitannya dengan solat? Ingat lagi tak dalam solat, kita tidak digalakkan melihat ke kiri dan ke kanan. Mata tengok di tempat sujud jer. Tujuannya untuk mendatangkan kekhusyukan atau fokus. Satu lagi ketika rukuk, mata juga kena tengok tempat sujud. Bila buat macam tu, kepala akan terdongak sedikit dan barulah dapat posture badan 90 darjah sewaktu rukuk. Tapi kalau waktu rukuk asyik tengok kaki sendiri jer, kepala akan termasuk sedikit ke dalam menjadikan posture badan 80 darjah. Amacam? ader kaitan tak? Kalau ader kaitan, maknanya bolehla golf ni dijadikan satu mekanisme untuk berlatih menunaikan solat. Kalau nak lagi.. tunggu entry saya yang seterusnya…

ENTRI BERKAITAN : http://solhisharif.wordpress.com/2009/10/14/golf-yang-tersurat-tersirat-i/

Posted in MOTIVASI | Leave a Comment »

KELAHIRAN DU’AT SAUDARA BARU (MUALLAF) DI ZON UTARA MALAYSIA

Posted by solhisharif on 27 October 2009

23 Oktober 2009 (Jumaat)

Picture9

Kursus ini cuba melahirkan Saudara Baru yang mampu menjadi Da'ie (pendakwah) kepada rakan-rakan lain di luar sana.

Picture7

Sesi menguji kemahiran 'Readiness' - Satu kemahiran yang wajib ada pada seorang Da'ie

Picture5

'Focus' - kemahiran ini juga perlu dikuasai oleh seorang Da'ie yang hebat

Al-hamdulilLah yang menentukan segala perancangan hambanya..

Minggu lepas, setelah selesai slot bersama siswa-siswi di UUM, Sintok Kedah Darul Aman, saya bergerak pula ke negeri Perak Darul Redzuan untuk memenuhi jemputan oleh Unit Ukhuwah, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP). Walaupun badan sudah terasa keletihan, namun saya semacam tidak boleh menolak kalau ada pengisian yang melibatkan Saudara Baru. Terasa tanggungjawab yang amat besar sangat kalau saya tinggalkan. Saya selalu katakan, Saudara Baru ini tidak sama seperti orang Islam yang lain. Kebanyakan orang Islam hidup sebagai muslim kerana Islamnya diwarisi turun-temurun daripada keluarganya. Kalau ditanya tentang apa itu Islam, belum tentu mereka mampu memberi jawapan yang tepat. Berbeza pula ceritanya dengan Saudara Baru. Mereka mencari kebenaran dan perlu membuat pilihan untuk meninggalkan agama lama mereka. Bersedia untuk dibuang keluarga, dimaki-hamun rakan-rakan, dan dipandang serong masyarakat. Mungkin inilah sebabnya saya mesti bertemu dengan mereka. Mereka dipilih oleh Allah untuk menerima hidayah-Nya.

Picture6

Ustaz Abdul Malek (berdiri) telah berjaya menarik ramai umat manusia untuk kembali bersama Islam.

Picture10

'Empathy' - Juga satu lagi kemahiran yang wajar ada pada Da'ie Muslim

Maka atas dasar itu, bertempat di Taiping Golf Resort, Perak Darul Redzuan, Kursus Dakwah & Kepimpinan Saudara Baru (Muallaf) 2009, saya berusaha untuk mengendalikan slot ceramah bertajuk ‘Motivasi Hidup Sebagai Da’ie’. Kursus ini berlangsung selama 3 hari 2 malam melibatkan hampir 35 orang muallaf di negeri Pulau Pinang dan Perak.

Kursus ini dirangka untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang kepentingan mendalami ilmu Islam sebaiknya. Kemudian setelah itu, ilmu tersebut hendaklah pula disebarkan manfaatnya kepada orang lain di sekeliling mereka. Setelah para peserta berbengkel selama 2 hari dalam kursus ini, pada hari ke-3 mereka akan bergerak ke kawasan-kawasan pedalaman di sekitar negeri Perak khususnya ke perkampungan orang asli untuk dipraktikkan teknik-teknik dakwah yang dipelajari. Sesungguhnya, dakwah yang dilakukan oleh golongan saudara baru (muallaf) ini dilihat lebih berkesan kerana mereka amat faham dan jelas tentang penghayatan agama (selain Islam) sebelum memeluk agama Islam.

Terima kasih kepada sahabat saya al-Fadhil Ustaz Tuan Haji Abdul Malik Bin Abdullah; Pegawai Mubaligh JAIPP, kerana tak pernah jemu menjemput kami untuk berkongsi ilmu dengan rakan-rakan saudara baru. Beliau juga salah seorang Saudara Baru yang telah berjaya hidup sebagai seorang muslim yang begitu sempurna.

Picture8

'Kasih & Sayang' - Nilai inilah yang menjadi asas kejayaan Da'ie yang pernah di ajar oleh Nabi SAW dulu.

 

Posted in UWAIS | Leave a Comment »

REKREASI SPIRITUAL DENGAN SISWA-SISWI UUM

Posted by solhisharif on 25 October 2009

23 Oktober 2009

UUM

Antara peserta yang hadir dalam program ini

UWAIS buat kali ke-2 dijemput sekali lagi ke Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah Darul Aman untuk menyampaikan santapan minda kepada mahasiswa-mahasiswi di sana. Untuk kali ini, UWAIS diberikan tanggungjawab untuk membawa dua (2) slot kepada 122 orang peserta yang terdiri dari pelbagai kursus.

UUM

Sharing... peserta diberi ruang untuk berkongsi pengalaman masing-masing

UUM

Ceria sungguh siswa UUM nii.. Bayangkan beginilah wajah mereka sehinggalah program selesai.. :)

Pada slot pertama, para peserta dibawa untuk melihat dimensi ‘persepsi diri’ yang selalu membawa ke arah keburukan. Peserta juga dijelaskan tentang kehebatan manusia yang diberikan pelbagai potensi diri. Namun, masih ramai manusia membiarkan potensi itu terbenam di dalam diri masing-masing tanpa sebarang usaha untuk menonjolkannya. Peserta juga turut diingatkan bahawa sesungguhnya manusia itu diberikan ilham oleh Tuhan untuk memilih ke mana arah tujuan hidupnya. Sama ada ke jalan keburukan atau jalan kebaikan. Terpulang kepada manusia itu untuk memilihnya. Namun, beruntung kepada manusia yang memilih jalan kebaikan dan rugilah yang memilih jalan keburukan.

Pada slot kedua pula, peserta didedahkan dengan kesalahan manusia menetapkan tujuan hidup. Manusia seringkali menginginkan kesenangan hidup di dunia. Namun, tidak ramai pula yang memberikan keutamaan kepada kehidupan akhirat. Sedangkan itulah kehidupan yang kekal abadi. Begitulah dunia sebagai seorang penuntut ilmu, belajar semata-mata kerana inginkan CGPA yang tinggi. Dengan harapan, mampu mendapat kerja yang besar, membeli kereta yang mahal, memiliki rumah yang besar. Sebeanrnya, matlamat seperti itu tidak salah. Malah ia amat digalakkan. Namun, jangan jadikan matlamat seperti itu sebagai ‘matlamat sebenar’ dalam hidup kita. Kerana ramai yang terlupa sebenarnya semua itu akan lenyap sekelip mata jika tiada pertalian dengan Tuhan.

UUM

Kehadiran Dato' Abu Seman @ Pak Abu (kanan) cukup bermakna buat kami semua..

UUM

Siapa Menang Siapa Kalah.. antara aktiviti yang melibatkan peserta

Turut hadir dalam program ini ialah Dato’ Abu Seman Awang; Pensyarah Kanan CAS UUM atau lebih selesa dengan panggilan (Pak Abu), Encik Abdul Rashid; Pensyarah CAS UUM dan Cik Syarifah Rohaniah; Pensyarah UUM yang sudi bersama-sama kami sehingga program selesai. Peserta pula kebanyakannya dari Kursus Sains Kaunseling, Kaunseling Pendidikan, Komunikasi, Ekonomi, Pengurusan Teknologi, Pengurusan Awam, Pengurusan Pembangunan & Perhubungan Antarabangsa.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada penuntut-penuntut subjek Kaedah Penyelidikan Sains Sosial di bawah penyeliaan Encik Abdul Rashid; pensyarah subjek ini yang sudi menjemput UWAIS. Kami mohon maaf  zahir dan batin kalau ada sebarang kekurangan sepanjang kami mengendalikan program ini.

Posted in UWAIS | Leave a Comment »

GOLF: YANG TERSURAT & TERSIRAT I

Posted by solhisharif on 14 October 2009

Sesekali kena turun green juga untuk tee-off. Barulah tak tumpul tips yang diajar

Sesekali kena turun green juga untuk tee-off. Barulah tak tumpul tips yang diajar

Mungkin ada yang tertanya, macamana la pula saya boleh berminat dengan sukan golf ni? Kalau ditanya kepada orang lain, selalu jawapan yang diberikan seperti ini :-

1) Kawan-kawan perkenalkan.

2) Bina rangkaian perniagaan – sebab dekat padang golf boleh jumpa ramai rakan-rakan business.

3) Keluarga main – jadi sebagai anak-anak ni kena force main juga.

4) Ada gak yang jawab camni – boleh buat duit lebih. 1 lubang Rm100. 18 lubang dah berapa dah? modal RM150 jer.. astaghfirulLah al-’azim..

Tapi saya lain sikit.. Segalanya bermula apabila saya membuat sedikit research tentang golf untuk dimuatkan dalam training saya. Orang selalu kata, golf adalah sukan untuk orang malas. Sehingga diertikan G-O-L-F sebagai (G)olongan (O)rang (L)embab (F)ikiran.. wah hebat sungguh ‘PERSEPSI’ awal mereka sehingga ke situ sampainya.

Saya pun terfikir, kalaulah benar sukan golf untuk orang yang ‘lembab fikiran’, kenapa ramai pula ahli perniagaan, pensyarah, doktor perubatan, dan ahli korporat amat meminati sukan ini? Sudah pasti mereka ini tidak boleh di golongkan dalam kelompok orang yang ‘lembab fikiran’. Tambah memelikkan lagi, orang yang betul-betul lembab fikiran tak pula kelihatan bermain golf… he, he. Maka, saya pun bertekad untuk cuba menyelongkar rahsia yang ada di sebalik golf.

Untuk melunaskan niat itu, saya melangkah pergi ke Driving Range (tempat golfer berlatih membetulkan hayunan dan jarak) untuk bertemu dengan seorang Pro (golfer yang telah diiktiraf untuk bermain dengan ’zero’ handicap dan layak untuk memberi tunjuk ajar kepada beginner golfer). Saya diperkenalkan dengan Pro Johari. Tujuan saya pergi bertemu dengan Pro Johari (atau lebih mesra dengan panggilan abg. Joe) untuk mendapat sedikit gambaran tentang sukan golf di samping untuk menyewa sebatang kayu golf untuk digunakan dalam training saya. Abg. Joe memang hebat. Tidak kedekut ilmu seperti sesetengah golfer yang saya kenal. Segala-galanya diceritakan kepada saya. Paling menarik, abg. Joe berkemahiran menghayunkan kayu golf either righthanded or lefthanded. Satu kelebihan yang ada pada dia yang jarang ada pada Pro lain. Ditambah pula dengan kefasihannya bercakap bahasa cina dan india.

Lepas dah selesai kongsi-kongsi ilmu tu, saya pun maklumkanlah niat saya nak sewa sebatang kayu golf abg. Joe. Tiba-tiba begini pula kata abg. Joe, “takpelah Ei (panggilan abg. Joe kepada saya), amik jer mana-mana kayu abg. Joe yang ader kat dalam beg tu. Dah selesai training nanti baru pulangkan… Sebelum balik, try la swing dulu abg. Joe nak tengok…” Saya pun apa lagi.. orang dah mengantuk disorong pula bantal, rugila kalau tak tido senyenyaknya.. :)

Dengan pengalaman yang ‘zero’ tentang dunia golf ni, saya pun terus menghayun kayu golf 7-iron itu menggunakan tangan kanan saya. Apa jadi pada bola golf tu… he, he.. meleret ler x sampai 3 kaki. Kemudian, Abg. Joe minta saya hayun guna tangan kiri pula (sebab dia ada kelebihan bermain kedua-dua tangan). Tiba-tiba bola golf melambung tinggi dan pergi agak jauh gak aa.. Satu kepuasan yang amat sukar untuk dijelaskan kepada saya yang tak pernah bermain golf langsung sebelum ini. Abg. Joe pun terus berkata kepada saya, “Solhi, you kena main on your left.. you’re lefthanded golfer!..”  Terkejut saya. Sebenarnya, memang saya ni lefthanded. Banyak aktiviti yang berat saya gunakan tangan dan kaki kiri (pegang pisau, garpu, raket ping-pong, raket badminton, bola sepak). Cuma menulis dan menyuap makanan jer guna tangan kanan. Sepanjang perbincangan, saya x cakap langsung kat abg. Joe. Alih-alih dia tahu. Memang Pro betul la.. Dan bermula saat itu, secara rasminya Pro Johari menjadi sifu saya dalam sukan golf ni. AlhamdulilLah, banyak tips yang saya pelajari darinya.

Ada satu perkara lagi yang ingin saya kongsikan bersama. Dan perkara inilah yang membuatkan saya lebih berminat untuk bermain golf. Berdasarkan pengamatan saya hasil pembacaan dan perbincangan dengan Pro, sukan golf ini sedikit sebanyak boleh membantu kita berlatih untuk khusyu’ dalam menunaikan solat walaupun ramai yang tidak menyedarinya. Dengan kata lain, golf ada kaitan dengan solat!! Insya-Allah, saya akan cuba kongsikan dalam penulisan saya akan datang… :)

Posted in MOTIVASI | Leave a Comment »

HUMMER… MESIN PERKASA CIPTAAN MANUSIA

Posted by solhisharif on 12 October 2009

Hummer H2.. hebat sungguh mesin ciptaan manusia ini.. Maknanya, yang cipta manusia mesti lagi hebat kan.. :)

Hummer H2.. hebat sungguh mesin ciptaan manusia ini.. Yang cipta manusia mesti lagi hebat kan.. :)

Terkesima saya melihat Horatio, salah satu watak dalam filem bersiri CSI Miami memandu Hummer. Dikatakan orang awam pertama memilikinya ialah pelakon lagak lasak Arnold Schwarzenegger. Kemudian, diikuti dengan beberapa selebriti lain seperti David Beckham dan Wayne Rooney yang memiliki beberapa versi Hummer.

Saya berusaha mencarinya untuk melihat dengan lebih dekat kenapa Hummer ini menjadi tarikan kepada mereka semua. Terutamanya lelaki.

Hummer di peringkat awalnya dibuat hanya untuk keperluan tentera Amerika yang dipelopori oleh AM General Corporation. Namun, setelah mereka melihat ada permintaan dari orang awam, maka mereka memperkenalkan Hummer dalam versi High Mobility Multipurpose Wheeled Vehicle atau singkatannya (HMMWV) tapi sering diucapkan sebagai Humvee.

Sewaktu Hummer menjalani prose’s R&D sebelum dijual kepada umum, syarikat pengeluar Hummer sengaja membawa Hummer melalui jalan yang jauh lagi sukar bermula dari London ke Beijing. Laluannya teramatlah sukar kerana perlu melalui jalur berat di ‘wilayah tengah’ bekas Negara Uni Soviet. Namun, dengan kekuatan 3.7L, 4 valve, Hummer mampu mengeluarkan 242 hp @ 5600 rpm dan masalah itu bukanlah satu masalah buat Hummer.

Versi pertama dikenali dengan H1 (1992). Kendaraan ini dibuat berdasarkan versi ketenteraan ‘Humvee M998′. Hummer generasi pertama ini masuk dalam kategori off-road raksasa yang terkenal dengan ketahanan dari segala-galanya di segala tempat. Ia juga dilengkapi dengan anti-peluru jika bertujuan untuk ketenteraan. Cuma H1 disesuaikan untuk keselesaan orang awam yang dilengkapi set kerusi yang empuk, penyaman udara, radio.

Hummer mengorak langkah dengan memperkenalkan model baru dikenali H2 (2003) seperti yang bersama-sama dengan saya dalam gambar. Secara visual, model H2 terlihat lebih ramping, lebih panjang, lebih tinggi, dan lebih ringan daripada pendahulunya H1. Model H2 sendiri masuk dalam kategori sport utility vehicle atau SUV namun ada pula H2 versi Sport Utility Truck atau SUT dimana H2 dimodifikasi dengan memakaikan model truk pada tubuhnya. H2 sendiri sebenarnya adalah sebuah kombinasi cerdas dari berbagai truk yang ada di Amerika seperti GM GMT820, Chevrolet Tahoe dan GMC Yukon. Bahagian depan H2 merupakan modifikasi frame dari GM 2500 dan GM 1500 pada bahagian belakang. Pada hemat saya, H2 antara model Hummer yang paling menarik untuk dilihat dan dibawa.

Hummer memperkenalkan modelnya lagi dikenali H3 (2006). Generasi ketiga ini mempunyai revolusi yang sudah jauh dari H1 dan H2. Kesannya, sambutan kepada model ini ternyata sangatlah positif. Terbukti walaupun generasi ini memiliki kesamaan platform dengan GMT345, GMT355, Chevrolet Colorado dan GMC Canyo, H3 masih mampu mengungguli 74% dari penjualan semua model Hummer yang pernah ada.

Yang terkini, Hummer melahirkan generasi baru dikenali HX (2008). Model ini telah hilang sama sekali cirri-ciri yang ada pada H1. HX bahkan memiliki tubuh yang lebih kecil dari H3 yang sudah ‘kecil’. Dengan berbagai bahagian tubuh yang boleh diceraikan seperti pintu, atap, bonet depan, dsb. Dengan kelebihan itu, HX menjadi sangat ringan ketika diajak off-road hingga dengan mudah melewati kubangan lumpur.

Tidak hairanlah kenapa lelaki menjadi terkesima bila melihat Hummer di jalanan. Kerana Hummer ibarat lelaki sejati yang penuh kemachoan!! Wah…

Posted in MOTIVASI | 4 Comments »

PROGRAM JATIDIRI MASJID PERMATANG TINGGI ‘A’

Posted by solhisharif on 12 October 2009

11 Oktober 2009 (Ahad)

Antara peserta lelaki yang hadir ke program

Antara peserta lelaki yang hadir ke program

Jawatankuasa Masjid Permatang Tinggi ‘A’ telah menjemput kami untuk mengisi dua (2) slot motivasi kepada 90 orang pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah dari lima (5) buah sekolah di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) Pulau Pinang.

Bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 1.00 petang, fokus penyampaian adalah berkaitan persediaan diri (rohani dan jasmani) sebagai pelajar dan keutamaan mengutamaan pandangan tuhan dari pandangan manusia.

Peserta wanita bermula dari darjah 1 hingga tingkatan 5

Peserta wanita bermula dari darjah 1 hingga tingkatan 5

Terima kasih kepada Y.Bhg. Tuan Haji Abd. Rahim (atau lebih selesa dengan panggilan Cikgu Rahim) selaku Pengerusi Qaryah Permatang Tinggi ‘A’ yang bertungkus-lumus mencari peserta dan sumbangan untuk menjayakan program ini. Biarpun usianya sudah menjengah lewat 60-an namun langsung tak menjadi satu masalah bersama-sama semua AJKnya bekerja keras membuat persiapan sebelum, semasa, dan selepas program berlangsung. Tertanya juga saya ke mana anak-anak muda/ belia di kawasan itu? Oh…. lupa saya. Program ini dilakukan pada hari ahad pagi. Susah sikit nak cari pemuda/ belia ‘bekerja’ pada waktu tu… Terasa malu saya bila melihat semangat mereka (orang-orang lama) kalau nak dibandingkan semangat anak-anak muda sekarang.

Sesi relax-relax... santai-santai...

Sesi relax-relax... santai-santai...

Sempat juga Cikgu Rahim berkongsi dengan saya dua (2) bahan yang baru untuk digunakan dalam training saya. Pertama; berkaitan gempa bumi yang berlaku di Padang, Indonesia yang menyamai 3 nas al-Quran. Kedua; sebuah buku yang baru dilancarkan karangan Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak bertajuk “Helming the Times”. Buku ini berkisar tentang saranan beliau supaya orang melayu menakhoda zaman supaya tidak ketinggalan zaman. Syukur kepada Allah SWT. Semoga dibalas yang terbaik kepada usaha Cikgu Rahim. Insya-Allah, selesai sahaja proses research & development (R&D) ke atas bahan-bahan itu, saya akan muatkan dalam training saya.

Cikgu Rahim membuat kesimpulan ke atas semua slot yang saya sampaikan

Cikgu Rahim membuat kesimpulan ke atas semua slot yang saya sampaikan

Kepada semua peserta, semoga adik-adik peserta terus menjadi manusia yang ‘KHOIR..!!’ insya-Allah..

Posted in UWAIS | Leave a Comment »

SLOT PENGHAYATAN DI SMK ARAU, PERLIS

Posted by solhisharif on 9 October 2009

9 Oktober 2009

'Ice-Breaking' sedang dijalankan kepada semua peserta

'Ice-Breaking' sedang dijalankan kepada semua peserta

Seramai 70 orang peserta dari Sekolah Menengah Kebangsaan Arau, Perlis telah bersama-sama kami dalam slot Muhasabah & Penghayatan Diri bermula jam 9.00 malam sehingga 11.30 malam. Slot ini adalah sebahagian daripada pengisian Khemah Ibadah yang dianjurkan sendiri oleh Panitia Pendidikan Islam SMK Arau selama 2 hari 1 malam di sekolah.

Antara peserta lelaki yang hadir

Antara peserta lelaki yang hadir

Ini adalah kali ke-3 UWAIS di negeri Perlis Indera Kayangan. Sebelum ini, kami pernah dijemput ke Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Kangar Perlis untuk program bersama pengawas dan Al Madrasah Ad Diniah Al Islamiyah (MADI) Perlis untuk program pembangunan keyakinan diri (self-confident) di kalangan pelajarnya.

Antara pelajar wanita SMK Arau yang hadir

Antara pelajar wanita SMK Arau yang hadir

Sebenarnya, pagi tersebut saya ada slot di Pulau Langkawi, Kedah Darul Aman bersama-sama dengan kakitangan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang. Malam itu terus ke Perlis pula. Badan dah mula rasa sedikit keletihan. Namun, saya hadir juga demi tidak mahu mengecewakan hajat rakan-rakan yang jauh.

Terima kasih kepada semua guru-guru yang bertugas menjayakan slot ini pada malam tersebut. Mohon maaf zahir batin kalau sepanjang penyampaian terdapat kekurangan.

Posted in UWAIS | Leave a Comment »

WACANA ILMU BERSAMA JUNIOR KAUNSELOR UUM

Posted by solhisharif on 8 October 2009

Barisan AJK Penganjur Program Bersama Konsultan & Wacana Ilmu 2009

Barisan AJK Penganjur Program Bersama Konsultan & Wacana Ilmu 2009

7 Ciri Perunding Motivasi Unggul

Sedikit pengalaman dikongsi bersama-sama peserta

6 Oktober 2009 bersamaan 17 Syawal 1430H kami dijemput oleh Mahasiswa/i Pendidikan Bimbingan & Kaunseling Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menjayakan ‘Program Bersama Konsultan & Wacana Ilmu’ bertempat di DKG 5/2 yang dihadiri lebih 100 orang peserta. Antara objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta bagaimana menjadi perunding latihan yang unggul.

Peserta dari Program Edu Kaunseling (bakal guru)

Control ur smile ok.. only 2" is accepted.. :)

Untuk itu, pada slot yang pertama, kami telah menyusun beberapa input untuk dikongsi bersama dengan menjadikan pengalaman UWAIS Training & Consultancy mengendalikan kursus-kursus latihan selama ini sebagai asas perbincangan. Pada slot yang kedua pula, semua peserta dibawa merasai sendiri pengalaman berada dalam short course yang dikendalikan sendiri oleh UWAIS. Apa yang dikongsi dalam slot pertama yang berbentuk teori, diterjemahkan pula dalam slot kedua dalam bentuk pelaksanaan. AlhamdulilLah, semuanya berjalan lancar seperti yang dirancangkan..

Hadir sama pensyarah-pensyarah UUM En. Abdul Rashid (bersongkok), En. Syukri (berbaju batik), dan En. Hasmunizam (berblazer hitam)

Hadir sama pensyarah-pensyarah UUM En. Abdul Rashid (bersongkok), En. Syukri (berbaju batik hijau), dan En. Hanizam (berblazer hitam)

Program ini bertambah serinya dengan kehadiran pensyarah-pensyarah UUM yang sudi menunggu sehingga selesai kesemua slot. Terima kasih yang tidak terhingga buat Encik Abdul Rashid, Encik Syukri, dan Encik Hanizam. Kalian adalah orang-orang yang amat kami banggakan. Semoga ukhuwah kita berpanjangan hendaknya.. :) 2″

Antara peserta non-muslim yang turut hadir dengan penuh toleransi

Antara peserta non-muslim yang turut hadir dengan penuh toleransi

Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang bukan beragama Islam yang sudi bertoleransi untuk sama-sama hadir mengikuti program ini. Especially for Miss Ivy Ting. Thanks for your fantastic sharing... :) 2″ Mohon maaf yang lain tak sempat saya ingat namanya. Namun, wajah anda tetap berada dalam hati kami. Toleransi anda membuktikan anda adalah pejuang kebenaran.

Control senyum erk.. only 2" accepted.. :)

Antara peserta dari Program Edu Kaunseling (bakal guru)

Tidak lupa kepada semua peserta yang hadir. Terima kasih kepada mahasiswa/i Sains Kaunseling (walaupun sibuk dengan jamuan raya namun tetap hadir juga dengan baju raya masing-masing). Terima kasih juga kepada penuntut dari College of Arts & Sciences (CAS), College of Business (COB) dan College of Law, Government & International Studies (COLGIS) yang turut serta untuk sama-sama berkongsi pengalaman.

Antara peserta dari Program Sains Kaunseling yang hadir

Antara peserta dari Program Sains Kaunseling (bakal kaunselor)

Tahniah diucapkan kepada semua AJK penganjur program. Anda telah menganjurkan program yang cukup sempurna biarpun baru di semester 3. Kalian semua memang KHOIR…!!! :) 2″

Posted in UWAIS | 4 Comments »

KEM JOM SOLAT DI SMK JERAI, BALING KEDAH

Posted by solhisharif on 4 October 2009

1-3 Oktober 2009

SMK Jerai lakar sejarah

SMK Jerai melakar sejarah kali pertama modul ini digunakan

Buat julung-julung kalinya, modul ‘Kem Jom Solat’ yang disusun oleh UWAIS digunakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai, Kupang Baling Kedah. AlhamdulilLah, seramai 100 orang peserta yang terdiri dari tingkatan 1 dan 2 telah menghadirkan diri ke kem ini. Program anjuran Unit Kaunseling SMK Jerai dengan kerjasama Pusat Urus Zakat Pulau Pinang ini berjalan selama 3 hari 2 malam.

DSC00444

'Comando Prayer'.. antara modul dalam Kem Jom Solat

Betapa bertuahnya kami kerana inilah kali pertama modul ini diaplikasikan kepada pelajar-pelajar luar bandar. Maklumlah, pelajar luar bandar (kampung) amat kurang sekali pendedahan kepada program-program yang seperti ini. Sebelum ini, modul Kem Jom Solat ini digunakan kepada pelajar-pelajar pinggir bandar dan tengah bandar. Respon yang diberikan amat-amat menggalakkan.

DSC01666

waris turut hadir memberi sokongan sewaktu majlis penyerahan peserta

Waris peserta turut digalakkan datang pada slot-slot terpilih supaya kesinambungannya boleh di bawa pulang bersama-sama dengan anak-anak. Ada juga teman-teman saya (En. Yusman dan rakan-rakannya) yang sudi datang dari Pulau Pinang semata-mata hendak merasai sendiri pengalaman dalam slot ‘Bicara Hati’. Terima kasih juga kepada Cikgu Zulkifli di atas jemputan dan kepercayaan terhadap kami. Terima kasih di atas sokongan anda.

DSC00452

Semangat betul adik-adik dari SMK Jerai nii..

Pihak sekolah juga sedang merancang untuk menjemput kami semula namun kali ini program difokuskan kepada pelajar-pelajar yang lebih ’senior’ antara tingkatan 4 hingga 5.

Posted in MOTIVASI | 2 Comments »

AL-FATIHAH BUAT ADIK SAYA: SYAFIQ SHARIF

Posted by solhisharif on 27 July 2009

syafiq corporate

Syafiq Dalam Kenangan

BismilLahir Rahmanir Rahim..

Tanggal 24 Julai 2009 bersamaan 02 Sya’aban 1430H setelah solat Jumaat, saya telah kehilangan seorang adik yang dikasihi mengadap Tuhan yang Maha Esa..

27 Jun 2009 – Sebulan sebelum Syafiq meninggalkan kami; Jam 10.00 mlm – Saya balik ke kampung untuk ziarah mak abah. Kebetulan Syafiq bercuti dan ada di kampung juga. Saya ambil masa ini untuk bertanya tentang pelajaran dan aktivitinya. Syafiq maklum kepada saya apabila buka semester baru nanti perlu sewa rumah di luar. Dan perlu motosikal untuk ulang-alik ke kelas. Syafiq dah survey harga motor di beberapa kedai. Saya tahu Syafiq amat memerlukan motor untuk kemudahannya belajar, tapi entah tidak tahu kenapa hati saya amat berat sekali untuk mengiyakan kehendaknya kali ini. Jadi saya bagi cadangan kepada Syafiq, “buat masa ni tumpang dulu motor kawan sementara abg uda nak bincang dengan abg ngah kalau-kalau dia boleh bg pinjam motor dia.. Tak payah beli lain lah..” Syafiq setuju.. dan saya sempat bagi kata-kata semangat untuk Syafiq. Antaranya saya mengatakan kepada Syafiq, “…buatlah sesuatu yang boleh banggakan keluarga.. Abg uda nak tengok lepas ni..” Syafiq hanya membisu…

04 Julai 2009 – 3 minggu sebelum Syafiq meninggalkan kami; Jam 9.00 pg - Saya bertolak ke rumah sewa Syafiq di Changkat Sodang bersama mak abah untuk menghantar barang-barangnya. Syafiq balik awal lagi ke rumah sewanya dengan bas. Selalunya, tugas menghantar dan mengambil Syafiq ini dilakukan oleh abang saya yang ke-2 dan ke-3 (Abg Ngah & Abg Cik). Saya tak pernah berkesempatan untuk berbuat demikian kerana sibuk menguruskan tanggungjawab yang lain. Entah kenapa hari itu, saya sendiri yang beriya-iya ingin menghantarnya. Saya sempat melihat rumahnya, berkenalan dengan kawan-kawan serumahnya, keluar ke bandar membeli barang-barang keperluan Syafiq dan sempat masuk ke dalam kampus UiTM Seri Iskandar melihat tempat belajarnya. Itulah kali terakhir saya bersama-sama dengan Syafiq. Dan itulah kali terkahir saya dapat menghantar Syafiq ke kampusnya…

07 Julai 2009 - Syafiq telefon saya maklumkan dia dah tak perlu motor lagi. Sebab ada kawan yang boleh tumpangkan dia. Terasa amat bersyukur sekali apabila Syafiq cakap macam itu.

18 Julai 2009 – Seminggu sebelum Syafiq meninggalkan kami. Ibu saya telefon dari kampung maklumkan Abg Ngah setuju untuk berikan motornya kepada Syafiq. Dan mohon pendapat saya. Sekali lagi, hati saya amat berat untuk mengatakan boleh. Tapi saya tidak ada sebarang alasan untuk menyokongnya. Waktu itu, saya ada program training di Genting Highland bersama Pegawai Kementerian Luar Negeri Malaysia. Habis slot saya berkaitan dengan kematian, setelah audien keluar dari dewan, kepala saya terasa amat sakit sekali. Kesakitan itu terasa betul-betul di tengah ubun-ubun saya dan tak pernah rasa sebegini sepanjang saya membawa slot ini. Mungkin inilah petanda dari Allah yang bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang, WalLahu A’lam.

22 Julai 2009 - Abg Ngah menguruskan motor untuk diposkan kepada Syafiq di Seri Iskandar. Walaupun berat, namun saya tetap membenarkan juga demi kemudahan Syafiq.

syafiq & mak

Syafiq & Bonda sewaktu hari raya 2008.. Siapa pun tidak menyangka Syafiq dah x dapat beraya bersama-sama tahun ini..

24 Julai 2009 / 02 Sya’aban 1430H (Jumaat) – Bermula sebuah tragedi

Jam 2.00 ptg – Selesai solat jumaat, saya bergerak pulang ke pejabat di Bandar Perda, Bukit Mertajam. Sampai di pejabat, saya terima panggilan daripada kawan Syafiq (kalau tak salah saya namanya Ady) memaklumkan Syafiq terlibat dengan kemalangan. Saya bertanya kepada Ady, “teruk tak?” Ady menjawab, “Buat masa ni tak boleh nak cakap apa-apa lagi bang..” Saya tanya Ady lagi, “Syafiq eksiden dengan apa..?” Ady jawab, “Dengan motor Syafiq yang baru sampai kelmarin dari Penang..” Saya bertanya lagi, “macamana boleh jadi ni?” Ady pun menceritakan yang Syafiq baru keluar dari masjid berdepan dengan kampus UiTM Seri Iskandar baru selesai menunaikan solat Jumaat. Syafiq dalam perjalanan balik ke rumah sewanya di Changkat Sodang. Sampai di satu simpang, tiba-tiba ada sebuah kereta melanggarnya. Mendengar cerita itu, saya terus meminta Ady berikan telefon bimbitnya itu kepada adik saya. Saya nak bercakap sendiri dengannya. “Bagi handset tu kat Syafiq, Abg nak cakap dengan Syafiq…” Namun kali ini Ady menjawab dalam nada yang serba salah, “Dia tak boleh cakap buat masa ni bang..” Saya tidak berpuashati dengan jawapan itu. Kerana dalam benak saya, adik saya itu hanya cedera ringan dan sedang duduk di tepi jalan sambil menunggu bantuan. Saya bertanya lagi, “Kenapa tak bawa Syafiq pergi hospital dulu? Sapa dah ada kat situ?” Ady jawab, “sekarang ni ambulan dan kereta polis dah sampai.” Saya tersentak! pada kebiasaanya, kalau kemalangan melibatkan cedera ringan, sudah pasti orang ramai akan bawa adik saya terlebih dahulu ke hospital berdekatan. Namun, kenapa perlu ada ambulan dan kereta polis? adik saya tidak boleh bercakap.. tapi masih ada di tempat kejadian.. kenapa tak ada sapa2 yang nak tolongnya? Saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena.. Saya maklumkan kepada Ady, saya akan bertolak segera ke Seri Iskandar, Perak. Saya sempat juga menelefon ibu dan abang-abang memaklumkan kejadian ini dalam keadaan kami semua tidak tahu yang sebenarnya Syafiq sudah tidak ada lagi…

Jam 2.30 ptg – Saya sampai di tol Juru. Saya terima panggilan dari HEP UiTM Seri Iskandar mengesahkan kemalangan tersebut. Saya dimaklumkan yang Syafiq cedera parah sangat-sangat dan meminta kami sekeluarga bersedia atas sebarang kemungkinan. Saya juga dimaklumkan Syafiq di bawa ke Hospital Changkat Melintang, Bota.  Di benak saya hanya bermain perkataan Syafiq mungkin akan dimasukkan ke ICU dan mungkin Syafiq mengalami kecacatan serius. Langsung tidak terlintas Syafiq sudah bertemu Ilahi.. Sesekali terfikir juga saya, kalau benar cederanya parah, kenapa tidak di bawa ke Hospital Ipoh. Kenapa perlu di bawa ke hospital desa sahaja? Namun, saya melepaskan sahaja kerana tidak mahu kosentrasi pemanduan saya terganggu.

Jam 3.00 ptg – Saya sampai di tol Taiping untuk susur keluar ke rumah bapa saudara saya (Pakchaq). Pakchaq seorang anggota polis dan saya merasakan amat perlu membawanya untuk memudahkan urusan kemalangan ini (atas nasihat abg.Ngah juga). Kebetulan pula Pakchaq bercuti. Sempat juga zaujah menghubungi sorang kawan yang kebetulan tinggal berdekatan dengan Hospital Changkat Melintang untuk pergi membantu adik saya di hospital sementara saya sampai (namun sebenarnya adik saya sudah tidak ada pada waktu ini)…

Jam 4.00 ptg – Saya sampai di tol Jelapang untuk susur keluar ke Seri Iskandar. Kawan kami (Imah & Munira) yang sudah sampai di hospital menghubungi kami. Memaklumkan berita yang memilukan itu. “Sebenarnya Syafiq dah xder di tempat kejadian lagi…” Saya sudah tidak mampu membawa kenderaan. badan terasa amat lemah tidak bermaya. Air mata tidak dapat ditahan lagi. Amat terkilan sekali kerana tidak sempat bercakap dengannya buat kali terkahir… Patutlah Syafiq tak boleh bercakap.. patutlah mereka hantar Syafiq ke hospital desa sahaja… Sebab dia dah xder.  Tidak perlu bawa sampai ke Hospital Ipoh.

Jam 4.10 ptg – Pakchaq membawa kereta saya. Saya hanya menangis sambil memujuk hati untuk menerima hakikat adik saya yang bongsu dah kembali ke Rahmat Allah. Inilah kali pertama saya menerima kehilangan anggota keluarga kami enam beradik. Mulut saya tidak berhenti-henti membaca surah al-Fatihah kepada Syafiq.SYAFIQ dlm kenangan Begitulah realiti alam dunia ini. Kelahiran dan kematian bersilih ganti.

Jam 5.00 ptg – Saya sampai di Hospital Changkat Melintang. Saya dimaklumkan Syafiq sedang dibuat post-mortem. Kawan-kawan Syafiq dengan dua orang  pegawai UiTM En. Lehan dan En. Raja Ibrahim sedang menanti kedatangan kami. Setelah dibincangkan, saya bersetuju (setelah menghubungi Pakteh & Ayah Mie di kampung) Syafiq dimandikan dan dikafankan di hospital dan di bawa pulang ke kampung petang itu juga.

Jam 6.00 ptg – Saya masuk ke dalam bilik mayat untuk mandikan Syafiq. Saya lihat kecederaan yang paling ketara adalah di bahagian kepala dan tangan kanannya. Kematian Syafiq disahkan pada pukul 2.00 ptg akibat ‘Basal Skull Fracture’ (keretakan di bahagian tengkorak) oleh Dr. Mohd Iskandar bin Mohd Ghazalli.

Jam 7.00 mlm – Kami menunaikan solat jenazah untuk Syafiq. Zaujah dari tadi menghubungi rakan-rakan Syafiq memaklumkan berita sedih ini. Sementara menunggu waktu maghrib, Kami pergi sekejap ke rumah sewa Syafiq di Changkat Sodang untuk mengambil barang-barangnya.

Jam 8.00 mlm – Kami mula bergerak meninggalkan hospital. Sebuah van jenazah, sebuah van UiTM, dan 4 buah kereta berkonvoi menghala ke Baling, Kedah.

Jam 1.30 pg – Kami selamat sampai di Kg.Iboi, Kupang Baling Kedah. Syafiq disambut dengan ahli keluarga, sanak-saudara, penduduk-penduduk kampung dan kawan-kawan rapatnya. Syafiq di bawa masuk ke dalam rumah untuk mak dan abah lihat buat kali terakhir. Mak dan abah amat tenang menerima semua ini. Setelah Syafiq disolatkan, Syafiq di bawa ke tanah perkuburan Kg. Bukit Iboi. Dulu, saya dan Syafiq bersama keluarga selalu datang ke sini untuk menziarah kubur sanak-saudara sewaktu hari raya. Namun, pada malam itu, saya seakan-akan tidak percaya kunjungan kami ke sini adalah untuk menghantar Syafiq buat selama-lamanya.

Jam-2.00 pg - Setelah dibacakan talqin, Allahyarham Syafiq telah siap disemadikan. Semoga adik kekal bahagia di sana…

p/s:- Pada malam (sebulan sebelum tragedi) saya cakap dengan Syafiq dan minta dia buat sesuatu yang boleh membanggakan keluarga sebulan sebelum tragedi ini berlaku, Syafiq hanya membisu dan mendiamkan diri.. patutlah dia membisu.. rupa-rupanya inilah KEBANGGAAN yang ingin adik saya berikan kepada kita semua. KEBANGGAAN HUSNUL KHATIMAH. Yang mana kebanggaan ini belum tentu kita yang masih hidup ini mampu lakukan…

1) Adik saya meninggal pada petang hari Jumaat (Hari mulia penghulu segala hari)

2) Terlepas dari fitnah kubur kerana meninggal pada hari Jumaat seperti sabda Nabi SAW – mafhum hadith

3) Meninggal pada bulan Sya’aban (Bulan Mulia sehingga Nabi SAW mengiktiraf bulan ini adalah bulannya – mafhum hadith)

4) dan tugasnya sebelum dia meninggal ialah MENUNAIKAN SOLAT JUMAAT. (Lihatlah kehidupan seseorang itu pada pengakhiran hidupnya.. bukan pada permulaan atau sepanjang hidupnya)

Saya muatkan juga link ke blog kawan rapat Syafiq iaitu Fikri (Ayie) yang menceritakan saat-saat dia melihat sendiri tragedi yang berlaku. http://mohdfikrisaim.blogspot.com/2009/07/tragedy.html Syafiq ada juga sebut nama Ayie antara kawan rapatnya dan dia akan tumpang motor Ayie utk ke kelas sementara menunggu motor sampai. Terima kasih Ayie, Ady dan kawan2 serumah Syafiq atas pertolongan menguruskan Allahyarham sewaktu kejadian..)

AL-FATIHAH buat adik saya Allahyarham Mohammad Syafiq bin Mohd Sharif. Semoga rohnya ditempatkan bersma orang-orang beriman. AMIN.

Posted in FAMILI | 10 Comments »